|
SUDAH agak lama cerita mengenai pelakon kacak Shahrizal Jaszle tidak muncul menerusi media selepas kontroversi percintaannya bersama pelakon Miera Liyana yang berakhir sekitar awal tahun lepas. Selepas itu, Shahrizal dilihat seolah-olah cuba melarikan diri daripada pihak media dengan tidak menghadirkan diri pada majlis-majlis hiburan.
Menolak anggapan bahawa dia melarikan diri daripada media, ujar Shahrizal, dia sebenarnya terlalu sibuk dengan penggambaran beberapa buah drama yang kini ada beberapa daripadanya sudah ditayangkan di kaca TV seperti Pelamin Di Pusara dan Rindu Bertamu Di Abu Dhabi.
“Bukan sebab kes putus cinta saya menyepi dan seolah-olah melarikan diri daripada pihak media. Sebaliknya, saya sibuk dengan penggambaran drama. Drama yang kini sedang ditayangkan di TV3 iaitu Rindu Bertamu Di Abu Dhabi menuntut saya berada di lokasi selama tiga bulan,” jelasnya lagi.
Pada bulan Disember lalu, hero filem Azura 2012 itu juga secara tiba-tiba mengejutkan peminat-peminatnya dengan berita pertunangannya bersama seorang bakal doktor bernama Redzwani Puteri, 25.
Mengakui keputusannya untuk bertunang dalam usianya yang baru 24 tahun bukan dibuat secara terburu-buru, Shahrizal mengatakan sudah mengenali Redzwani lama dan merasakan gadis itu adalah pilihan tepat untuk dijadikan isteri.
Hasrat untuk memperisterikan Redzwani dengan cepat nampaknya tidak kesampaian kerana Shahrizal diberi tempoh selama dua tahun untuk berkahwin dengan tunangnya sekali gus menafikan yang dia dan Redzwani bakal berkahwin pada tahun ini.
“Kami masih lagi merancang tarikh perkahwinan. Bukan tahun ini. Insya-Allah pada tahun 2015. Sebabnya, keluarga dia (Redzwani) minta dia habis belajar dulu sebelum berkahwin,” jelasnya ketika ditemui pada sesi penggayaan rantai mutiara Rafflesia yang bakal diberikan kepada pemenang-pemenang mengikut kategori yang dipertandingkan di Festival Filem Malaysia (FFM), di Hotel Parkroyal, Kuala Lumpur.
|
|
Ditebak mengenai cabaran bertunang dalam tempoh yang lama, ulas Shahrizal, dia sedia menghadapinya dan tetap mengikut saranan orang tua mereka.
Akui Shahrizal, tempoh dua tahun itu juga membolehkan dia dan tunangnya memfokuskan pada kerja dan pelajaran.
“Memang kalau ikutkan rasa macam lama sangat tunang selama dua tahun tetapi ia tidak menjadi masalah buat kami kerana saya sibuk dengan berlakon dan dia juga sibuk belajar,” ujarnya mengenai tunangnya yang kini mengikuti pengajian ijazah keduanya iaitu perubatan dan pembedahan selepas memperoleh ijazah dalam bidang perubatan sains.
Teman baik
Mengulas mengenai pertemuannya bersama Redzwani, ujar Shahrizal: “Redzwani sebenarnya merupakan teman baik saya. Saya kenal dia sudah lama. Dia adalah kawan baik saya, malah kami rapat sebab kedua-dua keluarga kami juga saling kenal mengenali antara satu sama lain,” tuturnya.
Mendedahkan sebab dia menyukai tunangnya itu, kata Shahrizal, ia adalah kerana mereka berkongsi minat yang sama iaitu fotografi. Ujarnya lagi, Redzwani juga seorang yang sangat penyabar dengan kerenahnya dan kesibukannya sebagai seorang pelakon.
“Kami mempunyai minat yang sama iaitu suka mengambil gambar. Saya juga memerlukan seorang yang kuat sabar dan dia memang sangat sabar dengan saya malah dia juga pandai membuat kerja rumah serta pandai memasak,” puji Shahrizal terhadap Redzwani.
Mengulas mengenai tema dan persiapan perkahwinan, ujar Shahrizal, dia dan tunangnya sudah mengatur persiapan perkahwinan sebanyak 20 peratus dan bercadang untuk mengadakan perkahwinan dalam taman.
|
|
Cacat
Di luar kehidupan peribadinya, Shahrizal memberitahu, akan membawa watak sebagai orang cacat untuk drama slot Azalea di TV3. Mengakui sering membawa watak hero dan baik, jelas Shahrizal, dia ingin versatil dalam lakonan dan mencuba watak-watak yang berlainan pula.
Jelas Shahrizal juga, dia kini lebih selektif dalam pemilihan drama dan tidak mahu tangkap muat sebarang drama yang ditawarkan kepadanya.
“Saya lebih mementingkan kualiti daripda kuantiti. Saya suka watak yang mencabar untuk menguji lakonan saya daripada main terima segala tawaran yang datang,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: