Saturday, March 2, 2013

Jahit di Vietnam jual di Malaysia


ALFASHAH bersama sebahagian daripada baju kurung yang dijual di butik De'Alfa di Kota Bharu.



FABRIK yang digunakan untuk menjahit baju kurung diperoleh dari Vietnam, Asia Barat, Korea dan China.


SELEPAS membuat keputusan untuk membuka sebuah kedai menjahit baju kurung di Vietnam lapan tahun lalu, Hasmin Nahazanan tidak menoleh ke belakang. Berbekalkan semangat yang tinggi, Hasmin bersama suami, Alfashah Che Othman menghasilkan baju kurung di bawah jenama De'Alfa.
Keputusan membuka kedai dan kilang di luar negara banyak membantu pasangan suami isteri ini menjimatkan kos mendapatkan pekerja. Baju yang dihasilkan juga berkualiti dan dijual pada harga yang kompetitif.
Bersama rakan kongsi, Nguyen Dhang Dhue, 35, seorang rakyat Vietnam, pasangan ini telah menubuhkan sebuah syarikat, Armada Kiara di sebuah rumah di bandar raya Ho Chi Minh City.
Dengan 16 orang tenaga kerja dan 20 mesin jahit pada ketika itu, baju kurung yang telah siap dibawa pulang ke Malaysia. "Kalau dahulu saya membekalkan kira-kira 2,000 baju kurung sebulan, kini kilang saya boleh menyiapkan lebih 20,000 sebulan bagi pasaran di Malaysia.
"Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan saya berharap rakyat dari negara lain juga berminat untuk memakai baju kurung," katanya ketika ditemui di Ho Chi Minh City, Vietnam baru-baru ini.
Dua tahun lalu, operasi syarikat Hasmin dipindahkan dari rumah berkenaan ke sebuah kilang pembuatan baju kurung yang terletak di pinggir bandar raya itu.
Pekerja mahir
Kini terdapat lebih 200 pekerja yang bekerja di kilang berkenaan. Kesemuanya terdiri daripada penduduk kampung berhampiran kilang itu. Demi menjaga kualiti, para pekerja juga terdiri daripada mereka yang mahir.
"Pada musim perayaan seperti Aidilfitri dan Aidiladha, sambutan pembeli sangat memberangsangkan. Pada masa itu, kilang mengeluarkan sebanyak 60,000 pasang setiap bulan perayaan," katanya.
Hasmin, selaku pengarah urusan syarikat itu berkata, bukan sesuatu yang mudah untuk mendapatkan kepercayaan pemerintah Vietnam meluluskan pembinaan kilang di negara itu.
"Alhamdulillah, akhirnya mereka bersetuju membenarkan saya mendirikan kilang dengan syarat pekerjanya mesti terdiri daripada rakyat tempatan," kata Hasmin yang melabur RM1 juta untuk mendirikan kilang tersebut.
Fabrik yang digunakan untuk menjahit baju kurung diperoleh dari Vietnam, Asia Barat, Korea dan China. "Semua fabrik itu akan dikumpulkan di kilang ini dan reka bentuk baju terkini akan direka suami saya sebelum dijahit," katanya.
Harga baju kurung yang dijual di butik De'Alfa di Malaysia antara RM38 hingga RM150 sepasang.
Kata Hasmin, harga tersebut jauh lebih rendah berbanding di pasaran tempatan. Bahkan, harganya jauh lebih rendah daripada baju kurung moden yang dijual di beberapa tempat terkenal di bandar raya Ho Chi Minh.
Kini, terdapat tiga cawangan Butik De'Alfa di seluruh negara iaitu Taiping Central di Perak, Pusat Perdagangan Kota Bharu dan Lembah Sireh, di Kelantan.
Syarikat itu turut membuka peluang kepada usahawan yang berminat menjalankan perniagaan pakaian dengan menjadi franchisee mereka.
Selain itu Hasmin turut menyasarkan untuk mewujudkan kira-kira 50 francais di seluruh negara menjelang tahun 2018.
Lesen jual baju
Dengan modal serendah RM250,000 sebagai permulaan, usahawan berpeluang mendapatkan lesen untuk menjual baju jenama syarikat berkenaan.
"Antara kelebihan menjadi franchisee kami ialah usahawan diberi latihan selama satu hingga dua bulan di wisma kami di Kota Bharu, Kelantan selain pemantauan rapi akaun syarikat," katanya.
Hasmin berharap kerajaan dapat membantu mereka yang ingin menjadi francais syarikatnya dengan memudahkan beberapa proses terutama permohonan pinjaman.
Terdapat dua francais Butik De'Alfa iaitu satu di Jerteh, Terengganu dan satu lagi di Plaza Metro Kajang, Selangor.
Bagi melebarkan sayap perniagaan, syarikat ini akan mengeluarkan pakaian wanita dengan jenama baharu iaitu Seri.
"Baju kurung berjenama ini dijual pada harga yang lebih rendah berbanding jenama sedia ada untuk menarik lebih ramai orang memiliki baju kurung terutama para pelajar dengan jaminan kualiti," katanya.
Tiada apa yang boleh menghalang pasangan ini daripada memperluaskan empayar perniagaan kerana kini mereka ingin melihat industri perhotelan sebagai tapak seterusnya.
Lebih mengujakan, Hasmin dan suami bercita-cita membawa perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: