Sunday, October 30, 2011

Zain budak kampung

Zain
Zain

SEKILAS pandang, tidak ada sedikit pun raut Melayu di wajahnya. Ternyata, gen darah Inggeris lebih mendominasi namun jangan pandang rendah anak jati Gombak ini kerana hanya pada zahirnya saja tampak seperti Mat Salih tetapi jiwanya Melayu.

Pada zaman kanak-kanak, dia menikmati kehidupan seperti mana anak kampung lain. Melastik burung, mandi sungai, bermain bola sepak dan senapang kayu antara aktiviti kegemaran Zain atau nama penuhnya, Mohamad Zain Mohamad Saidin.

Bahkan bukan pasta, lasagna, burger atau stik hidangan kesukaan sebaliknya tekaknya lebih berselera menikmati masakan kampung serta sambal belacan.

Dia juga fasih berbahasa Melayu bahkan adab budaya dipegang kuat walaupun hidup di ibu kota. Anak muda ini sedar itulah teras warisan harus yang harus dipraktik dan dipelihara.


“Jangan nilai saya daripada luaran. Saya memang tipikal Melayu baik gaya hidup, cara berborak dan makan minum. Kawan-kawan saya orang kita, tak ada pun kacukan Mat Salih.


“Saya ‘kampung boy’. Ketika kecil saya suka baca komik Datuk Lat, apa yang watak dalam komik itu buat semua saya ikut. Main guli, gasing, senapang kayu, keliling taman dengan basikal dan motosikal serta berkaki ayam main bola sepak.
Pendek kata saya tidak boleh duduk diam.

“Biarpun ibu saya berdarah Inggeris, dia besarkan saya dengan cara Melayu. Ibu faham apabila menetap di Malaysia kami mestilah hidup mengikut cara orang tempatan. Itu penting bagi memudahkan kami bergaul dengan masyarakat sekeliling. Boleh dikatakan semua ada dan Melayu cuma satu saya tidak boleh terima iaitu fahaman tahyul dan hantu,” katanya.

Dalam memilih pasangan hidup pun, Zain berdoa moga disatukan dengan gadis Melayu. Selain budaya sama, pada matanya gadis Melayu cantik dan manis dipandang. Akui anak muda ini sambil tersenyum penuh makna, sejak zaman persekolahan dia suka melihat gadis bertudung dan berkulit sawa matang.

Biarpun hati belum terisi dengan kehadiran cinta, anak muda ini memandang jauh perihal jodoh dan kehidupan berkeluarga. Tekadnya, andai sampai jodoh, biarlah itu yang pertama dan terakhir dalam hidupnya.

“Dalam soal jodoh, saya tidak berani ulas panjang apatah lagi belum ada seru.
Melihat kes perceraian yang semakin meningkat, saya perlu lebih berhati-hati dalam soal memilih pasangan. Kalau boleh saya mahu kenal hati budi pasangan betul-betul sebelum memperisterikannya. Oleh kerana itu saya meletakkan had bercinta biarlah dua atau tiga tahun dan bertunang pula enam bulan atau setahun.

“Saya mahukan pasangan yang romantis, boleh manjakan saya dan tidak malu menunjukkan kasih sayang. Kami akan bercinta sehingga akhir hayat dan dialah teman sejiwa dan teman saya seumur hidup. Ini doa saya dan harap ia dimakbulkan Ilahi,” kata lulusan Diploma Rekaan Grafik Kolej Sunway ini.

Aktor yang popular menerusi siri Kiah Pekasam, Awan Dania 3, Mata Ayer dan Anisa ini melafazkan syukur apabila rezekinya semakin murah. Bermula dengan siri Suraya menerusi slot Samarinda TV3, November 2009, langkahnya semakin serius.

Biarpun niat asalnya mahu dikenali sebagai penyanyi, sudah tertulis takdir rezekinya di dunia lakonan. Dilema kekok berdepan kamera dan kepayahan menghafal dialog berjaya dipecahkan perlahan-lahan dan kini kecintaan terhadap bidang yang diceburi semakin mendalam.

“Kerjaya ini memang sesuai dengan jiwa saya. Dari dulu lagi saya tidak suka bekerja dalam pejabat dan di satu tempat dan lakonan memberi pengalaman yang pelbagai kepada saya. Sebagai orang baru, saya tidak pilih watak kerana bagi saya, setiap karakter itu ada peranan dalam cerita dan punya mesej yang boleh dimanfaatkan penonton.

“Alhamdulillah setakat ini saya sudah jayakan lebih 20 drama dan telefilem.
Saya belajar dari bawah dan ia beri saya banyak kesedaran. Tidak mengapa lambat naik kerana jika terlalu cepat, bimbang pula lupa diri,” katanya.


Simbol seks dan gigolo?

Berani bergambar menampakkan tubuhnya membuatkan segelintir pihak melabelkannya sebagai seksi, simbol seks dan gigolo. Tatkala perkara itu diajukan, anak muda ini ternyata terkejut kerana tidak pernah terlintas di fikiran akan dilabel sebegitu.

Jika dilihat dari sudut positif, ia boleh disifatkan sebagai satu pujian, bagaimanapun kata Zain, jolokan itu berpotensi mengundang salah tafsir masyarakat kerana mungkin ada beranggapan dia mahu menjual tubuh.

“Saya mahu dikenali kerana bakat, dan paras rupa atau bentuk tubuh itu sekadar bonus. Untuk berada dalam industri seseorang itu tidak boleh bergantung pada rupa semata-mata. Kalau nak ikutkan kacak, ramai lagi pelakon kacak dan bertubuh sasa.

“Saya masuk dalam industri kerana mahu cari rezeki yang halal bukan kerana mahu kejar populariti atau jolokan yang akan menimbulkan pelbagai tanggapan. Apapun saya faham bergelar artis memang tidak boleh lari daripada dihantui kontroversi. Justeru itu, saya kena sentiasa bersedia dan berani menghadapinya.
Dalam soal ini, saya terima jika orang mengatakan saya seksi tetapi andai bercakap lebih daripada itu kononnya saya jual badan, gigolo atau menawarkan servis mengarut, saya tak boleh terima.

“Setakat ini tidak pernah orang menghubungi atau mendekati saya kerana perkara-perkara tidak masuk akal itu. Saya bersih dan waras,” katanya.


Isu merajuk

Tidak lama dulu timbul cerita Zain ingin membawa hati yang rajuk ke Indonesia.
Apabila perkara itu diajukan, pantas adik kepada Shasha Elite ini menjelaskan itu bukan maksudnya.

Benar dia ada menyebut mahu ke negara jiran tapi bukan kerana merajuk kurang mendapat tawaran di negara sendiri sebaliknya mahu melebarkan sayap. Siapa yang tidak mahu ambil peluang itu jika ada peluang. Sayang seribu kali sayang apabila kata-katanya itu disalahertikan dan sudahnya, dia dikecam.

“Sebelum ini ramai cakap watak untuk pelakon berwajah Pan-Asia di Malaysia agak terhad. Biarpun fasih bercakap Melayu tetapi disebabkan rupa, agak susah untuk saya dapat peluang. Bagaimanapun selepas beberapa drama, kehadiran saya sudah mula diterima. Mereka tidak lagi ragu-ragu akan kemampuan saya membawakan watak jejaka Melayu.

“Setakat ini memang ada tawaran berlakon di negara jiran tetapi saya lebih berminat ke sana untuk menyanyi dan merakamkan album. Berlakon mungkin sampingan saja kerana perbezaan bahasa dan saya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan budaya mereka.

“Tiada istilah merajuk kerana hati saya tetap di sini. Sebagai anak tempatan, saya mesti memenangi hati orang Malaysia dulu barulah ke seberang. Sebab itulah dalam wawancara sebelum ini saya ada cakap mahu bagi masa tiga tahun di sini untuk membina nama dan jika ada peluang baru ke sana. Tak kisahlah ke Indonesia ke, Singapura, Brunei atau Thailand, janji dapat kembangkan bakat di luar negara. Ia bagus untuk portfolio saya,” katanya.

Ditanya apa komennya apabila ada penerbit berkecil hati dengan kenyataan yang dikeluarkan itu, Zain berkata dia tidak mahu ambil serius perkara itu. Terus-terang dia tidak sengaja menyinggung hati sesiapa kerana sekadar meluahkan pendapat.

“Saya tidak cakap industri tidak beri peluang kepada saya tetapi terhad. Saya faham tidak semua watak mungkin sesuai untuk saya. Mungkin penerbit, pengarah dan stesen TV risau penonton tidak boleh terima saya dan kerana itu watak untuk saya agak terhad.

“Seperti yang saya jelaskan tadi, syukur semakin ramai membuka ruang kepada saya untuk melakonkan watak jejaka Melayu bahkan ada yang berani berikan watak anak kampung kepada saya.

“Antaranya watak jejaka lembut yang jatuh hati dengan gadis berperwatakan seperti lelaki dalam telefilem Kalau Ada Jodoh untuk RTM dan jejaka kampung bernama Rodi dalam siri Kiah Mai Pulak.

“Menerusi telefilem Rakaat Terakhir saya tampil sebagai Yus, anak orang berada yang berkahwin dengan janda anak dua,” katanya.


Rozita Che Wan

Sepanjang berkelana sebagai artis, aktor kacak ini tidak sunyi dikaitkan dengan beberapa artis wanita. Antaranya Lana Nordin, Ika Nabila dan paling menjadi sebutan jelitawan, Rozita Che Wan.

Hubungan rapatnya dengan Rozita mengundang pelbagai cerita bahkan jejaka ini pernah dikatakan menjadi punca retaknya hubungan aktres kelahiran negeri jelapang padi itu dengan juara Akademi Fantasia 8, Shahir.

Kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Zain iaitu lelaki mana yang tidak suka dengan Rozita meyakinkan lagi hati orang ramai yang dia menyimpan perasaan terhadap bekas pramugari itu.

Diminta mengulas lanjut perihal itu, Zain sambil ketawa berkata Rozita tidak lebih daripada seorang sahabat. Mereka rapat apabila selalu dipertemukan dalam siri terbitan Zeel Production Sdn Bhd.

“Saya tak faham macam mana boleh keluar gosip kononnya saya sukakan Rozita dan kami bercinta. Kalau nak tahu gosip itu jadi bahan lawak saya dan Rozit, malah ia merapatkan lagi persahabatan kami.

“Apabila ada teman-teman bertanya, saya hanya tergelak. Gosip itu tak pernah saya ambil serius dan ia tidak meninggalkan kesan di hati. Rozita bukan teman artis pertama yang dikaitkan dengan saya.

“Lagipun selama ini saya tidak pernah mengaku kami bercinta. Sudah banyak kali saya tegaskan, kami hanya berkawan tetapi orang masih bercakap kami bercinta.
Tidak dinafikan dia cantik dan saya suka tengok dia tetapi itu tidak bermakna saya cintakan dia.

“Kadang-kadang rasa bangga juga bila dikaitkan dengan wanita cantik dan terkenal seperti dia. Mana tidaknya saya masih baru dalam bidang ini tiba-tiba orang bercerita kami bercinta,” selorohnya.

Sambungnya, berkahwin belum ada dalam agendanya kerana dalam tempoh empat tahun ini dia mahu stabilkan dulu karier dan kewangannya. Zain sedar bukan mudah memikul tanggungjawab sebagai suami apatah lagi itu amanah paling besar bagi seorang lelaki. Justeru itu, dia perlu memastikan dirinya benar-benar bersedia lebih-lebih lagi dari segi kewangan.

“Siapa yang tidak mahu berkahwin. Umur saya pun sudah menjengah 27 tahun, kalau ikut orang tua molek benar jika mahu mendirikan rumah tangga. Dalam soal ini saya tidak mahu terburu-buru, biarlah saya penuhkan dada dengan ilmu kepimpinan sebagai suami dan agama serta kumpul harta dulu. Setidak-tidaknya apabila berkahwin nanti saya boleh sediakan kehidupan terbaik untuk bakal isteri,” kata Zain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: