Sunday, October 30, 2011

Line Clear tak promosi saya – Bkay


Punya cita-cita besar dalam industri seni.


PELAKON Bkay Nair sekali lagi mengundang kontroversi dengan mendakwa syarikat pengurusan yang dinaungi, Lineclear Motion Pictures (Lineclear) tidak bijak mempromosikan dirinya hingga kurang mendapat tawaran berlakon.

Sepanjang menandatangani perjanjian dengan syarikat berkenaan pada Oktober 2009, Bkay hanya berlakon sebuah filem iaitu Ratu The Movie dan satu babak untuk tiga filem di bawah Lineclear pada tahun ini.

Tambahan pula, bebanan tugas sebagai Pegawai Perhubungan dan Pengurus Koordinasi Wayang Studio International (WSI) banyak mengekang potensi diri untuk terlibat dalam dunia lakonan sepenuh masa.

Justeru, anak kelahiran Kulai, Johor itu memutuskan untuk ‘bebas’ dari ikatan syarikat pengurusan tersebut sekitar April lalu. Tindakan diambil setelah mendapati dirinya terikat dengan terma syarikat sedangkan masih banyak potensi diri yang belum diterokai sebagai anak seni.

“Saya buat keputusan ini dengan mengambil kira masa depan saya dalam dunia lakonan. Bukan kerana mahu cepat terkenal. Apa yang dilakukan ini semata-mata kerana rasa minat mendalam dan mahu mengukuhkan nama di persada seni,” hujah Bkay.

Wanita berusia 29 tahun ini juga mengakui bahawa jawatan yang dipegang di WSI kadangkala mengelirukan pihak penerbit untuk menawarkannya berlakon.

“Tak sesuai kalau seorang pelakon itu membuat dua kerja dalam satu masa. Terutama buat artis pelakon baru macam saya. Tugas terdahulu saya buat ramai orang salah anggap.

“Saya ada dengar orang cakap saya ambil kesempatan dengan posisi jawatan saya. Katanya, memudahkan saya untuk mendapat tawaran berlakon. Tapi sebenarnya, sama sekali salah,” sambungnya lagi.

Sehingga pada hari ini, Bkay sudah berlakon watak penting dalam empat buat drama bersiri sejak ‘bebas’ iaitu Gerak Khas untuk TV2, Dewa Cinta (TV3), Musim Kirana (TV2) dan Suara Banduan (TV2).

Begitu juga dengan dua buah drama yang bakal memulakan siri penggambaran pada bulan depan iaitu sambungan Musim Kirana dan filem Skandal. Dia juga mendapat tawaran pengacaraan untuk siri dokumentari 13 episod berjudul Sifu untuk TV2.

Ditanya adakah Bkay menyesal dengan tindakan meninggalkan syarikat Lineclear terlalu awal sedangkan dalam kontrak termaktub tempoh tamat setahun lagi, wanita ini pantas menggelengkan kepala.

“Saya tak menyesal kerana saya menjual bakat sepenuh masa. Siapa yang nak tanggung kehidupan saya kalau berterusan tiada tawaran berlakon. Lagi pun rezeki ada di mana-mana bukan. Apa yang penting adalah usaha kita sahaja,” katanya penuh optimis mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: