Sunday, October 30, 2011

Ganjaran daya tarikan

MEGAH...skuad Kelantan muncul juara Piala Malaysia 2010 mengalahkan  Negeri Sembilan 2-1.
MEGAH...skuad Kelantan muncul juara Piala Malaysia 2010 mengalahkan Negeri Sembilan 2-1.
PUAS...Wan Jamak  dijulang pegawai PBNS selepas membawa skuad Rusa juara Piala Malaysia 2009.
PUAS...Wan Jamak dijulang pegawai PBNS selepas membawa skuad Rusa juara Piala Malaysia 2009.

SABAN tahun apabila kembalinya semula bahang final Piala Malaysia, antara perkara yang menjadi perbualan tentu sekali soal ganjaran terutama kepada pasukan yang berjaya menjulang piala berprestij itu.

Ya, isu ganjaran tidak boleh diketepikan dan seolah-olah menjadi budaya, baik kepada pasukan yang melangkah keluar stadium dengan kemenangan mahupun kepada pasukan yang kecundang.


Ia bermakna, Piala Malaysia bukan sekadar menawarkan piala yang sudah dijulang sejak 1921 itu, malah sebelum aksi final bermula, barisan pemain kedua-dua pasukan yang melangkah ke pentas final sudah boleh mengukir senyuman memikirkan akan ganjaran lumayan yang bakal diterima.

Perkara sama tidak terkecuali bakal diraih oleh Negeri Sembilan dan Terengganu yang bermati-matian beraksi pada pentas final malam tadi dengan kedua-dua kerajaan negeri sudah memberi isyarat bakal memberi ganjaran yang masih dirahsiakan.


“Sudah pasti ganjaran akan diberikan kepada skuad Negeri Sembilan apabila mereka menjulang Piala Malaysia.


“Sebelum ini kita memberi ganjaran kepada pemain apabila mereka layak ke peringkat suku akhir dan separuh akhir, malah melangkah ke peringkat akhir juga mereka menerima ganjaran,” demikian janji Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.

Sementara Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Terengganu, Rozi Mamat berkata: “Saya yakin dan percaya kerajaan negeri akan melihat tentang soal ini (ganjaran).” Jika mengimbas kepada sejarah, tahun lalu, Kelantan yang menjulang Piala Malaysia selepas menewaskan Negeri Sembilan pada pentas final, menerima sumbangan sebanyak RM200,000 seperti yang dijanjikan oleh kerajaan negeri untuk diagihkan kepada semua pegawai dan pemain Kelantan.


Manakala Negeri Sembilan yang menjulang piala berprestij itu pada tahun 2009 sekali gus menamatkan penantian selama 61 tahun, turut mendapat ganjaran berjumlah RM200,000.

Bukan itu saja, malah skuad bola sepak Negeri Sembilan yang memenangi Piala Malaysia pada tahun itu turut mendapat penghargaan apabila mereka dikurniakan pingat sempena Hari Keputeraan Ke-62, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.


Bekas jurulatih Negeri Sembilan ketika itu, Wan Jamak Wan Hassan menerima pingat Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS) manakala 16 pemain skuad itu masing-masing menerima Pingat Jaksa Kebaktian (PJK).


Sementara pada 2008, kerajaan Kedah mengumumkan ganjaran tanah seluas dua hektar di Pokok Sena kepada pemain skuad Kedah yang muncul juara tiga piala dalam semusim untuk dua musim berturut-turut iaitu pada 2006/2007 dan 2007/2008. Kedah muncul juara Piala Malaysia pada kedua-dua musim itu.


Jelas sejarah lalu sudah membuktikan betapa Piala Malaysia bakal menjanjikan sesuatu yang istimewa baik kepada pemain mahupun pengurusan pasukan.


Tinggal lagi adakah ganjaran lumayan itu cukup berbaloi dengan aksi yang dipamerkan pada pentas final sekali gus memuaskan hati peminat fanatik mereka? Perkara itu yang sepatutnya menjadi keutamaan selain hanya memikirkan soal ganjaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: