|
TAHUKAH anda bahawa hampir 275 juta orang di seluruh dunia tidak dapat mendengar dengan jelas terhadap kesemua bunyi yang mereka suka?
Melihat kepada senario itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan masalah berkenaan sebagai kecacatan deria nombor satu di dunia.
Sesetengah orang tidak mempunyai deria pendengaran kerana mereka telah dilahirkan pekak.
Begitupun, majoritinya mengalami masalah pekak selepas sesuatu kejadian menimpa dalam kehidupan mereka seperti meningitis, demam campak, beguk, kepala dan telinga tercedera, terdedah pada kebisingan melampau dan penuaan.
Dalam kebanyakan situasi, masalah kehilangan pendengaran boleh membawa kepada keterasingan dalam kalangan keluarga, rakan-rakan dan persekitaran.
Walau bagaimanapun, Pakar Audiologi dari Perniagaan Perlindungan Pendengaran 3M, Dr. Laurie Wells berkata, kehilangan pendengaran akibat kebisingan boleh dicegah.
Sebagai contoh, kebisingan di tempat kerja boleh ditangani dengan memakai pelindung pendengaran ketika mengendalikan jentera. Begitupun, terdapat cabaran dari segi memilih jenis alat keselamatan itu dan juga situasi ia sesuai dipakai.
Menurutnya, alat perlindungan pendengaran juga boleh digunakan ketika menghadiri majlis yang memasang muzik dengan kuat ataupun dalam pertunjukan bunga api.
“Pendedahan bunyi bising secara berpanjangan adalah salah satu punca kerosakan pendengaran yang tidak dapat dipulihkan. Oleh itu, orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang masa,” jelasnya.
Selain langkah itu, orang ramai disarankan mengurangkan volum ketika mendengar muzik sebanyak 60 peratus dari volum maksimum dan berehat selepas 60 minit menikmati muzik yang kuat tersebut.
“Anda perlu membiarkan telinga anda untuk berehat kerana ia boleh mengurangkan risiko kerosakan yang kekal. Selain itu, elakkan menggunakan fon telinga dengan volum yang kuat kerana ia cenderung merosakkan pendengaran,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: