Saturday, March 9, 2013

Keunikan Suzuki Belang


MODEL naked ini menawarkan pengendalian yang cukup baik.


KELIBAT Suzuki Belang R150 boleh disifatkan agak jarang kelihatan di atas jalan raya tempatan.
Biarpun begitu, ia tidak bermaksud produk jenama Jepun itu gagal mendapat tempat di negara ini. Belang sebenarnya mempunyai pengikut dan penggemar tersendiri.
Malah ada beberapa pengeluar komponen aftermarket popular sudah menawarkan aksesori dan alat ganti jentera tersebut di kedai-kedai motosikal di seluruh negara.
Harus tahu, tidak ada pengeluar komponen industri sekunder mahu membuang masa mencipta barangan untuk motosikal yang mempunyai volum jualan rendah. Inilah keunikan Suzuki Belang R150.
Baru-baru ini, saya berpeluang meminjam jentera berkenaan daripada Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. (Suzuki Assemblers) untuk sesi tunggang uji.
Saya difahamkan bahawa ia merupakan sebuah unit demo yang digunakan untuk acara promosi Suzuki Assemblers di seluruh negara.
Selesai sahaja urusan dokumen pinjaman, saya tidak sabar untuk menguji jentera berwarna merah hitam itu. Sejurus sahaja duduk di atas pelana, ia menggamit kembali kenangan lama menunggang sebuah Honda Hurricane.

TIGA pilihan warna ditawarkan bersama paparan grafik bagi model naik taraf 2012.


Posisi kedua-dua siku sedikit ke dalam dan berada di hadapan tulang rusuk. Kedudukan badan pula dianjakkan ke hadapan memandangkan tempat duduknya sedikit terjengket di bahagian belakang. Bagi saya, posisi sebegini sedikit sebanyak membantu meningkatkan fokus sewaktu menunggang jentera naked ini.
Klac perlu ditarik apabila menekan butang pemula bagi menghidupkan Belang. Sebagai alternatif, penendang kaki boleh digunakan untuk tujuan sama.
Enjin mudah dihidupkan. Alunan deruman ekzos standard yang hinggap di halwa telinga mula membakar semangat untuk memulas pendikit minyak dengan lebih agresif.
Tuli gear dipijak dan roda mula melayari jalan raya. Adakala kedengaran bunyi letupan daripada corong ekzos.
Pengendalian Belang seberat 108 kilogram bukannya sesuatu yang janggal. Ia mudah dikendalikan dan lincah menyelinap di celah-celah barisan kenderaan beroda empat.
Sewaktu tunggangan, saya mendapati ada satu punat yang ditempatkan pada sebelah kanan meter paparan hablur cecair (LCD).
Jentera diberhentikan di tepi jalan kerana ingin mengetahui fungsinya. Rupa-rupa punat itu mengubah mode tunggangan biasa kepada mode kuasa (PWR) dan ekonomikal (ECO).
Mode PWR terus menjadi pilihan. Tunggangan diteruskan semula dan saya mendapati ada lampu putih pada skrin LCD mula berkelip-kelip dan menyala. Itu menandakan rev enjin mencapai tahap optima untuk ledakan kuasa maksimum.

INSTRUMEN meter model Suzuki ini memaparkan kombinasi meter analog rpm dan satu skrin LCD untuk kelajuan, baki bekalan petrol serta jarak tunggangan.


Pancaran lampu diendahkan. Saya memilih untuk merasa raungan enjin dan penukaran gear apabila dirasakan sesuai.
Sipnosis mudah, jika beri perhatian pada lampu, bagaimana mahu fokus pada situasi keadaan semasa yang ada di hadapan anda?
Belang R150 sememangnya menawarkan pengendalian yang cukup baik. Perkara itu disebabkan penggunaan komponen aluminium pada jentera berkenaan.
Tangki penuh petrol Belang R150 sudah kering dalam tempoh dua hari dengan mode PWR. Jarak tunggangan sekadar 84 kilometer (km).
Kelajuan tunggangan pada ketika itu adalah di antara 100km sejam (km/j) hingga tahap maksimum iaitu 120km/j.
Catatan kelajuan itu sedikit rendah kerana motor sesi tunggang uji tersebut bukannya baru. Odometer menunjukkan perjalanan sudah melepasi 7,000km.
Bagi mode pemanduan biasa, lampu putih tidak akan menyala. Dalam mode ECO pula, ia mengimbangi rev enjin untuk penjimatan bahan api.
Apabila mode ini diaktifkan, saya berjaya mencapai jarak sejauh 74km dan mempunyai baki petrol separuh tangki lagi. Kelajuan tunggangan antara 80 km/j hingga 100km/j.
Berbekalkan dua set brek cakera pada kedua-dua roda, tugas yang dimainkan untuk memperlahankan dan memberhentikan jentera perlu diberi pujian.
Berhubung prestasi sistem teleskopik hadapan dan penyerap hentak tunggal di belakang pula, tiada sebarang masalah.
Suzuki Belang R150 dijual pada harga asas RM7,570 seunit tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran, insurans dan caj-caj lain. Pilihan warna yang disediakan ialah merah hitam, biru putih dan kelabu putih.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: