|
TAHUN 1997 menyaksikan syarikat automotif Audi AG di Jerman tampil sebagai pengeluar kenderaan pertama di benua Eropah berkecimpung dalam penghasilan kenderaan hibrid. Model yang dimaksudkan ialah Audi A4 Duo III.
Pada ketika itu, pasukan jurutera syarikat itu menggunakan rangkaian kuasa enjin diesel 1.9 liter TDI berserta sebuah motor elektrik. Enjin pada Audi A4 Duo III berupaya menjana kuasa sebanyak 90PS, manakala motor elektriknya membantu menyalurkan kuasa setinggi 29PS.
Namun, produksinya tidak mampu bertahan lama disebabkan faktor harga tinggi. Selain gagal membuahkan kecekapan bahan api jika dibandingkan dengan keupayaan enjin diesel standard 1.9 liter TDI. Hanya kira-kira 100 unit sedan itu berjaya melepasi barisan pengeluaran sehingga awal tahun 2011.
Sebelum ini, Audi AG pernah mengetengahkan idea penciptaan kenderaan hibrid pada dua pameran automotif berkelas dunia. Kali pertama usaha itu ditunjukkan adalah pada tahun 1989 di Pameran Motor Frankfurt, Jerman menerusi model konsep Audi Duo.
Selang setahun selepas itu, model hibrid generasi kedua iaitu Audi 100 Duo II membuat debut sewaktu pameran Geneva Motor Show yang berlangsung di Perancis. Status asalnya iaitu sekadar sebuah jentera konsep terus kekal dalam tempoh yang agak lama.
Usaha Audi untuk membangunkan sebuah model hibrid nyata serius dengan kemunculan kenderaan utiliti sukan Audi Q5 Hybrid pada tahun 2010. Pengeluaran model berkenaan masih diteruskan sehingga kini dan ditawarkan di beberapa pasaran tertentu sahaja.
Pameran Geneva Motor Show 2012 kemudian menyaksikan kemunculan dua model hibrid terbaharu Audi AG iaitu A6 Hybrid dan A8 Hybrid. Produksi model A6 Hybrid bermula pada tahun sama.
Baru-baru ini, pengimport dan pengedar tunggal jenama Audi yang diimport sepenuhnya (CBU) di Malaysia, Euromobil Sdn. Bhd. (Euromobil) melancarkan model A6 Hybrid ke pasaran tempatan. Euromobil adalah subsidiari DRB-Hicom Bhd. (DRB-Hicom).
Pengenalan model itu ke pasaran menjadikannya sebagai hibrid pertama Audi di Malaysia. Kemasukan jentera hijau mewah itu sudah pasti mencetuskan saingan cukup sengit kepada dua pemain Jerman lain di negara ini, apa lagi jika bukannya BMW dan Mercedes-Benz.
Kekuatan produk terbaharu edaran Euromobil berkait rapat dengan harganya. Harga jualan atas jalan tanpa insurans bagi A6 Hybrid cuma RM280,000 seunit. Tag harga itu disifatkan sebagai cukup rendah bagi mereka yang ingin memiliki sebuah kereta Audi.
Manakan tidaknya, perbezaan harga antara A6 Hybrid dan A6 2.0L TFSI adalah lebih daripada RM60,000! Itu perbezaan jika mengambil kira harga atas jalan tanpa insurans. Tidak mustahil faktor ini dapat menarik pemilik kenderaan premium sedia ada untuk menjadi pelanggan Euromobil.
Tawaran harga yang signifikan itu adalah hasil daripada insentif pengecualian duti import serta cukai sepenuhnya untuk kenderaan hibrid dan elektrik yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu pembentangan Bajet 2010.
Insentif selama dua tahun itu kemudiannya dilanjutkan sehingga akhir tahun ini. Langkah itu jelas membantu memacu pertumbuhan segmen kenderaan mesra alam di negara ini.
Audi A6 Hybrid dilancarkan oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada satu majlis yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini. Hadir sama ialah Pengerusi Euromobil dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil.
Mohd. Khamil berkata, pengenalan Audi A6 Hybrid di negara ini membuktikan komitmen Kumpulan DRB-Hicom dalam membantu industri automotif Malaysia berada sebaris dengan negara jiran lain serta lebih kompetitif di peringkat global.
Audi A6 Hybrid dilengkapi enjin petrol empat silinder 2.0 liter TFSI bersama seunit motor elektrik. Pandanan transmisi tiptronik lapan kelajuan diberikan. Hasilnya, prestasi jentera itu ibarat seperti datangnya daripada enjin enam silinder.
Motor elektrik menerima kuasa daripada pek bateri litium-ion yang disimpan di bahagian belakang kerusi barisan kedua. Pek bateri dicaj apabila membrek dan menerusi sebuah generator sewaktu kenderaan bergerak.
Pek bateri seberat 38 kilogram (kg) itu mengurangkan kapasiti ruang but kepada 375 liter berbanding keluasan 530 liter yang ada pada model A6 petrol standard.
Kuasa maksimum sebanyak 245bhp dengan tork setinggi 480Nm dapat dijana menerusi rangkai kuasa jentera hibrid berkenaan. Kelajuan maksimumnya dihadkan pada paras 240 kilometer sejam (km/j).
Pecutan dari titik pegun ke 100km mengambil masa 7.5 saat. Purata penggunaan bahan api bagi setiap 100km adalah sebanyak 6.2 liter. Sementara kadar pembebasan karbon direkodkan sebanyak 145 gram setiap km.
Mode pemanduan EV (elektrik sepenuhnya) boleh diaktifkan dengan menekan butang pada konsol tengah. Jentera seberat 1,845 kilogram itu boleh bergerak dengan menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya sejauh 3km jika anda mengekalkan kelajuan pada paras 60km/j.
Bahagian luaran dan dalaman model itu tidak jauh beza dengan sebuah A6 petrol standard. Perbezaan paling ketara ialah lampu hadapannya yang menggunakan lampu LED.
Ketua Pegawai Eksekutif Euromobil, Stanley Tan mengunjurkan jualan sebanyak 1,000 unit Audi A6 Hybrid bagi tahun ini.
Sasaran konservatif itu tidak sukar untuk dicapai. Memandangkan dalam tempoh sehari sebelum prebiu untuk media diadakan, tempahan yang diterima sudah mencapai 200 unit.
Ada khabar mengatakan tempahan A6 Hybrid sudah mencecah hampir 500 unit. Jika perkara ini benar, tidak mustahil jenama Audi mampu memintas dua pesaing rapatnya di Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: