Di Jepun, nama Yonekura Ryoko sudah tidak asing lagi. Gadis jelita ini merupakan antara selebriti yang memiliki aset diri cukup menarik.
Mana tidaknya, Ryoko pernah memenangi anugerah, National Young Beauty, pada 1992.
Setahun selepas memenangi anugerah itu, Ryoko mula menceburi bidang peragaan untuk majalah fesyen, Cancam dan turut mewarnai iklan komersial di Jepun.
Dilahirkan pada 1 Ogos 1975, Ryoko sememangnya meminati bidang seni sejak kecil lagi.
Pada usia lima tahun, dia menyertai kelas Classical Ballet, sehingga umurnya 15 tahun.
Tidak mahu berada di takuk lama, Ryoko meluaskan empayar kariernya dengan menceburi bidang lakonan pada tahun 1999.
Tanpa disangka, drama pertama lakonannya, Koi No Kamisama, berjaya melonjakkan namanya.
Sejak itu, dia semakin menjadi buruan. Bukan sahaja di kalangan pengarah dan penerbit, tetapi juga syarikat kecantikan yang ingin melamarnya sebagai model untuk produk mereka.
Ryoko terus dilimpahi tawaran berlakon dan terpilih menjayakan beberapa drama hit seperti Hatachi No Kekkon, Kurokawa No Techou dan Nyokei Kazoku As Hamada Fumino.
====Menyerlah sebagai penyiasat====
Tidak statik dengan watak biasa, Ryoko bijak memilih karakter yang mampu menaikkan namanya sebagai salah seorang pelakon yang hebat di Jepun.
Lakonan hebat Ryoko sebagai, Usagi Reiko, dalam drama Koshonin, menjadi kayu pengukurnya dalam lakonan. Kejayaan wataknya dalam drama itu sekali gus mengangkat drama ini menjadi siri paling popular di sekitar tahun 2008.
Koshonin berjaya membuka mata ramai pihak untuk menilai sejauh mana kehebatannya memegang watak polis penyiasat. Siapa sangka, gadis secantik Ryoko, mampu melakukan aksi perlawanan dan bertempur dengan baik. Maka kehebatannya dalam lakonan tidak boleh dipertikai lagi. Malah Ryoko juga mampu membuktikan, penglibatannya dalam lakonan, bukan sekadar bersandar pada rupa semata-mata!
====Dicemburui ramai wanita
Tidak hanya terkenal dan mencipta nama dalam lakonan, Ryoko juga dicemburui ramai wanita kerana kecantikan yang dimilikinya.
Baru-baru ini, Ryoko, disenaraikan sebagai selebriti yang memiliki sepasang kaki paling cantik.
Ternyata, Ryoko tidak mengambil enteng bab kecantikan yang menjadi sebahagian daripada rutin hidupnya.
“Saya akan mendapatkan khidmat urutan, banyakkan aktiviti berjalan dan juga menyapu krim untuk melembapkan dan menyegarkan kaki,” katanya yang pernah membintangi filem Gun Crazy (2002) dan Cardboard House Girl (2001).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: