Monday, October 31, 2011

Bahas Liga BI asah kemahiran komunikasi


Pelajar Diploma IB MCKK mengendalikan bengkel dan taklimat berkaitan pertandingan Bahas Liga Bahasa Inggeris Tingkatan Satu di sekolah itu di Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini.


Selaras dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), Program Diploma International Baccalaureate (IB) Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) telah menganjurkan Bahas Liga Bahasa Inggeris (BI) Tingkatan Satu di sekolah itu, baru-baru ini.

Pengetuanya, Anand Baharuddin berkata, pertandingan itu merupakan satu langkah proaktif bagi mencari pelapis dan membentuk keyakinan dalam diri pelajar.

"Melalui program ini, pelajar tingkatan satu akan memperoleh banyak kemahiran seperti kemahiran berhujah, mengulas, bekerjasama dalam satu kumpulan serta berfikiran kritis dan pantas," jelasnya.

Sementara itu, Penyelaras program pertandingan ini, Dr. Moomala Othman pula berpendapat, pendekatan awal tersebut berjaya mendedahkan pelajar bentuk format dan teknik berbahas dengan cara yang lebih efisien.

"Dengan ini, pelajar akan merasai pengalaman berbahas dan mengeluarkan pendapat secara kritis," katanya.

Justeru, sebelum pertandingan dimulakan, pelajar Diploma IB mengadakan bengkel dan taklimat stuktur serta tatacara liga tersebut.

Pertandingan ini merupakan sebahagian daripada program Kreatif, Tindakan dan Perkhidmatan (Creatif, Action and Service, CAS) IB MCKK. Ia adalah program sukarelawan untuk memupuk kemahiran komunikasi dalam bahasa Inggeris di khalayak ramai.

Bagi pelajar IB, pertandingan ini digunakan untuk kajian bahasa Inggeris yang memerlukan mereka membuat laporan tentang pengalaman mengelolakan pertandingan bahas bahasa itu dan mendapat maklum balas daripada murid tingkatan satu mengenai keberkesanannya.

Ketua bengkel yang merupakan pelajar IB, Muhammad Afzal Mad Kassim memberitahu, pertandingan itu bukan mencari pemenang sebenarnya, tetapi lebih kepada melihat potensi pelajar yang rata-rata datang dari kawasan luar bandar dan tidak mempunyai peluang untuk berbahasa Inggeris.

"Liga ini merupakan platform terbaik untuk mencari barisan pelapis pembahas bahasa Inggeris dan membentuk keyakinan yang tinggi di kalangan pelajar," katanya.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Satu Cemerlang MCKK, Muhammad Iqbal Ahmad Suji berkata, peluang menyertai bengkel dan pertandingan bahas bahasa Inggeris ini akan dimanfaatkan untuk mewakili MCKK pada masa depan.

"Kesungguhan pelajar Diploma IB memberi inspirasi kepada saya untuk menyambung pelajaran hingga ke peringkat tersebut sebagai persediaan ke luar negara," katanya bersemangat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: