KUMPULAN Taxi mungkin masih belum mampu membina ruang jenamanya setanding dengan kumpulan Hujan, Meet Uncle Hussein (MUH) mahu Pop Shuvit sekali pun.
Tetapi, percayalah. Biarpun masih baru, Taxi sebenarnya mempunyai kelompok pemuja mereka yang tersendiri.
Menjadi juara bagi program Twisties Bingit anjuran Hot FM dan Krafts Malaysia hujung tahun lalu sudah cukup membuktikan bahawa kumpulan ini mampu meraih populariti berdasarkan pilihan pendengar.
Dianggotai oleh empat anak muda, Cidin (vokalis), Iwan (gitar utama), Suki (bass) dan Amin (drum), Taxi memasang hajat untuk memeriahkan industri seni tanah air.
Bersatu memandu misi perjuangan itu, keempat-empat mereka juga mengaku tidak mahu bersaing dengan mana-mana band sementelah menganggap kehadiran mereka cuma untuk berkongsi muzik semata.
“Kami tak pernah terfikir nak menyaingi sesiapa. Kami cuma mahu kekalkan muzik yang kami bawa dan buat yang terbaik.
“Sebab pada kami, sebagai anak seni, muzik adalah untuk dikongsi dan bukan untuk digunakan sebagai senjata untuk bersaing dengan sesiapa.
“Cukuplah asalkan semua masyarakat, tak kira usia, apa bangsa dan keturunan sekali pun dapat menerima kami,” kata Iwan merangkap personel dan wakil kumpulan tersebut.
Cerita Iwan lagi, selepas muncul dengan dua single berjudul Angkubah dan Warna, Taxi mara mengukir langkah menerusi penghasilan album sulung mereka yang berjudul Langkah Pertama yang kini sudah dipasarkan di seluruh Malaysia.
Mempertaruhkan lagu Mimpi Semalam dan Ku Emosi, Langkah Pertama diyakini mampu membawa nama Taxi lebih jauh dalam genre muzik rock moden.
Untungnya Taxi, mereka bertulang belakangkan Iwan yang banyak menyumbang idea sebagai pencipta lagu dan penulis lirik untuk kebanyakan lagu yang mereka hasilkan.
Bagaimanapun, dalam kerendahan hati, kata Iwan, semua itu turut dilakukan dengan bantuan anggota kumpulannya yang lain.
“Rasanya tak adil kalau saya cakap saya seorang sahaja yang menghasilkan lagu untuk Taxi. Sebenarnya, apa pun yang dilakukan, kami banyak bergerak sebagai satu kumpulan.
“Tak kiralah dari apa jua aspek, kami akan saling bekerjasama. Macam buat lagu contohnya, setiap dari kami akan memberikan pandangan.
“Bukan apa, ia demi memastikan lagu yang kami hasilkan ada kualiti dan tak menjemukan telinga pendengar,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: