Monday, October 31, 2011

Mahu bakat, populariti seiring


SEBAGAI bintang baru, Syazwan mahu bakatnya diterima dengan baik oleh masyarakat dan enggan mencari publisiti murahan.


BERKALI-KALI anak muda ini meminta maaf kepada penulis apabila diberitahu aksi-aksinya di hadapan kamera kelihatan sedikit kaku

"Maaf, bukannya selalu saya mengadakan sesi fotografi seorang begini. Selalunya saya digandingkan dengan pelakon lain. Jadi, ada sedikit perasaan kekok untuk bergaya di hadapan kamera," jelas Mohd. Syazwan Zulkifli atau lebih dikenali sebagai Syazwan Zulkifly sambil melemparkan senyuman manis.

Pada petang yang cukup dingin itu dan bertempat di Taman Tasik Shah Alam, Selangor, Hits sempat mencuri masanya untuk mengadakan sesi fotografi yang pada ketika itu sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri Soffiya.

Harus diakui, Syazwan merupakan antara bakat baru tanah air yang kini sedang meniti populariti dan menjadi pilihan penerbit serta pengarah drama tempatan.

Lalu, saya bertanyakan kepadanya apakah perasaannya kini selepas menjadi orang popular dan namanya semakin meniti di bibir peminat hiburan tempatan.

Seraya ketawa kecil, Syazwan berkata: "Entah, saya sendiri tidak merasakan saya seorang yang popular. Saya masih baru dan banyak lagi yang perlu saya belajar.

"Bukannya saya menolak glamor mahupun untuk menjadi orang popular, tetapi saya lebih selesa untuk melihat bakat saya bergerak seiring dengan populariti yang sedang mahupun akan saya kecapi nanti.

"Masyarakat hari ini memang sudah bijak berfikir di mana mereka sudah memandang dan menilai bakat seseorang pelakon itu. Jika cerita kosong yang hanya mahu meraih populariti murahan, ia akan menjadi sesuatu yang menjelikkan buat mereka."

Mula bergiat aktif dalam bidang lakonan sejak dua tahun lalu, kerlipan bintang pemuda berusia 24 tahun ini dengan pantas mengerdip dek penangan drama bersiri Juvana yang telah melonjakkan namanya.

Cukup dikenali dengan watak Apek dalam drama arahan Faisal Ishak itu, Syazwan benar-benar bersyukur dengan impak luar biasa yang terhasil menerusi drama bersiri itu.

Tepis tuduhan liar

Namun, apa yang kurang enaknya apabila sedang elok dia mengecapi nikmat kejayaan itu, nama Syazwan sedikit tercalar apabila terkena tempias gosip liar baru-baru ini.

Gambar-gambar bersama bekas teman wanitanya dan pelakon jelita, Nora Danish bertebaran di alam maya sekali gus memberikan konotasi yang kurang manis buat pemuda ini.

Dilabelkan sebagai seorang kaki perempuan, ternyata gelaran itu sedikit sebanyak mengguris perasaannya.

Katanya lagi, dia tidak mahu melenting tidak tentu pasal berhubung isu itu kerana Syazwan tahu dan sedar bahawa ia tidak benar serta dirinya bukanlah seperti mana yang didakwa.

"Ya, saya akui gambar-gambar itu adalah milik saya. Apa yang membuatkan saya musykil apakah niat sebenar mereka yang telah menyebarkan gambar-gambar itu.

"Setahu saya, sepanjang saya dalam industri ini, belum pernah saya mencari musuh dan saya memang tidak mahu ada musuh. Saya berkawan dengan semua orang.

"Saya menganggap apa yang telah berlaku sebagai dugaan kecil buat saya sebagai pelakon baru. Saya cukup sedar untuk menjadi seorang artis, inilah perkara yang perlu saya hadapi apabila berada dalam industri ini," kata Syazwan yang mula menceburi bidang lakonan menerusi dua drama bersiri komedi, Terbelahak dan Siapa Kau di Astro Warna (saluran 132, Astro).

Mudah mesra

Jelas pelakon yang pernah membintangi drama bersiri Gemilang arahan Kabir Bhatia ini juga, memang sudah menjadi sifat semula jadinya yang mudah mesra dengan semua pihak.

Apatah lagi, kebanyakan teman-temannya adalah dari kaum Hawa yang dikenalinya sebelum dia menjadi seorang pelakon lagi.

"Apabila kami keluar bersama-sama, biasalah, nama pun kawan. Jadi, sudah pasti kami akan menjadi mesra dan rapat.

"Saya menganggap kawan-kawan saya sudah seperti adik-beradik saya sendiri. Apabila bergambar itu kemesraan tidak ubah seperti saudara kandung tetapi sudah pasti, saya tahu adab dan batasnya," ujar anak sulung daripada dua beradik ini memberikan justifikasi sambil mahu melupakan gosip liar itu.

Sekadar mengusik Syazwan, apakah dirinya kini masih solo atau sudah berpunya? Maklumlah, sudah menjadi orang terkenal, pasti akan ada ramai wanita yang mahu berpacaran dengannya.

Ketawa besar jejaka yang dilahirkan pada 20 Mei 1987 saat diajukan dengan pertanyaan itu sambil memberitahu dia masih bersendirian.

"Saya tidak mahu fikirkan soal kekasih buat masa ini. Biarlah saya menumpukan perhatian kepada karier dulu. Soal jodoh itu semua ketentuan Allah SWT. Hanya Dia sahaja yang tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

"Sesuatu yang pasti, kalau ditemukan dengan mana-mana wanita selepas ini, saya lebih selesa bersama wanita biasa saja. Entah mengapa, saya tidak nampak jodoh saya dengan golongan artis," ujar anak jati Kuala Lumpur ini tanpa selindung.

Terus cari peluang

Walaupun sudah menjadi pelakon yang dikenali ramai, namun bagi Syazwan, perjalanannya masih lagi jauh.

Tanpa segan silu, dia memberitahu bahawa dia begitu kepingin untuk bekerja dengan ramai pengarah serta penerbit handalan negara seperti Sheila Rusly dan suaminya, Jinggo serta Erma Fatima.

Apa yang membanggakan, untuk seorang pelakon baru sepertinya, dia sudah berpeluang membintangi tiga drama hebat terbitan Filmscape yang pasti merupakan impian ramai pelakon di luar sana.

Gemilang, Juvana dan terbaru, Soffiya membuktikan kesetiaan Syazwan dengan syarikat produksi yang cukup terkenal dengan kualiti penerbitannya.

Tanpa selindung juga, Syazwan akui dia cukup selesa dengan Filmscape kerana mereka telah membuka pintu rezeki yang lebih luas untuknya menjadi seorang pelakon.

"Sudah pasti, saya mahu terus bersama Filmscape kerana saya percaya dengan kemampuan mereka menghasilkan karya bermutu tinggi.

"Seandainya jodoh saya berkekalan, saya tidak akan bimbang dengan watak yang diberikan kepada saya kerana saya yakin ia akan dipelbagaikan dan tidak statik.

"Buktinya, drama Soffiya telah membuka mata penonton dan saya mendapat banyak maklum balas yang cukup positif. Ada di antara mereka yang tidak pernah menonton saya dalam Juvana sebelum ini.

"Sebagai seorang aktor baru, saya mahu terus memperbaiki diri saya dengan watak-watak yang lebih mencabar," ujar pemegang Diploma Pemasaran dan Multimedia dari Kolej Multimedia TM, Kuala Lumpur ini penuh optimis.

Harapan

Malah, Syazwan baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri 12 episod berjudul Maqam arahan Bade Azmi.

Diterbitkan oleh Pena Creative Pictures Sdn. Bhd., milik Ziela Jalil, drama yang akan ditayangkan di stesen TV AlHijrah itu turut dibintangi Razali Hussain, Lisdawati, Lydiawati dan Datuk Rahim Razali.

Pada bulan Ramadan dan Syawal lalu juga, dua telemovie lakonannya, Mengurai Rindu dan Syurga Bagiku telah ditayangkan dan mendapat respons yang memberangsangkan.

Jauh di sudut hati jejaka berkulit hitam manis ini, dia mengharapkan agar peminat dan penonton akan terus memberi ruang serta peluang untuknya meluaskan lagi bakat lakonannya.

"Saya tahu bukan mudah untuk mencipta nama sebagai seorang pelakon di negara ini dan atas alasan itu, saya memang mahu bekerja keras dalam memberikan hasil kerja yang terbaik.

"Saya cukup sedar jika bukan kerana Juvana, mungkin saya tidak akan dikenali seperti hari ini. Tetapi, sampai bila orang mahu mengenali saya hanya menerusi Juvana?

"Biarlah orang melihat saya sebagai seorang aktor versatil yang mampu membawakan pelbagai watak dan tidak terikat dengan satu-satu karakter sahaja," kata Syazwan yang juga membintangi drama bersiri Wasiat di Astro Prima (saluran 105, Astro) ini penuh bersungguh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: