Monday, October 31, 2011

UiTM bakal cipta rekod debat tanpa henti


Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin (kanan) dan Dr. Sahol Hamid Abu Bakar menandatangani plak perasmian Debat Bahasa Melayu Tanpa Henti 211 Jam di bangunan Canselori UiTM, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.


UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) akan melakukan cubaan memecahkan rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR) dengan mengadakan Debat Bahasa Melayu Tanpa Henti 211 Jam mulai 24 November hingga 2 Disember ini.

Acara yang akan berlangsung di Anjung Sri Budiman, UiTM Shah Alam itu bakal disertai kira-kira 1,300 pendebat terdiri daripada pelajar sekolah, kolej, politeknik, institut perguruan dan institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh negara.

Program debat ala perbahasan di Parlimen itu adalah kesinambungan daripada rekod terdahulu yang berjaya dicatatkan dalam MBR iaitu selama 100 jam, 10 minit 44 saat. Rekod itu telah dicipta oleh para pelajar UiTM pada 2006.

Sebanyak 211 usul juga akan dikemukakan dalam debat yang berlangsung secara berterusan selama sembilan hari dengan tema 'Transformasi dan Perpaduan Bangsa'.

Ia merupakan anjuran Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) UiTM, Yayasan Oreator bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Fakulti Pendidikan UiTM.

Felo Impak UiTM, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, perbahasan ini diharap dapat memupuk kesedaran transformasi perpaduan negara berdasarkan kepentingan perdebatan yang mengutamakan fakta, bukannya berlandaskan emosi demi memelihara perpaduan.

Jelas beliau, perkara itu amat penting kerana perpaduan membuktikan bahawa aktiviti debat asas utama merintis ketamadunan perpaduan bangsa di seluruh dunia.

Namun, tegasnya, jika disulami emosi tanpa fakta ia mampu menjadi pedang tajam yang memecah-belahkan perpaduan sesebuah masyarakat dan menghancurkan negara.

"Oleh itu debat merupakan perintis yang bukan dijadikan sebagai satu kegiatan semata-mata tetapi mahu ia menjadi budaya kepada para pelajar di IPT.

"Peningkatan debat atau pengucapan awam penting kepada pelajar IPT dalam membina keyakinan diri dan kebolehan berkomunikasi di samping persiapan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

"Kita harap dapat memperluas kegiatan debat di kalangan pelajar sekolah atau IPT yang bukan hanya meliputi aktiviti kokurikulum malah menjadikannya budaya di kalangan pelajar dalam menyemai budaya hormat-menghormati antara satu sama lain," katanya.

Baru-baru ini UiTM dan Utusan Melayu (M) Bhd. menjalin kerjasama bagi menjayakan program berkenaan untuk memartabatkan kedudukan pendidikan orang Melayu, penyelidikan dan perkembangan bahasa Melayu.

Kerjasama itu dimeterai melalui satu memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua institusi tersebut untuk memartabatkan kedudukan bangsa Melayu dan bumiputera di negara ini, termasuk meningkatkan kedudukan bahasa Melayu serta tulisan jawi.

Utusan diwakili Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin manakala UiTM pula diwakili Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Sahol Hamid Abu Bakar.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Timbalannya, Datuk Othman Mohamad.

Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohamad Said yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Debat 211 Jam Tanpa Henti dan Pengarah Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) UiTM, Prof. Madya Dr. Za'faran Hassan.

Irmohizam yang juga Pengerusi Jawatan Kuasa IPT Majlis Belia Malaysia berkata, usaha untuk mencipta rekod MBR ini merupakan satu pendedahan awal kepada mahasiswa tentang tata susila dan adab perdebatan di Parlimen di samping memupuk budaya perpaduan berbilang bangsa di negara kita.

"Meningkatkan soal perpaduan adalah penting bagi generasi muda membentuk masyarakat yang berdisiplin pada masa depan," katanya.

Dalam pada itu, Irmohizam berkata, penganjuran cubaan mencipta MBR ini berjalan dengan lancar dan segala persiapan dari segi logistik telah pun dibuat untuk memastikan lebih 30,000 pengunjung datang menyaksikan debat ala parlimen tersebut.

"Kerancakan debat tersebut itu sudah mula dapat dirasai apabila ramai di kalangan kumpulan pelajar UiTM terbabit telah pun mendaftar untuk menjadi sebahagian daripada pendebat.

"Kita menjangkakan kehangatan cubaan memecahkan rekod MBR dan ia pasti memberikan impak maksimum kepada pengunjung. Penyertaan masih lagi dibuka kepada mereka yang berusia 15 tahun ke atas dan tarikh tutup penyertaan sebelum 10 November ini," katanya.

Majlis perasmian Debat Bahasa Melayu Tanpa Henti 211 Jam itu dijangka akan dirasmikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin manakala majlis penutup pula akan disempurnakan Naib Canselor UiTM.

Borang penyertaan dan maklumat lanjut, sila layari laman sesawang http://debat211jam.blog.com atau hubungi talian 019-3470300 dan 019-2702020.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: