Dalam usaha untuk mencari pendekatan membimbing yang lebih sesuai bagi generasi pelajar sekolah masa kini, Unit Hal Ehwal Murid Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan Karnival Merekayasa Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling dan Program Outreach Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2011.
Karnival yang julung-julung kalinya diadakan itu merupakan cetusan idea untuk menyahut cabaran perkembangan sosial Generasi Y serta membantu meningkatkan mutu perkhidmatan guru bimbingan dan kaunseling dalam menjalankan tugas secara berkesan dan berfokus.
Timbalan Pegawai Pelajaran, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Sentul, Mohamad Saadon Haron berkata, karnival yang diadakan ini bertujuan untuk memberi penekanan terhadap keberkesanan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang lebih mencabar pada masa kini.
"Penganjuran karnival ini memberi makna besar dalam usaha untuk memantapkan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling sekolah selaras dengan peredaran masa dan zaman yang terlalu menuntut perubahan bagi manfaat semua," katanya ketika merasmikan karnival tersebut di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kira-kira 3,000 pelajar dari 200 buah sekolah rendah dan 98 sekolah menengah sekitar Kuala Lumpur menyertai karnival dengan tema "Relax and Cool" itu.
Pelbagai program dan pengisian turut disusun sepanjang berlangsungnya karnival tersebut termasuklah pameran, program Outreach, program "My Talent" dan juga ceramah.
Menurut Mohamad Saadon lagi, guru-guru bimbingan dan kaunseling perlu merekayasa perkhidmatan bimbingan dan kaunseling ini dengan lebih berkesan terutamanya pendekatan terkini yang lebih relevan dalam membantu Generasi Y mengurus diri mereka.
"Perancangan yang rapi dan kreatif serta menarik pastinya mampu membentuk keperibadian remaja dalam suasana yang lebih harmoni.
"Semoga matlamat untuk memberi nilai tambah kepada pengetahuan dan kepakaran guru kaunseling dari semasa ke semasa dapat dicapai agar perkhidmatan bimbingan dan kaunseling dapat memenuhi keperluan pendidikan pada masa kini dan juga masa hadapan," jelasnya.
Tambahnya lagi, dia yakin bahawa perkhidmatan bimbingan dan kaunseling baik di sekolah rendah mahupun sekolah menengah mampu memberikan perkhidmatan terbaik dalam merawat emosi dan tingkah laku Generasi Y dengan adanya penambahbaikan yang berterusan.
"Program ini juga diharap dapat diteruskan pada tahun-tahun berikutnya bagi memberi peluang kepada Generasi Y untuk meneroka alam keremajaan mereka dengan lebih positif," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: