Sunday, October 30, 2011

Ash anggap Sherie wanita terbaik


ASH (duduk tengah) bersama anggota kumpulan yang disertainya sekarang, Gabba Gabba.


AWALNYA Ash atau nama sebenar Tengku Shafiz-Rullah As Syafiee Tengku Mohd. Shahidd, 28, enggan bercerita tentang cintanya dengan aktres manis, Sherie Merlis.

Kata Ash yang sudah 10 tahun bergelar penerbit muzik, khalayak lebih mengenalinya sebagai bekas suami Dira Abu Zahar berbanding kerjayanya sebagai seorang komposer atau peneraju grup Bau atau terkini, Gabba Gabba. Dia sebenarnya mahu dikenali atas nama kerjaya.

Namun setelah diminta memberi penjelasan agar cerita tidak menjadi sebuah khabar angin, Ash setuju.

"Insya-Allah bulan Disember ini, tetapi saya tidak boleh beri tarikh yang khusus. Kita hanya merancang. Kami sudah melalui proses merisik tetapi tidak bertunang. Kami sedang menuju ke arah yang dituntut agama," Ash membuka bicara tentang niatnya.

Berkenalan atas pasport terbabit dalam produksi yang sama untuk drama Cita dan Cinta, Ash dan pelakon Sherie sudah berkenalan dan mengenali satu sama lain sejak enam bulan lalu.

"Saya berkenalan dengan Sherie kerana kerja. Saya terlibat sebagai pengarah muzik dan dia berlakon dalam drama bersiri tersebut. Tapi jujurnya, saya masih tidak ada tarikh dan tidak buat persediaan. Ini kerja Tuhan," ujarnya sewaktu ditanya tentang tarikh pernikahan kelak.

"Memang cadang ke arah itu," ujarnya Ash yang sering berdoa kepada Yang Maha Esa untuk dipertemukan dengan orang yang baik-baik.

"Sherie ada nilai-nilai menghormati saya sebagai seorang lelaki. Seperti apa yang ditulis dalam buku agama, seperti seorang Fatimah menghormati Saidina Ali. Saya rasa dia ialah orangnya. Dia wanita paling baik saya pernah jumpa dalam hidup dan doa saya termakbul," ujarnya menggambarkan Sharifah Merlisa Al-Barakbah, 39.

"Saya tidak mencari atau membuat perancangan. Ini adalah pertemuan yang diatur oleh Allah. Jujurnya, saya tidak mencari pengganti dan dia bukanlah pengganti. Sherie adalah anugerah Allah kepada saya," ujarnya yang belajar hikmah bahawa peluang kedua sentiasa wujud dalam kehidupan manusia.


SHERIE MERLIS


Menyentuh tentang peluang kedua yang terangkum erti perkahwinan kedua, Ash bercerita tentang pengajaran.

"Saya belajar agar tidak mudah putus asa. Allah tidak akan bebankan manusia dengan ujian yang tidak boleh dilaluinya," ujarnya yang kini dalam peringkat akhir mendapatkan hak penjagaan anaknya, Tengku Anggun Deandra, 3, di mahkamah syariah.

"Tidak ramai yang rasa kesukaran saya. Malah tidak ramai yang mahu menemuramah. Pada awalnya sangat sukar untuk saya melalui hidup. Sekarang, sudah nampak jalan yang lancar," luahnya.

Ash mengaku melalui fasa perubahan. Kini, dia lebih mendekati Sang Pencipta dan menyedari khilafnya yang dahulu. Di samping rancak mengikuti penyanyi Al-Mawlid iaitu Amer Munawer ke kelas agama di AU3, Keramat, Kuala Lumpur, Ash juga baru sahaja melancarkan single kedua grupnya Gabba Gabba, Berdansa Bersamamu.

"Kehidupan saya sekarang tenang kerana Allah Taala. Saya belajar agama bersama Amer. Sudah ditakdirkan pertemuan saya dengan Amer sewaktu saya bertindak menyusun lagu untuk EP Amer yang mengandungi dua buah lagu, Seluruh Mahabbah dan Maha Suci Allah. Itu adalah projek pertama saya selepas bercerai dahulu.

"Syukur saya dipertemukan juga dengan Amer, dia orang yang betul. Saya rasa perubahan diri saya. Lebih sayangkan Rasul Allah. Makin faham kehidupan dan ada tujuan dalam perjalanan ini. Saya juga boleh mengenal manusia yang jujur dan tidak," ujarnya yang enggan menghakimi manusia.

Sepuitis dia menulis atas tiket penulis lirik, salah satu pernyataannya dalam blog tulisannya menarik pandangan. Tulis Ash: 'Hidup ini bertuankan harapan, usah penjarakan impian.' Sepertinya Ash sedang menuju impiannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: