Monday, October 31, 2011

Pecah rekod tanam karang


Sebahagian daripada karang yang ditanam menerusi program Ribbon Reef, Taman Marin Tun Sakaran, Semporna, baru-baru ini.


Agak istimewa juga apabila sebuah syarikat penyiaran nekad membabitkan diri dalam program pemuliharaan alam sekitar - satu bidang agak jauh daripada teras perniagaannya.

Barangkali akan ada menyimpulkan dengan mudah pembabitannya itu semata-mata sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti mana juga yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat lain.

Namun bagi Astro pembabitan tersebut bukan sebagai gembar-gembur yang hanya bersifat komersial, tetapi atas iltizam mahukan persekitaran marin terpelihara daripada kerosakan dan pencemaran.

Malah, menerusi program yang dikenali sebagai Astro Kasih, syarikat terbabit turun padang membantu masyarakat. Ia dimulakan sejak tahun lepas lagi menerusi pelbagai skop aktiviti yang luas.

Ketika itu, atau tepatnya pada 15 Januari 2010, pulau Mabul di Semporna menjadi lokasi penanaman karang.

Kejayaan tersebut mencatatkan sejarah apabila Astro muncul sebagai badan korporat pertama yang menjalankan pemuliharaan terumbu karang di pulau terbabit yang melibatkan 20 orang penyelam yang terdiri daripada sukarelawan.

Pada 2 Oktober tahun yang sama, Pulau Mabul sekali lagi dipilih untuk program yang sama tetapi kali ini melibatkan 40 sukarelawan menerusi program Astro Kasih Reef.

Namun, bagi memberi lebih makna kepada catatan sejarah yang sudah dipahat itu, syarikat terbabit turut melibatkan 70 murid Sekolah Kebangsaan Pulau Mabul.

Penglibatan mereka bukan sekadar meramaikan majlis, lebih daripada itu untuk mewujudkan kesedaran terhadap penjagaan kehidupan laut.

Menggalakkan kesedaran

Projek tersebut mendapat kerjasama dan pengawasan Jabatan Taman Laut Malaysia (JLTM) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Buat kali ketiga pada 15 Oktober lalu, Ribbon Reef, Taman Marin Tun Sakaran di Semporna Sabah menjadi saksi komitmen berterusan Astro menerusi program CSR apabila mencatat rekod terbanyak setakat ini dalam aktiviti penanaman karang.

Membawa kempen 1Malaysia Green, 1Malaysia Clean yang dilaungkan oleh Kementerian Pelancongan, seramai 50 orang penyelam dari dalam dan luar negara termasuk 25 kakitangan Astro telah mencipta rekod baru Malaysia Book of Records dengan menanam sebanyak 777 karang individu (individual coral) sehari.

Kejayaan ini mengatasi rekod lama penanaman 501 karang di pulau Redang, Terengganu pada tahun lepas.

Untuk melaksanakan projek penanaman terumbu karang terbesar itu, Astro telah menyemai serpihan karang di underwater nursery yang telah dibina sejak Ogos lepas.

Program tersebut di sempurnakan di atas pentas terapung di kawasan perairan Ribbon Reef, Taman Marin Tun Sakaran Semporna oleh Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan turut dihadiri oleh Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun serta Ketua Pegawai Kewangan Astro, Ahmad Fuaad Kenali.

Astro turut diberi peluang untuk bertanggungjawab dalam memastikan dua kawanan anak-anak penyu dilepaskan ke laut dengan selamat untuk mengharungi gelora laut dalam dan terus hidup bagi menyambung ekosistem lautan.

Menurut Yen Yen, Astro bukan sahaja mempunyai misi untuk menjadi sebuah badan korporat yang prihatin menerusi 152 saluran dengan 38 saluran tempatan. Syarikat berkenaan mempunyai kemampuan untuk sama-sama membantu mempromosikan banyak destinasi menarik di seluruh negara.

Selain itu, melalui saluran Astro juga keindahan alam semulajadi, kekayaan budaya berbilang kaum serta kepelbagaian etnik yang wujud di negara ini terutamanya di negeri Sabah juga dapat dipertontonkan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

"Projek penanaman terumbu karang terbesar di Malaysia yang dilaksanakan pada hari ini juga membantu Kementerian Pelancongan dan lain-lain kementerian yang berkaitan untuk menggalakkan kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di kalangan rakyat di negara ini.

"Usaha ini secara tidak langsung membantu Kementerian Pelancongan mencapai visi untuk membangunkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terunggul di dunia," ujarnya.

Sementara itu Ahmad Fuaad berkata, pihaknya terlibat secara langsung dalam pemuliharaan khazanah alam semula jadi menerusi program berkenaan bagi menzahirkan rasa cinta dan kesedaran tentang kepentingan keindahan dan kebersihan alam sekitar kepada orang ramai.

"Menyahut seruan kerajaan dan menyedari bahawa bidang pelancongan membantu menjana ekonomi negara, kami juga ingin mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records merupakan kenangan manis buat kami semua,'' ujarnya.

Astro turut diberi peluang terlibat dalam memastikan dua kawanan anak-anak penyu dilepaskan ke laut dengan selamat untuk mengharungi gelora laut dalam dan terus hidup bagi menyambung ekosistem lautan.

Pihak syarikat terbabit turut menyumbangkan sebuah televisyen LCD 32, sebuah Beyond PVR beserta 17 saluran Astro bagi memperkaya sumber pembelajaran murid-murid di Sekolah Kebangsaan Selakan, Semporna.

Dalam pada itu, Astro Kasih menyampaikan inisiatif tanggungjawab sosial korporat melalui empat teras utama iaitu sukan dan kehidupan yang sihat, melahirkan nilai melalui pembelajaran yang berterusan, melaksanakan inisiatif kebajikan untuk kakitangan ke arah keharmonian masyarakat dan memajukan ketahanan alam sekitar.

Oleh itu, sejak penubuhan Astro Kasih, kira-kira dua tahun lalu, lebih daripada 480 kerja-kerja amal telah berjaya dilaksanakan yang melibatkan lebih 3,000 kakitangan Astro di seluruh negara.

Menurut Ahmad Fuaad, program CSR Astro, berteraskan empat teras utama iaitu sukan, menggalakkan aktiviti kebajikan, menggalakkan keharmonian kemasyarakatan dan mengukuhkan aktiviti sumber alam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: