Sunday, October 30, 2011

Erra mengganas

pix_gal0
Bekas primadona filem Melayu tetap laris biarpun populariti tidak segah dulu

SUATU masa dulu, nama Erra Fazira, pernah berada di puncak kegemilangan hingga mendapat gelaran sebagai Primadona Filem Melayu apatah lagi banyak filem lakonannya meletup di pawagam. Namun, seiring peredaran masa, takhta itu tak selamanya menjadi milik Miss Malaysia/World 1992 ini.

Gelaran itu dikatakan berpindah tangan kepada Lisa Surihani. Malah, ada yang melihat situasi itu sebagai petanda dan ramalan kepada zaman kejatuhan pemilik nama sebenar, Fazira Wan Chek. Hakikatnya ibu kepada Engku Aleesya ini masih bertahan dan utuh pada liga yang tersendiri.
Filem antarabangsa Hidden lakonannya yang terperap lama pun mula ditayangkan di seluruh negara 20 Oktober lalu. Kontraknya sebagai Wajah Eksklusif Astro juga disambung dua tahun lagi, selain drama lakonannya di saluran Astro juga masih rancak disiarkan.
Drama lakonannya, Sanggul Beracun arahan Sabri Yunus memegang peranan sebagai Siti Aminah turut mendapat perhatian juri untuk malam kemuncak Anugerah Skrin (ASK) 2011 pada 4 November ini di TV3. Selepas teater muzikal Tun Mahathir, Erra kini menghitung hari untuk beraksi dalam teater Badai Semalam di Istana Budaya pada 11 November ini.

Ketika ini juga mula kedengaran nama Erra dan teman baiknya, Umie Aida menerusi drama Air Mata Nursalina antara yang disebut-sebut untuk bersaing kategori Pelakon Wanita Terbaik ASK 2011. Namun, hanya pada malam kemuncak senarai Top 5 akan diumumkan.

“Semestinya calon setiap kategori yang dipilih dan akan diumumkan 4 November ini sememangnya layak. Jadi kalau nak ditanya apa harapannya, Erra sendiri tidak meletakkan sebarang harapan dalam kepala otak. Erra sendiri tak tahu sama ada akan berada dalam kelompok terbaik atau tidak.

“Andai kata nama Erra tersangkut itu sudah cukup baik. Tapi Erra berasakan Umie Aida akan berada dalam calon terbaik nanti. Bukan mahu bersikap berat sebelah kerana dia kawan baik tetapi Erra yakin dia boleh masuk top 5. Selain itu, Erra pun tak tahu calon mana lagi yang akan berentap.
“Untuk watak Erra sendiri dalam Sanggul Beracun, Erra berterima kasih produksi Balang Rimbun kerana memberi kepercayaan dan berani menawarkan watak itu. Sejujurnya, Erra sendiri tidak tahu kenapa tak banyak syarikat produksi yang sanggup menawarkan Erra watak seumpamanya,” kata Erra yang memegang watak sebagai seorang wanita yang membunuh kejam 100 suami bagi mengekalkan kejelitaan yang diberikan kuasa syaitan menerusi Sanggul Beracun.

Pengalamannya dalam dunia seni lebih sedekad menyaksikan tuahnya bergelar juri tetap program realiti TV, Vokal... Bukan Sekadar Rupa yang disiarkan di TV3. Erra bersama teman akrabnya, Umie Aida turut diberi mandat sebagai penasihat program Pilih Kasih musim ketiga di sisi Rosyam Nor.

Rezeki penyanyi lagu Pasrah ini makin murah. Sedar atau tak, jelas di sini Erra sebenarnya sedang ‘mengganas’ kembali. Kebangkitan semula pelakon yang diperkenalkan Datuk Yusof Haslam ini semakin hangat momentumnya.

“Industri seni kita sentiasa diwarnai dan bertambah dengan generasi pelapis. Erra sendiri mengalu-alukan bakat baru ini. Erra juga sedar tak selamanya kita akan berada di tahap yang selesa. Pada awalnya, Erra sendiri sudah berhasrat untuk memperlahankan rentak kerjaya seni.

“Namun begitu, Alhamdulillah rezeki yang datang tak pernah surut. Tawaran berlakon itu sentiasa ada. Cuma Erra tak ada album baru di pasaran. Filem pun baru muncul iaitu Hidden. Tawaran berkongsi ilmu seni yang ditimba untuk peserta program realiti juga ada selepas kejayaan Erra membimbing Salma bagi Mentor musim kelima.

“Misi Erra kini bukan lagi untuk bersaing sesama sendiri di dalam industri. Ataupun terdesak untuk kekal popular. Hal kemasyhuran datang dan pergi. Ia boleh menyaluti kehidupan glamor kita dan hilang sekelip mata. Syukur Erra masih di sini dan Erra tahu ada di kalangan anak seni yang bergelut untuk terus berada di atas,” katanya dalam pertemuan dengan B*POP, baru-baru ini.

Sesuatu yang diketahui ramai, pelakon filem Sembilu ini sebenarnya cukup tebal dengan sikap pemurah. Duta lakaran batik Desa Murni Batik Sdn Bhd yang beroperasi di Kuala Terengganu, Terengganu percaya bukan dia saja yang memilih untuk berkongsi rezeki yang diperoleh dengan orang lain.

“Tuhan bagi rezeki kita murah bukan untuk seorang diri tetapi untuk dikongsi dengan orang sekeliling. Salah satu kebahagiaan Erra apabila melihat mereka yang cukup bermakna dalam hidup sama-sama bahagia. Terutama mereka yang banyak membantu Erra sekian lama seperti jurusolek dan pereka fesyen contohnya.

“Biarlah kita sama-sama gembira. Memang ada yang selalu ingatkan Erra simpanlah rezeki yang diterima buat bekalan hari mendatang. Bekalan, bekalan juga. Tapi Erra selesa dan OK untuk membahagikan rezeki yang diterima dengan orang lain,” katanya yang banyak belajar daripada pengalaman lalu mengenai apa saja keputusannya kini untuk tidak mencampuradukkan kerjaya dan peribadi pada serentak.

Diaju persoalan mengenai gosip yang pernah dikeluarkan dalam ruangan Cik Normah bertulis cerita pelakon Lisa Surihani kononnya tidak disambung kontraknya sebagai wajah eksklusif Astro kerana dikatakan gagal menambah rating program siaran Astro, Erra mempunyai pendiriannya tersendiri.

Malah, dalam gosip itu turut mengaitkan kontrak Erra sebagai artis senior masih disambung Astro kerana khabarnya mampu menarik orang ramai untuk terus melanggan dan menonton rancangan yang menampilkan dirinya. Kata Erra, tidak adil untuk menjatuhkan hukuman kepada artis semata-mata apabila rating menurun.

“Dalam sesebuah cerita yang dipersembahkan kepada penonton, ia bukan bergantung kepada artis saja. Malah dari sudut jalan cerita, pengarahan dan sinematografi juga perlu diambil kira. Apabila sesebuah cerita diminati dan sukses, pujian melambung diterima tetapi apabila rating jatuh selalunya artis dipersalahkan.

“Ia sangat berat sebelah. Erra yakin situasi sebegini ramai artis yang melaluinya. Pada saat ini juga sebagai pelakon, ada kalanya perhitungan kita terhadap sesebuah cerita itu bagus menjadi tersasar. Erra sendiri mengakui ada membaca skrip yang dikira bagus tetapi hasilnya selepas divisualkan tidak seperti yang diharapkan,” katanya yang tak makan malam sebagai amalan diet.

Menangis kerana Mazni

DI sebalik menggalas dan menerima pelbagai komitmen dalam satu masa, Erra percaya ada rahmat di sebalik semuanya di samping mengharapkan pengakhiran yang indah dalam apa yang diputuskan. Dia mengakui beberapa projek yang dijalankannya kini dipertimbangkan disebabkan kawan.

Projek dimaksudkan itu ialah Vokal.. Bukan Sekadar Rupa dan teater Badai Semalam. Mujur pula komitmen untuk Pilih Kasih 3 secara total hanya akan dilunaskan dari awal tahun depan hingga April. Kini, tumpuan Erra sekali gus membahagi masa hanya untuk dua projek yang selebihnya.

Untuk watak Mazni dalam teater Badai Semalam, Erra mengakui sudah mula merasai bahang tekanan. Ini kerana hampir setiap hari berlatih, dia perlu menangis.

“Erra tak melihat watak ini klise sekalipun watak air mata pernah dianggap sinonim dengan diri ini. Tapi untuk medium teater, kita menangis bukan syahdu dan sendu semata-mata macam kebiasaan sebaliknya kena menangis secara overdose. Ibaratnya Mazni ini malang bertimpa-timpa.

“Sebenarnya Umie yang paksa Erra menerima watak ini. Geram juga dekat dia (Umie). Tapi perjuangan harus diteruskan. Erra sudah memulakannya dan semestinya Erra takkan menyerah kalah dalam memberi warna dan rasa kepada watak ini,” katanya yang turut menyertai Umie dan Ziela Jalil memikul tugas sebagai penerbit di bawah syarikat Frensis Sdn Bhd menerbitkan teater Badai Semalam dan kos penerbitan ditanggung bersama dengan Istana Budaya.

Sesibuk manapun Erra, dia dan suami, Engku Emran takkan lupa untuk membahagi masa untuk berkongsi kasih sayang dengan si pujaan hati, Engku Aleesya yang sudah hampir genap usia tiga tahun. Sesekali Intan Zabidin selaku ibu angkat Aleesya yang juga kawan baik Erra menjaganya selain mengharapkan pembantu rumah.

“Pantang ada masa lapang dan terluang, anak jadi keutamaan Erra. Tetapi apabila bekerja dan tak dapat elak untuk bersamanya, memang Erra akan beri perhatian ‘gila-gila’ untuk kerja. Ini juga sebahagian pengorbanan Erra untuk meneruskan survival sebagai anak seni.

“Kebiasaannya, rutin Erra di rumah ialah tidurkan Aleesya. Erra ajar dan biasakan dia supaya setiap kali buka dan tutup mata, Erra orang pertama yang dia nampak. Kebelakangan ini pembantu rumah yang terpaksa ambil alih tugas itu.
Terkilan juga tapi saya akan ganti balik lepas selesai komitmen kerja,” katanya sambil memberitahu akan ke Jakarta untuk penggambaran telefilem Astro selepas selesai Badai Semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: