Animasi popular Upin & Ipin begitu dekat di hati penonton. Bukan hanya menambat hati kanak-kanak tetapi karakter Kak Ros (kakak Upin & Ipin) amat menggerunkan. Karakter yang diolah garang dan tegas itu sentiasa menghantui adik-adiknya untuk bersikap lebih sopan dan menjadi adik yang baik.
Namun, mengenali si peminjam suara Kak Ros ini, jauh tersasar dengan karakter dalam animasi itu. Pertemuan kali pertama dengan Ida Shaheera Azhar memadamkan imaginasi mengenai watak Kak Ros.
Gambaran Ida memiliki personaliti persis Kak Ros ternyata meleset sama sekali. Di luar, gadis manis kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini seorang yang suka ketawa dan peramah.
Mengakui, ia bukanlah pertama kali dianggap garang seperti Kak Ros, sementelah watak Kak Ros dilihat ‘hidup’ dan menjadi, menyebabkan ramai penonton menyangka pemilik suara di sebalik watak itu juga begitu.
“Letihlah kalau saya asyik nak marah saja. Karakter Kak Ros hanya wujud tatkala saya merakamkan suara untuk watak itu. Sedangkan di luar, saya langsung tidak tahu nak marah.
“Malah, dengan adik-beradik sendiri pun saya jarang marah-marah kerana semuanya sudah besar. Kiranya, perbezaan karakter saya dan Kak Ros sangat ketara,” katanya sambil tersenyum.
Menyumbang suara bersama produksi Upin & Ipin bermula musim kedua sehingga memasuki musim kelima, menurut Ida, pembabitannya sebagai pelakon suara bermula tanpa dirancang.
“Setelah tamat pengajian, saya memohon jawatan sebagai penulis skrip di Les’ Copaque dan diterima. Kebetulan, ketika itu ada uji bakat untuk mencari suara untuk watak kak Ros.
“Nama saya dicadangkan untuk menyertai uji bakat dan pihak pengurusan mendapati suara saya mempunyai persamaan dengan pemegang watak Kak Ros sebelum ini. Sejak itulah bermulanya peranan saya sebagai kak Ros,” kata pemilik Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik dan Media Digital, Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.
Mengakui agak kekok pada mulanya, terutama ketika menzahirkan dialog marah dan menjerit, Ida berkata, dia hanya dapat menyesuaikan diri setelah memasuki musim ketiga.
“Banyak cabaran perlu ditempuhi untuk watak ini. Saya bukan sekadar membaca skrip, sebaliknya perlu ada teknik kerana perlu melontarkan intonasi yang sesuai dengan emosi.
“Bagi merealisasikannya, saya perlu memahami jalan cerita terlebih dahulu. Selepas itu, barulah saya boleh berimaginasi tentang mimik muka dan lenggok badan watak Kak Ros mengikut babak tertentu,” katanya yang banyak membuat rujukan daripada watak animasi terkenal seperti Doraemon dan Toy Story.
Garang bertempat
Setelah empat musim menjadikan Kak Ros sebagai sebahagian daripada dirinya, Ida semakin menyenangi watak yang dianggapnya berperanan penting dalam memberi nasihat kepada penonton, terutamanya kanak-kanak.
“Jika diperhatikan, watak Kak Ros ini garang bertempat. Kebiasaannya, Kak Ros ingin Upin dan Ipin mengikut nasihatnya.
“Apabila Upin dan Ipin mematuhi arahannya, secara tidak langsung kanak-kanak yang menonton juga akan mengikutinya. Sebab itulah, saya perlu memastikan watak Kak Ros akan meminta mereka melakukan perkara yang baik dan berfaedah,” katanya.
Mempunyai kelebihan sebagai penulis skrip Upin & Ipin, Ida berkata, ada kalanya dia diberi kebebasan untuk membentuk watak Kak Ros atau menghasilkan babak yang sesuai dengan peranannya sebagai kakak kepada pasangan kembar comel itu.
“Watak Kak Ros sebenarnya variasi. Bukanlah setiap babak dia bersikap garang kerana ada masanya, dia suka bergurau dan mengusik adik-adiknya.
“Namun, setiap perkara yang dilakukan Kak Ros ada caranya tersendiri. Misalnya, dia sering menakutkan Upin dan Ipin, sedangkan dia hanya ingin bergurau. Itulah keistimewaan karakter ini,” katanya.
Harap Upin & Ipin kekal bertahan
Menjadi tulang belakang produksi yang berjaya mencetuskan fenomena melalui Upin & Ipin, Ida meletakkan harapan tinggi agar jenama animasi itu terus bertahan.
“Jika Doraemon begitu sinonim dengan Jepun, begitulah impian saya agar penonton di negara lain mengenali Upin & Ipin sebagai produk dari Malaysia.
“Sebagai penulis skrip dan pelakon suara Kak Ros, saya akan terus memberikan yang terbaik agar siri animasi ini mencipta kejayaan yang membanggakan negara,” katanya mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: