SEPATUTNYA nama Siti Elizad Mohd Sharifudin atau Ejad sudah sebaris dengan pelakon handalan atau bintang popular ketika ini kerana penampilannya dalam beberapa filem yang menyakinkan.
Bagi pelakon berusia 27 tahun ini, masalah keluarga dan kesihatan dirinya membuatkan dia terpaksa memperlahankan kerjaya seninya.
Misalnya, baru-baru ini dia mengalami sakit perut keterlaluan hingga memaksa menjalani pemeriksaan disusuli pembedahan membuang ketumbuhan cyst yang dikesan serentak apendiks seminggu kemudian membuatkannya serik.
Walau peristiwa memasuki bilik pembedahan sudah sebulan berlalu, manakala lukanya juga beransur pulih, baginya pengalaman itu begitu menakutkan.
“Selama ini saya hanya menyangka perut saya berdepan masalah buncit. Saya mengawal pemakanan, berbengkung apabila keluar dan waktu malam pula melakukan regim menyapu losyen pembakar lemak.
“Cuma saya perasan sejak awal tahun masalah pada bahagian itu semakin kronik. Selepas melalui pemeriksaan, doktor mengesan kewujudan cyst yang menekan buah pinggang sekali gus mencetuskan rasa perit.
“Saya terlalu takut. Selepas dikeluarkan, doktor memaklumkan selama ini rupa-rupanya saya membawa cyst seberat empat kilogram,” katanya yang kini tampak lebih langsing.
Mengakui bersyukur kerana kejadian itu secara tidak langsung mengingatkannya supaya sentiasa maklum perubahan diri, sebagai wanita tegasnya penjagaan kecantikan secara luaran saja tidak mencukupi sekiranya soal dalaman tidak diambil peduli.
“Sekarang saya tidak lagi memikirkan mahu sentiasa cantik dan langsing kerana ia akan pudar ditelan waktu namun kesihatan dalaman yang sentiasa dijaga mampu membuatkan kita cergas sepanjang masa,” katanya.
Berbicara soal kerjaya, Ejad memaklumkan banyak produksi yang beranggapan dia masih mengambil cuti sakit sedangkan hakikatnya si pemilik mata bundar itu sudah sedia beraksi di hadapan kamera.
“Kesihatan semakin pulih. Luka pembedahan cepat sembuh dan kini saya tidak sabar kembali bekerja,” ceritanya lagi.
Ada teman akrab baru
Sebelum mengambil cuti sakit, Ejad sempat menyelesaikan penggambaran telefilem Jamilah I Love You pada Julai lalu. Kini, selebriti yang mula bertapak di arena seni sejak enam tahun lalu itu semakin bersemangat untuk kembali bekerja, yang dikatakan didorong beberapa faktor terutama bosan dan sunyi.
Tanpa berselindung, aktres yang aktif di bidang peragaan itu turut mengakui barangkali kesunyian tanpa teman istimewa membuatkannya mahu melupakan lara dengan menyibukkan diri di set penggambaran daripada bersendirian di rumah.
Pemergian ibu tersayang, Nazariah Mohd Salleh, 62 pada April lalu juga menyebabkannya terasa kehilangan apatah lagi sebagai satu-satunya anak perempuan daripada lima bersaudara, Ejad sentiasa mendapat perhatian si ibu serta seisi keluarga.
“Saya kini kembali tinggal dengan ayah kerana lebih dekat dengan pusara ibu. Adik-beradik saya yang lain pula sudah berkeluarga tetapi syukur mereka tetap mengambil berat dan berharap saya bertemu jodoh dengan cepat,” tambahnya tatkala menyentuh soal cinta.
Enggan mengenang kasih lalu yang tidak kesampaian, anak jati Kuala Lumpur itu menyerahkan soal jodoh di tangan Yang Maha Kuasa namun jika dimakbulkan biarlah lelaki yang bakal menghuni hatinya mampu menjadi teman suka duka sepanjang hayat dan menghormati orang tua.
Ketika ini ruang lingkup kehidupan solonya semakin terisi sejak kehadiran si kucing parsi bernama Snowball atau nama manjanya Tobel yang disifatkan sebagai teman akrabnya.
“Tobel milik adik ipar saya, tetapi selepas melahirkan anak sulungnya yang juga anak buah kesayangan saya kira-kira enam bulan lalu, dia menyerahkan kucing itu kepada saya. Sejak itu kami tidak pernah berenggang,” katanya.
PROFIL
Nama penuh: Siti Elizad Mohd Sharifudin
Tarikh Lahir: 25 Mei 1984
Asal: Kuala Lumpur
Status: Bujang
Keluarga: Anak keempat daripada lima adik-beradik
Kerjaya: Pelakon, Pengacara, Model
Filem: Berlari Ke Langit, Gangster, Main-Main Cinta, Rock, Bilut, Lembing Awang Pulang Ke Dayang, Cinta Yang Satu
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: