GANDINGAN MANTAP...bersama Erra Fazira dan Datin Paduka Umie Aida yang turut membintangi Badai Semalam.
NAMA Aaron Aziz, 35, menjadi sebutan dan bakatnya rebutan ramai penerbit dan pengarah filem tempatan. Mereka sanggup melaburkan ribuan ringgit semata-mata untuk mendapatkan pelakon bertubuh sasa itu menjadi bintang dalam filem dihasilkan.
Pada mereka, sekiranya Aaron membintangi filem dihasilkan, ia pasti mendapat sambutan dan ramai akan menontonnya di pawagam. Dalam erti kata lain, bakat dan namanya cuba dieksploitasi.
Bagaimanapun, perkara yang diharapkan tidak berlaku sebaik filem ditayangkan di pawagam. Percaturan mereka salah dan filem itu mendapat kritikan daripada penonton. Aaron juga melalui situasi ini dan sebagai pelakon, sudah tentu namanya turut tercalar.
Katanya, kadang-kadang apa yang dirancang pihak produksi tidak menjadi seperti apa yang digambarkan dan kerjaya sebagai pelakon juga mempunyai risikonya.
“Ada antara tawaran diterima nampak menarik di atas kertas. Malah apabila perbincangan dilakukan, pihak produksi bersungguh-sungguh dan menjanjikan filem dihasilkan pasti mampu menarik perhatian penonton.
“Sebagai pelakon, sudah tentu skrip diberikan itu menjadi penentu sama ada ia menarik atau tidak. Ada filem yang saya buat sebelum ini skripnya memang bagus.
Sewaktu perbincangan dilakukan juga sangat meyakinkan tetapi apabila melihat hasilnya, ia sangat mengecewakan.
“Sebagai pelakon, saya tidak boleh lakukan apa-apa sekiranya filem itu tidak bagus. Sebagai pelakon, kalau saya memberikan lakonan mantap macam mana sekali pun, tetapi hasil teknikal atau jalan ceritanya tidak menjadi seperti di dalam skrip, ia di luar bidang kuasa saya,” katanya.
Pelakon KL Gangster, Evolusi KL Drift, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Pisau Cukur, 2 Alam, Syyhh...Dia Datang, Evolusi KL Drift 2, Suaka dan Datin Ghairah ini tidak menafikan, dalam memberi kata putus terhadap tawaran itu, bayaran diterima turut menjadi faktor penentu.
Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada kerja yang harus dilakukan dan tidak sampai tahap sanggup untuk memusnahkan kerjaya sendiri semata-mata kerana mahu mengejar bayaran diberikan.
“Bayangkan kalau saya dibayar tinggi tetapi filem dihasilkan menerima kritikan hebat daripada penonton dan tiada siapa yang mahu menontonnya di pawagam.
“Sudahnya, apa akan jadi dengan kerjaya seni saya? Sudah tentu nama saya akan terus senyap dan lenyap. Sebagai pelakon, saya memikirkan perkara itu semua dan tidak mungkin saya mahu membiarkan ia terus berlaku,” katanya.
Pentas teater juga melihat kehebatan Aaron hingga dilamar untuk membintangi Badai Semalam yang diadaptasi daripada novel popular karya Khadijah Hashim. Ia akan mula dipentaskan di Istana Budaya dari 11 hingga 20 November ini.
Ternyata dalam memberi kata putus terhadap lakonan, Aaron atau nama sebenarnya, Aaron Mustapha Aziz, ada syarat dan pantang larangnya, hinggakan baru kini terbuka hati beraksi di pentas teater.
Bapa kepada dua cahayamata, Danish Anqi dan Dwi Ariana ini berkata, dia memberikan syarat bahawa pementasan itu bukanlah muzikal supaya tiada nyanyian dan tarian.
“Kalau ada dua perkara ini, saya akan tolak awal-awal kerana saya tidak mahu kelihatan bodoh di pentas nanti. Bukan tidak ada tawaran sebelum ini tetapi kebanyakannya berkonsepkan muzikal menyebabkan saya mengambil keputusan tidak menerimanya.
“Sebelum saya merosakkan hasil kerja orang, lebih baik saya tolak awal-awal tawaran diberikan. Kelemahan saya dua perkara ini iaitu menyanyi dan menari.
Memang orang kata sebagai pelakon perkara itu seharusnya diambil sebagai satu cabaran, tetapi saya kenal diri dan kemampuan saya. Memang saya tidak boleh menyanyi dan tidak pandai menari,” katanya.
Aktor yang cukup popular menerusi watak Malek dalam filem KL Gangster arahan Syamsul Yusof ini berkata, sebelum ini Erma Fatima pernah melamarnya untuk membintangi Natrah tetapi kerana perlu menyanyi dan menari, dia terpaksa menolaknya.
“Saya juga menyaksikan Remy Ishak dalam drama teater muzikal itu. Dalam hati saya berkata, mujur saya tolak awal-awal. Jika tidak, pasti rosak keseluruhan produksi itu dengan gerak tari saya yang keras macam bangku dan suara pun entah ke laut.
“Pembabitan saya dalam teater ini bermula apabila pihak Istana Budaya merancang untuk mementaskan Salina. Bagaimanapun, kerana beberapa masalah, perkara itu terpaksa dibatalkan.
“Saya memang berminat untuk berlakon dalam Salina tetapi sayang ia terpaksa ditangguhkan. Kerana sudah bersetuju lebih awal, apabila datang tawaran untuk membintangi Badai Semalam, saya terima. Itupun dengan syarat tiada nyanyian dan tarian,” katanya.
Aaron juga menafikan pementasan Badai Semalam ditunda dari April kepada November bukan kerana produksi menunggunya, sebaliknya berlaku masalah membabitkan pertukaran naskhah novel yang mahu diangkat ke pentas teater.
Aktor kelahiran Pasir Ris, Singapura pada 23 Februari 1976 itu pendukung watak utama sebagai Karim iaitu kekasih Mazni lakonan Erra Fazira.
Kata Aaron, antara sebab lain dia menerima tawaran beraksi di pentas teater kerana mahu mencabar kebolehan yang ada pada dirinya dalam bidang lakonan.
“Pentas teater sangat berbeza dan ia sesuatu yang asing bagi saya. Kalau dalam drama, lakonan banyak bermain dengan mata tetapi di pentas, sudah tentu perkara itu tidak nampak jelas. Aksi seorang pelakon itu lebih penting dan itu yang mahu saya pelajari lebih mendalam.
“Teater turut menuntut komitmen tinggi dan berterusan daripada seorang pelakon.
Saya harus memberikan fokus yang bukannya sedikit. Pada saya selain daripada aksi di atas pentas, untuk menjiwai watak romantis dan bertutur dalam bahasa berbunga juga menjadi antara cabaran yang harus saya hadapi.
“Selepas meneliti skrip yang sudah diolah sebanyak tiga kali, saya menyifatkan watak Karim sangat mencabar. Dalam usaha menghidupkan watak itu, saya cuba mencari keselesaan sendiri dan memahami susunan plot dalam skrip. Saya juga akan meneliti novel yang ditulis Khadijah Hashim ini bagi menjiwai watak Karim,” katanya.
PROFIL:
Nama sebenar: Aaron Mustapha Aziz
Tarikh lahir: 23 Februari 1976
Tempat lahir: Pasir Ris, Singapura
Tinggi: 178 sentimeter
Berat: 78 kilogram
Kerjaya: Pelakon, model
Status: Berkahwin
Isteri: Diana Malik
Anak: Danish Anqi dan Dwi Ariana
Drama: Janji Diana, Sumayyah, Sadiq & Co, Cinta Gila, Cinta Lelong, rahsia Hati, Kasih Tercipta, Bulan Bertemu Matahari, Dilemma wanita, Cahaya Kasih, Malam 7 Likur, Hana Hani Strawberi, Oh Ibu, Emel Emilda, Cinta Q, Nora Elena dan Jiwa & Lara
Filem: KL Gangster, Evolusi KL Drift, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Pisau Cukur, 2 Alam, Syyhh...Dia Datang, Evolusi KL Drift 2, Suaka dan Datin Ghairah
Pencapaian: Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2010
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: