Saturday, March 23, 2013
Bufet untuk gajah
MEJA makan bersaiz besar disediakan khas di tengah-tengah sebuah kawasan terbuka di Mae Sa, Chiang Mai. Di atas meja itu, limpahan buah-buahan dihidangkan dengan konsep bufet atau makan sehingga kenyang.
Namakan apa sahaja pisang, tebu, betik, nanas, jambu, buah naga, tembikai, jagung dan banyak lagi tersusun rapi. Sekali pandang, makanan tersebut mungkin memerlukan lebih 400 hingga 500 orang untuk menghabiskannya.
"Tambah lagi! Tambah lagi! kita perlukan lebih banyak buah-buahan. Di meja tengah, tetamu istimewa kita sudah kehabisan tebu, tolong isi lagi tebu di mejanya," jerit seorang lelaki, Kiol Chanarong mengarahkan beberapa petugas di situ mengangkat lebih banyak makanan.
Berbeza daripada bufet makan biasa, namun hari itu sajian yang dihidangkan bukanlah untuk orang sebaliknya 52 ekor gajah.
Menjadi salah satu simbol utama negara Thailand, gajah sememangnya mempunyai tempat istimewa di hati rakyat negara itu.
Disebabkan itulah, negara berkenaan mengisytiharkan 13 Mac setiap tahun sebagai Hari Gajah Kebangsaan.
Pada hari tersebut, gajah diberi layanan istimewa bak raja apabila dimandikan, dihias cantik, dibawa berarak dan sudah tentunya dilimpahkan dengan berkilogram makanan.
Hari Gajah Kebangsaan disambut di seluruh Thailand, malah tahun ini Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra turut menyambutnya di Ayutthaya.
Selain menunjukkan betapa eratnya hubungan penduduk Thailand dengan gajah, Hari Gajah Kebangsaan juga diadakan untuk menyebarkan kesedaran ramai tentang ancaman kepupusan haiwan itu.
"Hari ini, di seluruh dunia gajah diburu atas pelbagai sebab komersial. Disebabkan itu, anak-anak kita perlu dididik tentang kesedaran untuk mencintai haiwan ini," ujar Pengarah Zoo Kao Kaew, Suriya Sangpong yang turut meraikan sembilan ekor gajah di zoo berkenaan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: