Saturday, March 2, 2013

Persinggahan sebelum ke Pulau Pangkor



PULAU PANGKOR pastinya memberi gambaran kepada pelancong mengenai laut yang biru, aktiviti sukan air dan makanan hasil laut kering yang menjadi produk utama di pulau itu.
Segala perancangan untuk ke Pulau Pangkor harus dirancang dengan teliti oleh pelancong agar tidak menghadapi kesulitan terutamanya ketika mendapatkan tempat penginapan.
Jika dalam musim tempahan puncak seperti cuti sekolah, ramai yang berduka cita kerana bilik penginapan dan juga aktiviti sekitar hotel habis ditempah.
Namun, sebelum sampai ke pulau peranginan tersebut, pelancong perlu menjejakkan kaki ke sebuah bandar yang istimewa di bumi Darul Ridzuan. Daripada sebuah pekan pesisiran pantai ke sebuah bandar dengan infrastruktur yang membangun, bandar Lumut sebenarnya mempunyai pelbagai daya tarikan pelancongan.
Diisytihar sebagai Bandar Pelancongan dan Maritim, Lumut lebih dikenali dengan kewujudan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sejak tahun 1980.
Bandar yang terletak lebih kurang 252 kilometer (km) dari Kuala Lumpur itu berada dalam daerah Manjung dan merupakan pintu masuk pelancong untuk ke Pulau Pangkor.
Terminal Jeti Lumut yang menjadi transit bagi penduduk dan pelancong antara bandar dan pulau tersebut masih dijaga rapi, sesuai dengan identitinya sebagai struktur bangunan paling ikonik di situ.
Senario orang ramai berkumpul di jeti yang menghadap Selat Dinding dan Selat Melaka itu merupakan perkara biasa jika anda baru pertama kali menjejakkan kaki ke bandar tersebut.
Jadual perkhidmatan perjalanan pelancong ke Pulau Pangkor telah disusun oleh pihak pengurusan operasi tiga syarikat feri iaitu Syarikat Mesra Feri, Syarikat Duta Pangkor dan Syarikat Pan Silver.
Setiap hari, perjalanan feri dari Lumut ke Pulau Pangkor bermula pada pukul 7 pagi hingga 8.30 malam dengan selang perjalanan setiap setengah jam.
Seorang pelancong dari Ireland, Katherine Clark, 35, memberitahu, Lumut merupakan sebuah tempat yang menarik untuk dikunjungi sebelum ke Pulau Pangkor.
“Lumut memberi gambaran awal kepada saya mengenai suasana di Pulau Pangkor. Namun, Lumut tetap mempunyai daya tarikannya tersendiri dan saya berasa aman di sini,” ujarnya yang baru sahaja menghabiskan percutian di Pulau Pangkor selama dua bulan.

MUZIUM Maritim Rahmat yang menggunakan Kapal Perang KD Hang Jebat di Taman Esplanade memberi informasi kepada pelancong mengenai fungsi dan konsep kapal perang.


Selain dari Terminal Jeti Lumut, pelancong juga boleh menaiki feri di Jeti Marina Island di Teluk Muroh yang mengambil masa 15 minit perjalanan dari Lumut.
Ikan bilis kering
Berhadapan Terminal Jeti Lumut terdapat bazar yang menjual pelbagai produk hasil laut dan cenderamata yang melambangkan signatur Pulau Pangkor. Bagi yang sudah menghabiskan detik percutian mendamaikan di pulau, lokasi bazar itu wajib dikunjungi sebagai pelangkap sebelum bertolak pulang ke destinasi seterusnya.
Antara bazar yang menjadi tarikan pelancong untuk mendapatkan ikan bilis, ikan masin, sate ikan dan sotong serta pelbagai lagi snek berasaskan hasil laut ialah Waterfront Promenede, Bazar Lumut, Bazar Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Pusat Kraf Lumut.
Setiap pengusaha kedai dan gerai di tapak bazar berkenaan berlumba-lumba menunjukkan barangan jualan mereka yang boleh dikatakan antara yang terbaik di sebelah pantai barat Semenanjung Malaysia.
Pemilik premis D’Haliza yang telah berniaga hasil laut selama 12 tahun di pekan tersebut, Noorhaliza Daud, 34, memberitahu, produk istimewa yang dijual oleh puluhan premis di Lumut ialah ikan bilis mata biru.
Menurutnya, ikan bilis tersebut tidak terdapat di tempat lain di Malaysia dan ia hanya boleh didapati di perairan Pulau Pangkor.
“Pada harga RM4.50 untuk 100 gram, ikan bilis ini sering menjadi perhatian pelancong. Rasanya lebih garing dan lebih enak jika dicampurkan dalam sebarang jenis masakan.
“Permintaan terhadap hasil laut ini meningkat terutamanya menjelang musim cuti persekolahan. Pekan ini juga mula bertukar wajah apabila musim cuti, menjadikannya lebih sibuk,” ujar pemilik premis itu yang terletak di Jalan Pegawai, berdekatan dengan jeti.
Dengan hanya berjalan kaki, pelancong yang singgah di Lumut tersebut tidak perlu risau mengenai cara untuk meneroka sekitar bandar tersebut.
Tidak lengkap sekiranya pengunjung tidak berkunjung ke Taman Esplanade yang terletak bersebelah dengan jeti Lumut.
Menjadi tempat riadah warga Lumut, ia memanggil kunjungan mereka yang berkeluarga khususnya anak-anak yang mahukan saat riang di taman permainan.
Panggilan pantai

MAKANAN hasil laut yang dijual di bandar Lumut merupakan produk dari Pulau Pangkor.


Bagi yang mempunyai kenderaan sendiri, Pantai Teluk Batik, Teluk Rubiah dan Teluk Senangin pastinya menjadi tumpuan sewaktu berada di daerah tersebut.
Perjalanan ke pantai-pantai tersebut hanya mengambil masa kurang 15 minit dari bandar Lumut.
Seorang pengunjung dari ibu negara yang ditemui di pantai Teluk Batik, Nik Amier Irfan Nik Azham, 22, memberitahu, dia dan dua orang rakannya mempunyai urusan kerja di Seri Iskandar dan singgah di pantai tersebut untuk mengimbau kenangan ketika kecil.
“Saya pernah ke sini semasa kanak-kanak. Namun, keindahan pantai ini masih lagi terjaga sama seperti dahulu. Apabila terfikir mengenai Lumut, apa yang terlintas di fikiran saya ialah Pantai Teluk Batik,” ujarnya yang menggemari makanan kering sotong bergula yang banyak dijual di pantai tersebut.
Tidak jauh dari pekan dan Pantai Teluk Batik, anda juga boleh berkunjung ke Taman Paya Bakau atau lebih dikenali sebagai Taman Monyet.
Di situ, pelancong dapat mendekati pokok bakau yang bertindak sebagai ejen penting dalam ekosistem hutan. Sama seperti kebanyakan kawasan paya bakau di negara ini, taman tersebut banyak mengajar pengunjung tentang fungsi zon paya bakau.
Selain menyaring kekotoran dan menampan ombak, ia juga menjadi santuari ideal bagi pembiakan serta perlindungan pelbagai spesies hidupan laut.
Pada waktu petang dan ketika air pasang, pengunjung dapat meyaksikan ramai penduduk tempatan datang ke kawasan itu untuk memasang bubu untuk menangkap ketam nipah.
Mulai hari ini hingga 3 Mac nanti, Kerajaan Negeri Perak melalui Perak Tourism Sdn. Bhd. dan Majlis Perbandaran Manjung akan menganjurkan Pesta Laut Pangkor Lumut 2013.
Acara tahunan itu diadakan bagi mempromosikan Perak khususnya Daerah Manjung sebagai lokasi pelancongan menarik. Penganjuran itu diharapkan dapat meningkatkan kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara ke daerah tersebut.

DENGAN hanya berjalan kaki, pelancong boleh mengelilingi seluruh bandar Lumut dalam masa beberapa jam sahaja.


Antara aktiviti yang bakal berlangsung ialah gerai pameran dan jualan, menaiki Kapal Layar Cruise, persembahan seni ukiran ais, pertandingan sukan pantai, sukan rakyat, pertandingan perahu layar dan lumba perahu dan kayak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: