Monday, October 31, 2011

Cabaran besar Remy, Jojo



TANGGAL 29 Februari adalah satu tarikh yang cukup unik memandangkan ia hanya akan muncul pada ‘tahun lompat’ iaitu 29 Februari hanya muncul setiap empat tahun sekali. Berdasarkan tarikh tersebut, ia telah memberikan idea kepada KRU Studio untuk menerbitkan sebuah filem bercorak cinta muzikal dengan menggunakan judul 29 Februari.

Ia merupakan filem kedua yang diarahkan oleh Edry selepas filem Magika pada tahun lalu.

Berbanding dengan filem sulungnya sebelum ini yang bercorak fantasi serta memaparkan kisah dongeng masyarakat Melayu, 29 Februari pula berkisar tentang kisah cinta dua insan yang berbeza latar belakang agama dan budaya.

Memfokus tentang seorang lelaki bernama Budi yang dilahirkan pada 29 Februari 1896 dan sepanjang kehidupannya dia telah melalui saat-saat penting dalam peristiwa yang berlaku dalam sejarah Malaysia.

Selain melalui kehidupan dalam pelbagai era, pada masa yang sama Budi juga telah jatuh cinta dengan seorang gadis berketurunan Cina iaitu Lily, namun cinta mereka mendapat halangan dari keluarga gadis berkenaan.

Pelakon utama 29 Februari, Remy Ishak yang memegang perananBudi memberitahu dia tertarik menerima lamaran Edry untuk berlakon dalam filem tersebut adalah disebabkan watak yang agak berlainan berbanding filem-filem lakonannya sebelum ini

Remy mengakui Budi adalah antara watak yang paling berat terpaksa dilakonkannya memandangkan dia perlu menukar perwatakan sebanyak tiga kali bagi mengikut kesesuaian zaman yang dilalui dalam filem tersebut.

“Memang ia adalah sebuah filem yang bercorak cinta, namun ia turut memaparkan kisah hidup yang dilalui oleh Budi yang hidup dengan usia lebih 100 tahun dan telah melalui kehidupan dalam zaman yang sering berubah-ubah.

“Misalnya, saya terpaksa membawa karakter yang berbeza ketika era 40-an, 50-an, 60-an dan sehinggalah pada tahun 2012. Walaupun watak yang saya bawakan ini agak mencabar, tetapi ia adalah satu watak yang sangat menarik,” jelasnya ketika ditemui sewaktu sesi penggambaran filem berkenaan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur minggu lalu.

Selain itu, antara cabaran lain yang terpaksa ditempuhi olehnya apabila dia terpaksa menyanyi tiga buah lagu memandangkan 29 Februari adalah sebuah filem yang bercorak cinta muzikal.


REMY dan Jojo menggalas tanggungjawab untuk menghidupkan paparan realiti jalinan cinta antara dua insan berlainan adat dan agama menerusi filem 29 Februari.


Menurut Remy, dalam filem berkenaan dia terpaksa menyanyikan tiga buah lagu yang dihasilkan sepenuhnya oleh Edry iaitu Seperti Dulu, Jagalah Diri dan Kelip Kelip yang dinyanyikan secara duet bersama Jojo.

“Ini merupakan cubaan pertama saya untuk menyanyi dalam sesebuah filem. Saya akui ini juga sebenarnya adalah antara cabaran yang terpaksa ditempuhi kerana saya memang tidak pandai menyanyi,” ujarnya.

Ditanya mengenai kerjasama sulung dengan Edry, aktor yang popular dengan drama bersiri Nur Kasih itu sangat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh pengarah tersebut ketika membawakan watak sebagai Budi.

Ujar Remy, meskipun dia sudah melakonkan pelbagai watak sepanjang karier lakonannya sama ada dalam drama atau filem, namun dia mengakui masih lagi memerlukan bantuan pengarah untuk membentuk karakter yang lebih berkesan.

“Sebelum ini saya sudah kerap berlakon di bawah pengarah yang biasa seperti Osman Ali dan Khabir Bhatia. Kali ini bekerjasama dengan Edry telah memberikan satu pengalaman yang cukup bermakna dalam karier saya sebagai pelakon,” ujarnya.

Bagi Jojo Goh yang memegang watak Lily pula, dia tidak menyangka apabila menjadi pilihan Edry setelah pada mulanya merasakan dia tidak memiliki peluang yang cerah untuk membintangi filem tersebut.

Jelasnya, setelah menghadiri uji bakat yang pertama pada awal tahun, dia langsung tidak dihubungi oleh pihak KRU Studio. Sehinggalah pada bulan Julai yang lalu apabila dia diminta untuk menghadiri sekali lagi uji bakat dan terus terpilih.

“Selama ini saya kerap berlakon dalam drama serta telefilem Cina dan ini adalah kali pertama saya terbabit dalam pembikinan filem Melayu. Malah, saya rasa cukup bertuah apabila dapat bergandingan dengan pelakon yang hebat seperti Remy.

“Saya akui sebelum berlakon dalam filem ini saya memang langsung tidak mengenali dia. Sehinggakan saya terpaksa mencari maklumat tentang dirinya di dalam Internet, jelasnya.

Mengenai pengalaman berlakon bersama Remy, pelakon kelahiran Alor Star, Kedah itu menjelaskan tidaklah terlalu sukar untuk mencari keserasian di antara mereka berdua dan menyifatkannya sebagai seorang pelakon yang cukup profesional.

“Pada mulanya memang saya rasa agak kekok kerana tidak terlalu mengenali Remy. Bagaimanapun, rasa kekok itu akhirnya terus hilang setelah masing-masing menjadi semakin selesa untuk melakonkan babak-babak cinta,” ujarnya.

Fasih

Memandangkan ini adalah pertama kali terbabit secara langsung dalam pembikinan filem Melayu, Jojo menyatakan penggunaan bahasa sememangnya adalah antara cabaran getir yang terpaksa ditempuhinya.


REMY dan Jojo mencipta sejarah sebagai hero dan heroin filem 3D pertama Malaysia.


Ujarnya, dalam filem berkenaan dia terpaksa bertutur dalam bahasa Melayu sebanyak 90 peratus dan pengarah sendiri telah memintanya untuk bertutur dengan fasih agar watak yang dibawakannya itu nampak lebih berkesan.

“Sebenarnya saya memang sudah fasih berbahasa Melayu memandangkan saya sendiri dibesarkan di persekitaran masyarakat Melayu. Cuma sudah tentu penggunaan bahasa di dalam filem agak berlainan dengan pertuturan seharian.

“Sehinggakan saya yang sebelum ini tidak pernah menonton drama atau telefilem Melayu terpaksa menontonnya untuk mengenal pasti sebutan yang lebih tepat. Kalau di lokasi penggambaran pula, saya akan bertutur dalam bahasa Melayu dengan semua orang,” jelasnya.

Menurut Jojo, selepas selesai menjalani penggambaran filem tersebut, dia bersedia menerima tawaran untuk berlakon dalam drama dan filem Melayu dan berharap kehadirannya nanti akan diterima peminat seperti pelakon berketurunan Cina yang lain.

Tiz Zaqyah

Dan pada itu, Remy Ishak telah membuat pengakuan bahawa dia sememangnya kini sedang menjalin hubungan cinta dengan aktres Tiz Zaqyah.

Menurut Remy, dia tidak bermaksud untuk menyembunyikan hubungannya dengan aktres berkenaan selama ini kerana merasakan percintaan mereka masih lagi peringkat yang terlalu awal.

“Memang saya mengaku sekarang ini sedang bercinta dengan Tiz dan dia adalah satu-satunya wanita yang bertakhta di hati saya. Namun, kami ambil keputusan untuk tidak menggembar-gemburkan tentang hubungan kami kepada peminat,” luahnya.

“Lagipun saya sendiri masih tidak tahu sejauh mana perhubungan kami berdua dan saya risau kalau hubungan percintaan kami ini terlalu diperbesarkan akhirnya tidak menjadi kenyataan,” jelasnya.

Menurut Remy, buat masa ini mereka masih dalam proses saling mengenali hati budi masing-masing dan belum lagi membuat perancangan untuk mendirikan rumah tangga memandangkan kedua-duanya sibuk dengan jadual lakonan yang padat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: