KUMPULAN syarikat Naza, pengedar rasmi kereta jenama KIA dan Peugeot di Malaysia sedang berbincang dengan KIA Motors, syarikat automotif Korea Selatan dan Peugeot, pengeluar kereta Perancis, untuk mengedar kedua-dua jenama itu di beberapa negara Asia Tenggara khususnya di Thailand dan Vietnam, pada tahun depan.
“Walaupun francais itu nanti akan menggunakan nama syarikat pengeluar dan kenderaan terbabit, tetapi secara teknikalnya ia adalah usaha sama Naza dengan pengeluar kenderaan itu yang juga rakan niaga kumpulan ini,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pengerusi Kumpulan Naza, SM Nasaruddin SM Nasimuddin enggan mengulas secara terperinci ketika ditanya mengenai perkara itu, baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan peluang mengembangkan francais auto ke luar negara termasuk meneroka pasaran negara serantau.
Katanya, ketika ini semua kerjasama dengan rakan niaganya hanya untuk pengedaran di pasaran tempatan, namun begitu peluang ditawarkan rakan niaganya untuk mendapatkan lesen pengedaran di negara serantau, bakal memberikan manfaat besar kepada operasi kumpulan itu.
“Kami menetapkan hasrat mengembangkan teras perniagaan ini ke luar negara dan tumpuan kami kini adalah pasaran Asia Tenggara dan jika tiada masalah kami berharap dapat melaksanakannya seawal tahun depan.
“Kami sedang bekerjasama dengan pengeluar terbabit, namun saya tak dapat nyatakan model jenama mana serta pasaran yang bakal kami masuk tahun depan kerana proses bidaan sedang berlangsung dan kami sudah memeterai perjanjian untuk tidak mengumumkannya.
“Kerjasama dengan rakan niaga ini untuk mengembangkan operasi di luar negara dan kini kami dapat peluang melaksanakannya, terpulang sama ada kami bersedia atau tidak, dan ia tidak akan menjejaskan fokus kami pada Malaysia sebagai pasaran utama syarikat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: