Monday, October 31, 2011

Harapan besar Aaron, Erra, Umie

Buat julung kalinya, tiga bintang tersohor akan disatukan atas pentas yang sama. Menerusi satu teater hebat, Aaron Aziz, Erra FAzira, Datin Paduka Umie Aida berganding bahu merealisasikan impian untuk bergelar raja dan ratu pentas teater.

Menerusi teater Badai Semalam, ini adalah produksi ulung pihak Istana Budaya bagi tahun ini. Ternyata, mereka begitu teruja untuk mempersembahkan diri mereka dalam bentuk watak yang diberikan. Debaran semakin dirasai apabila teater yang diangkat daripada sebuah novel hasil nukilan novelis terkenal, Khadijah Hashim.

Teater di bawah arahan Kahirunazwan Rodzy begitu berat kerana memerlukan pelakon bermain dengan emosi. Sudah menjadi kelaziman, bukan mudah untuk menyentuh hati penonton secara langsung. Namun, itulah cabaran yang dipikul oleh seluruh krew produksi ini.

Bagi ketiga-tiga pelakon ini, mendapat kepercayaan untuk bekerjasama adalah peluang yang tidak perlu dilepaskan. Erra Fazira dan Aaron Aziz bukan lagi gandingan bisa. Pasangan ini pernah disatukan menerusi beberapa drama. Bukan lagi satu perkara sukar bagi mereka untuk menjiwai watak yang saling memerlukan telah wujud.

Tetapi, berbeza dengan Aaron yang masih ada perasaan gementar untuk sekali lagi berkolaborasi dengan Erra. Gementar itu ditambah dengan kehadiran Umie Aida yang turut sama menerajui Badai Semalam.

Perasaan sama turut diakui Umie Aida. Menganggap ia peluang keemasan berlakon dengan dua pendukung utama Badai Semalam ini dirasakan sangat berharga. Malah, Umie Aida nyata begitu gembira dapat berlakon bersama rakan baiknya ini, Erra. Bukan itu saja, melakonkan watak sebagai ibu kepada Aaron dalam teater ini merupakan pengalaman baru baginya.


Erra serasi berlakon dengan Aaron


Kemunculan primadona filem Melayu dengan jejaka kacak kelahiran Singapura ini sebelumnya dilihat telah digabungkan buat pertama kalinya menerusi drama komedi romantik, Cinta Lelong dan 30 Hari Mencari Cinta terbitan Astro.

Barangkali gandingan dua pelakon popular, Aaron Aziz dan Erra Fazira sudah seringkali menghiasi di kaca televisyen dalam drama mahupun filem. Tetapi kali ini, wajah mereka sekali lagi bakal menjadi taruhan utama dalam teater Badai Semalam.

Malah, kedua-duanya tanpa berselindung juga mengakui mula ada keserasian untuk berlakon bersama dalam sebuah produksi.

Dengan jaminan tersebut, maka tidak hairanlah jika tanggungjawab yang diberi untuk menjayakan teater Badai Semalam dapat direalisasikan dengan memainkan emosi penonton nanti.

Erra yang ditemui pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Istana Budaya dengan syarikat Frensis Sdn Bhd (penerbit bersama) memberitahu, dia cukup teruja apabila disuakan peluang berdepan mata untuk berlakon dengan Aaron.

“Setelah berpengalaman berlakon bersama sebelum ini dalam beberapa drama dan filem, saya yakin kami berdua dapat menjiwai watak kami yang saling memerlukan dalam Badai Semalam.

“Malah, selesa bekerjasama dengan Aaron sebab dia seorang pelakon lelaki yang baik dan profesional. Sudah pasti saya gembira dapat digandingkan sekali lagi dengan Aaron apatah lagi menyedari kerjasama kami akan lebih mudah.

“Dalam gandingan sebelum ini, kami sering berdiskusi tentang babak yang ingin dilakonkan. Dari situ keserasian timbul, sekali gus menjayakan adegan yang melibatkan kami berdua kelak,” kata pemilik nama penuh Fazira Wan Chik ini.

Menurutnya, bukan mudah untuk membawakan watak Mazni kerana dia terpaksa mendalami watak itu agar dapat memberikan persembahan yang terbaik.

“Karya ini sangat ulung dan memberi impak besar kepada orang ramai. Apabila ia dipentaskan dan watak utama sebagai Mazni diserahkan kepada saya, ia sememangnya satu penghormatan kepada saya,” katanya.

Bagaimanapun, Erra mengaku yang dia belum lagi berkesempatan membaca karya tersebut tetapi sudah tahu keseluruhan jalan cerita.

“Selain itu, saya amat teruja untuk terlibat dalam teater ini kerana saya berpeluang bekerjasama bersama dua rakan baik saya, Umie Aida dan Ziela Jalil.

“Malah, rasa rindu untuk menyanyi sedikit terubat apabila dalam Badai Semalam, terdapat beberapa babak yang memerlukan saya menyanyi,” katanya sambil tersenyum manis.


Aaron berdebar walaupun teruja

Menyambung bicara tentang Badai Semalam, Aaron juga tidak dapat menyembunyikan perasaan terujanya apabila mengetahui dia bakal bergandingan dengan pelakon hebat seperti Erra dalam Badai Semalam.

Berdasarkan pengalaman sebelum ini, Aaron menyifatkan Erra seorang pelakon yang baik dan peramah walaupun sudah punya status tersendiri dalam industri ini.

“Erra sentiasa merendah diri dan mengambil berat tentang pelakon lain yang terlibat berlakon bersama dalam drama atau filem. Erra memang berbeza sehingga membuatkan saya begitu senang hati dapat bekerja dengannya dalam satu produksi.

“Walaupun ini bukan kali pertama saya digandingkan dengan Erra, perasaan gementar masih ada dalam diri kerana perlu memainkan peranan sebagai Karim dalam Badai Semalam bersama beberapa lagi pelakon hebat seperti Umie Aida, Ziela Jalil, Fizz Fairuz dan Emelda.

“Saya berharap agar kami semua dapat bekerjasama dan saling membantu watak masing-masing dalam menjayakan teater Badai Semalam seperti yang diharapkan pengarah dan penerbit,” kata ayah kepada tiga anak ini.

Menurut Aaron, walaupun latihan belum bermula, tetapi debaran untuk berlakon di atas pentas telah pun menerjah dirinya, apatah lagi dihimpit dua pelakon wanita hebat dan lebih berpengalaman.

“Saya tidak akan persiakan peluang untuk belajar bagaimana menjiwai watak dalam sesebuah teater dengan lebih berjaya daripada mereka,” katanya.

Malah, keputusan menerima tawaran daripada pihak penerbit menguji tahap kebolehannya dalam seni lakonan teater yang mana wataknya perlu lebih dijiwai.

“Memang berlakon di atas pentas teater dengan berlakon dalam drama atau filem member satu pengalaman yang sangat berbeza. Sebelum ini saya pernah terlibat dengan teater Natrah.

“Dari situ, baru saya tahu, seni teater lebih mencabar berbanding yang lain. Tetapi tidak sangka pula saya akan dilamar sekali lagi untuk berlakon dalam Badai Semalam. Walaupun gementar membawa watak utama, saya akan cuba sedaya upaya menjayakannya.

Pemilik nama sebenar Aaron Mustapha Aziz ini juga menganggap medan teater adalah satu ujian getir buatnya tentang sejauh mana dia dapat membawa watak Karim yang berjiwa romantis dan akan bertutur dengan bahasa cinta serta ayat yang jiwang-jiwang.


Watak wanita berusia beri pengalaman baru - Umie Aida

Sementara itu, bagi sahabat Erra, Umie Aida, membawa watak seorang wanita berusia 50 tahun yang sentiasa memberontak adalah satu pengalaman baru dalam kariernya.

Menurutnya, ia juga cabaran buatnya untuk menjiwai sifat seorang wanita yang sentiasa bersuara lantang dan selalu marah-marah, namun begitu dia yakin akan berjaya menjiwai watak tersebut.

“Walaupun berpengalaman berlakon dalam beberapa teater sebelum ini, bagi saya cabaran dilalui adalah berbeza. Membawakan watak sebagai ibu kepada Karim lakonan Aaron Aziz ini memang benar-benar menguji kemampuan saya.

“Tetapi apabila melihatkan kepada Erra yang sememangnya sudah biasa dengan saya di samping Aaron, pelakon yang berbakat, saya tidak gentar untuk menjayakan Badai Semalam.

“Walaupun pertama kali bergandingan dengan Aaron, saya yakin keserasian antara kami akan wujud. Ini kerana, saya lihat dia sangat profesional, sama seperti pelakon-pelakon lain,” kata Umie yang sibuk dengan filem Azazil yang dilakonkan bersama Remy Ishak dan Diana Danielle.

Sebelum ini, Umie Aida pernah berlakon dalam teater Mencari Juita, Penyerahan Puteri, Dejavu Seorang Perempuan, Lantai T Pinkie dan Teater Natrah.

Istana Budaya pilih pelakon hebat

Melihat pada kelebihannya, novel Badai Semalam berjaya mencuri perhatian Istana Budaya (IB) atas dasar nilai yang mesti diangkat dan dipertontonkan kepada umum, terutama generasi yang pernah menyerap Badai Semalam ke dalam minda mereka.

Biarpun jalan ceritanya mudah, bagi Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani, ada sesuatu yang istimewa tentang novel tersebut hingga mencetuskan minat untuk mempersembahkannya dalam bentuk teater.

Taruhannya, teater ini dibarisi oleh pelakon hebat seperti Erra Fazira (Mazni), Aaron Aziz (Karim), Fizz Fairuz (Zaki), Umie Aida (Rohana) dan Ziela Jalil (Bibah) sebagai watak utama yang akan menerajui teater ini di samping pelakon Emelda Rosmila yang membawa watak ringan.

Baginya, watak Mazni dan Karim dalam novel Badai Semalam karya hebat Khadijah Hashim itu sangat sesuai dilakonkan kedua-dua artis hebat Malaysia dan Singapura itu.

“Apabila mendapat idea untuk mementaskan Badai Semalam, saya sudah membayangkan siapa yang sesuai melakonkan watak utama dalam Badai Semalam. Bagi saya Erra dan Aaron sangat sesuai untuk watak tersebut kerana kelebihan dan kekuatan yang mereka ada, teater ini pasti berjaya menarik ribuan penonton” katanya pada sidang media teater Badai Semalam.


Istana Budaya ketengah bakat baru

Teater ini, yang diterajui tenaga berpengalaman dalam industri seni menjadi taruhan penerbit dan produksi dengan mengetengahkan banyak tenaga dan bakat baru sebagai tulang belakang Badai Semalam, bagi memastikan penonton tidak akan dikecewakan.

Katanya, peluang itu diberikan kepada kelompok berkenaan adalah bertujuan memberi ruang dan peluang untuk bakat mereka diketengahkan dan IB diharap dapat menjadi ‘platform’ terbaik buat mereka.

“Mengetengahkan nama baru tetapi berbakat dalam seni persembahan dan pengarahan amat penting bagi membolehkan IB melahirkan pelapis industri.

“Dengan memberi peluang kepada orang yang kita tahu berbakat dan sememangnya dunia mereka adalah teater umpama menyambung nyawa dalam bidang seni persembahan,” kata Mohammed Juhari, yang bakal memulakan latihan Badai Semalam, minggu ini.

Antara yang dimaksudkan adalah pengarah berpengalaman, Khairunazwan Rodzy, graduan lulusan Ijazah Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) yang dipertanggungjawabkan mengarah pementasan teater Badai Semalam.

Sementara itu, cabaran kepada Rahimidin Zahari untuk menyusun skrip yang menarik bagi memastikan keindahan Badai Semalam dapat dipindahkan daripada teks ke pentas tanpa ada ruang untuk mana-mana pihak buat perbandingan.

Pengarah artistik pula, Irwan Ismadi, yang juga Penolong Pengarah teater Natrah kali ini bakal menjadi ‘peneraju’ untuk menentukan ‘di mana’ dan bagaimana bentuk Badai Semalam apabila dipentaskan.

Juhari berkata, skrip teater Badai Semalam ditulis oleh Erma Fatima bersama Aminah Rapor serta beberapa panel dari IB.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: