SUDAH tentu ramai yang tidak sabar untuk mengetahui apakah balasan diatas kejahatan seperti membunuh diri, rogol anak sendiri, penggunaan botox, mendedahkan aurat, menundukkan suami dengan sihir, tidak membayar zakat, menggunakan pelaris untuk perniagaan dan banyak lagi.
Sekalipun paparan yang disiarkan menerusi televisyen di dalam bentuk drama berjudul Tanah Kubur mendatangkan ketidakselesaan kepada sesetengah penonton, namun ia diterbitkan sebagai iktibar.
Atas maklum balas yang sangat positif, drama Tanah Kubur yang pernah disiarkan di Astro Oasis akan menemui penonton untuk musim kedua bermula 4 November ini setiap Jumaat jam 7.30 malam.
Penerbit dan Pengarahnya, Rashid Sibir berkata, penerbitan drama itu bukan untuk menakutkan penonton dengan paparan sebenar kejadian yang berlaku atau mengajar penonton, tetapi sebagai pengetahuan dan iktibar berguna khusus untuk umat Islam.
“Menurut pihak Astro, mereka menerima banyak maklum balas positif untuk 13 episod musim pertama lalu dan mengesahkan antara drama yang mendapat rating tertinggi di Oasis sehingga meminta untuk disambungkan bagi musim kedua.
“Kita tidak berniat untuk menakutkan penonton mahupun mengajar penonton, kita tidak boleh memaksa penonton untuk berubah tetapi terpulang kepada penonton mengambil ia sebagai pengajaran atau sekadar hiburan saja,” katanya yang ditemui pada pelancaran drama Tanah Kubur musim kedua baru-baru ini.
Begitupun, Rashid tetap menekankan sensitiviti umat Islam diatas setiap paparan episod yang disediakan dibimbangi menyentuh mana-mana halangan di dalam ajaran Islam.
“Selepas musim pertama lalu disiarkan, kami tidak mendapat teguran daripada mana-mana Jabatan Agama Islam kerana apa yang kami cuba sampaikan berdasarkan kisah yang pernah berlaku ketika zaman Nabi serta daripada rujukan buka agama.
“Perbincangan bersama Astro dilakukan berulang kali untuk menambahkan lagi impak kepada jalan cerita kali ini,” katanya.
Jika musim pertama lalu, watak utama yang dilakonkan Nasir Bilal Khan sebagai Tok Adi sentiasa berkongsi cerita bersama isterinya lakonan Fauziah Nawi, namun kali ini watak isterinya dimatikan begitu saja.
“Bagaimanapun musim kedua ini saya tidak menampilkan watak lakonan Fauziah Nawi bagi memberi lebih impak kepada watak suaminya. Saya terpaksa mematikan watak Fauziah bukan kerana masalah komitmennya tetapi selepas berbincang dengan pihak Astro, mereka mahukan musim kedua lebih memberi impak bukan saja kepada penonton malah jalan ceritanya membabitkan Tok Adi,” katanya.
Hadir sama Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi yang mewakili Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar.
Menurut Azlin, sebagai saluran kerohanian dan ilmiah, saluran Oasis sentiasa menerbitkan drama berbeza untuk memberi kelainan dan kesannya kepada penonton.
“Menerusi drama Tanah Kubur, kami mendapat maklum balas yang baik dan menjadi drama yang mencatat rating tertinggi sepanjang saluran ini beroperasi. Atas permintaan penonton dan perbincangan bersama kami bersetuju menyambung drama ini untuk bekalan ilmu kepada semua pihak,” katanya.
Drama Tanah Kubur yang disiarkan selama 13 episod menceritakan pengalaman seorang penggali kubur, Tok Adi, lakonan Nasir Bilal Khan yang melalui pelbagai peristiwa aneh ketika menguruskan jenazah.
Selain Nasir, drama itu dilakonkan Talha Harith, Jasmin Hamid, Amyza Aznan dan Zulkefli Zain. Pada majlis pelancaran drama itu juga, Astro turut mengadakan majlis tahlil kepada arwah Zami Ismail yang pernah terbabit di dalam drama itu untuk musim pertama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: