PUTRAJAYA - Penganjuran Karnival Buat Elok Saja Tau (BEST) mampu menjadi program hiburan perintis yang berlandaskan syariat Islam sekali gus memberi motivasi kepada masyarakat daripada melakukan perkara yang dilarang agama.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, penganjuran karnival BEST yang julung-julung kali diadakan itu mampu menjadi program alternatif bagi mengisi lompang-lompang program hiburan pada masa kini yang melalaikan.
"Berhibur adalah antara fitrah semula jadi manusia kerana ia dapat memberi kedamaian dan semangat kepada jiwa manusia.
"Namun, hiburan tersebut perlu dipupuk dan diarahkan kepada bentuk yang tidak melalaikan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Karnival BEST di Laman 1Malaysia di sini malam tadi.
Karnival selama tiga hari yang bermula Jumaat lalu dan berakhir hari ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya pertandingan Juara Nasyid BEST, senamrobik BEST, pertandingan mewarna dan pertandingan Battle Of The Band.
Selain itu, gerai dan kios yang beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 10 malam di tapak karnival itu menyediakan pelbagai jenis produk seperti makanan dan minuman, perkhidmatan, buku, perubatan alternatif dan pakaian.
Dalam pada itu, konsert yang berlangsung malam tadi diserikan dengan persembahan artis-artis tempatan seperti Altimet, In-Team, Mestica dan Al-Farabi Band yang dihoskan oleh pelakon Fahrin Ahmad dan penyanyi Bob AF.
Hari ini bakal berlangsung beberapa aktiviti lagi seperti senamrobik BEST, pertandingan mewarna, pertandingan mengeja Spell-It-Right dan Battle of the Band.
Orang ramai juga boleh mengunjungi gerai Kosmo! yang menyediakan studio mini, permainan dam ular gergasi, dam haji dan peraduan teka kacang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: