Sunday, October 30, 2011

Sentuhan anak Malaysia di Makkah

Bangga...kejayaan sebagai anak Malaysia di persada dunia.
Bangga...kejayaan sebagai anak Malaysia di persada dunia.

DENGAN jolokan nama ‘Spiderman Malaysia’ di Makkah, sudah tentu tidak tercapai akal fikiran sekumpulan rakyat Malaysia mempunyai keberanian dengan hanya bergantung kepada tali keselamatan untuk memasang komponen pada struktur jam berketinggian 601 meter dari paras laut.

Umum tidak mengetahui kumpulan pakar berkenaan mengambil risiko tinggi mempertaruh nyawa mereka demi menjalankan tanggungjawab mengendalikan operasi pemasangan dan pemantauan Menara Hotel Jam Diraja Makkah atau lebih dikenali dengan nama Abraj Al-Bait.

Selain menggambarkan keunikan menara jam gergasi menjadi kemegahan umat Islam seantero dunia, rakyat Malaysia juga patut berasa bangga dengan pencapaian anak tempatan yang turut berpeluang membina struktur Abraj Al-Bait.

Berpegang teguh pada ajaran Nabi Muhammad SAW, sekumpulan 14 anak Malaysia mewakili Syarikat Premier Composite Technologies LLC (PCT) menggembleng tenaga dan kemahiran bagi memastikan keutuhan struktur menara berkenaan terjamin.


Jurutera Reka Bentuk dan Seni Bina PCT, Hairul Nizam Baharuddin, 34, mengakui teruja menerima tanggungjawab itu apabila berkesempatan berganding bahu dengan rakan senegara daripada syarikat berbeza untuk projek antarabangsa.


Selaku ‘orang’ utama, anak kelahiran Melaka ini berperanan mengetuai 13 lagi rakan senegara yang memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang tersendiri, merangkumi operasi pemasangan, pemantauan dan pengurusan di bawah kendalian PCT.

Hairul Nizam bukan saja menguruskan hal pentadbiran, pemantauan pembinaan dan penghasilan struktur binaan diterima daripada Dubai, bahkan bertanggungjawab menjaga kebajikan anak buahnya.

“Ini cabaran terbesar yang pernah saya lalui dalam menguruskan projek raksasa. Bukan hanya berkisar kepada pengurusan, sebaliknya aspek kejuruteraan, reka bentuk struktur dan seni bina.

“Tambahan pula, tidak ramai yang mahir berkaitan ilmu bidang komposit teknologi tinggi. Ia memberi peluang untuk berkongsi pengetahuan, kemahiran dan idea daripada pihak terbabit.

“Biarpun memiliki pengalaman hampir 10 tahun dalam bidang ini, masih banyak perlu saya pelajari dan terokai. Pengetahuan ini wajar dikembangkan bukan hanya keperluan diri, bahkan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Meluahkan rasa bangga menjadi insan terpilih bagi menjayakan projek Abraj Al-Bait, Hairul Nizam berpendapat ia satu manfaat berkongsi pendapat dan bertukar-tukar kepakaran.

Kerjasama membabitkan rakyat negara asing seperti Pakistan, India, Iran dan Syria membuatkan lelaki ini menggunakan pelbagai kaedah berkomunikasi bagi memastikan mesej difahami.

Biarpun menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantara utama, ia bukan jaminan keberkesanan komunikasi antara mereka, apatah lagi wujud perbezaan bahasa dan budaya.

Berada pada ketinggian 380 meter untuk memasang jam berkenaan, rakan sekerjanya, Armiazizul Ariffin menyifatkan bekerja di tempat tinggi menjanjikan kepuasan dirinya, selain teruja dengan kerjaya sebagai pendaki.

Menurutnya, bidang kepakaran pendaki terbahagi kepada dua kategori iaitu industri dan sukan.

Katanya, bagi kategori industri, segelintir syarikat memerlukan pendaki yang memiliki kelayakan akademik sama ada kejuruteraan awam mahupun mekanikal.

Malah, pendaki diharuskan memiliki lesen khas iaitu Industrial Rope Access Trade Association (IRATA) diiktiraf antarabangsa sebelum diajar aspek dan teknik keselamatan.

Sementara itu, rakannya, Zulkefli Sulaiman berkata, pengalaman yang ditimba sebelum ini membuatkan dirinya yakin melakukan kerja mengguna tali keselamatan.

Menjadikan halangan dan dugaan dilalui sebagai titik permulaan, beliau berkata, keberanian antara elemen penting yang perlu ada dalam diri individu. Ia bukan mudah untuk diperoleh, kecuali disertakan bersama minat mendalam.

Abraj Al-Bait cukup unik apabila setiap kali azan bergema menandakan masuknya waktu solat di tanah suci Makkah, cahaya berwarna hijau dan putih akan terpancar sejauh 30 kilometer.

Cahaya yang terhasil daripada 21,000 lampu itu menjadi isyarat kepada penduduk kota berkenaan untuk menunaikan perintah Allah, seperti mana di Malaysia, masyarakat Melayu tradisional menggunakan beduk sebagai peralatan hebahan.

Menara berkenaan menjadi lambang kemegahan terkini umat Islam apabila berjaya merebut gelaran jam gergasi dunia pada ketinggian 601 meter dan berdiameter 46 meter.

Meninggalkan jauh saingannya seperti Menara Jam Palace of Culture and Science di Warsaw, Poland, The Big Ben, London dan Ann-Bradley, Milwaukee, Amerika Syarikat, Abraj Al-Bait dibangunkan Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud menerusi Yayasan Raja Abdul Aziz, selain menggunakan 250 tenaga mahir Muslim.

Memiliki empat muka yang diperbuat daripada jubin komposit berteknologi tinggi dan sebahagian bersalut emas, jam gergasi itu turut tertera perkataan Allah di bahagian atas selain bercahaya menggunakan dua juta lampu LED.

Menggunakan kepakaran jurutera Jerman dan Switzerland serta dibangunkan kontraktor Kumpulan Binladen, jam kebanggaan masyarakat padang pasir yang mampu dilihat seluruh kota Makkah itu memulakan operasi sejak 11 Ogos, tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: