|
SIAPA gerangan pemilik nama Sharnaaz Ahmad, Azhan Rani dan Izreen Azminda bukan lagi satu kemusykilan. Biarpun begitu, fizikal dan watak yang pernah mereka ditangani, sudah ada yang menyentak pangkal jiwa khalayak.
Ketika ini juga, pintu-pintu tawaran sedang banyak terbuka, tinggal hanya bagaimana arus seni yang diselami akan membawa haluan mereka. Sejauh mana dan sehebat mana, terserah kepada kebijaksanaan dan bakat.
Izreen, 25, menempah banyak perhatian setelah muncul sebagai Cikgu Zakiah, guru kaunseling dalam drama bersiri Juvana. Sharnaaz, 26, pula pernah menjadi muka taruhan banyak produksi televisyen terutama drama arahan Michael Ang manakala Azhan, 35, aktor dari pentas teater itu dilihat semakin memikat penonton televisyen.
Bermula daripada situ, ada konotasinya tiga wajah para pemain karakter ini disatukan. Menghitung tentang citra percaturan hidup yang sedang ditempah, agenda besar dunia penerbitan naskhah televisyen dan filem, Anugerah Skrin yang bakal bergendang pada Jumaat ini terheret dalam diskusi. Sebagai antara pelakon kepada karya yang layak bertanding, riak teruja hanya terluah dalam senyuman. Sama ada tercalon atau naik ke pentas anugerah, ia bukannya soal utama.
Azhan cukup sekadar ditonton
Sut hitam putih yang disediakan pereka fesyen ternama, Bon Zainal terletak kemas sebaik digayakan Azhan. Sisi maskulin dan aura aktornya terserlah, seperti jauh meninggalkan karakternya yang selama ini pada hemat penulis, dia seorang yang lasak dan hidup dalam dunia sendiri.
Komunikasi Azhan serius sesekali dia ketawa menggelengkan kepala, tidak menyangka bagaimana boleh dipanggil terbabit dalam agenda sebuah fotografi terancang.
"Sungguh, saya tiada pengalaman dalam fotografi sebegini. Saya cuma pelakon yang berlakon untuk bayar bil-bil yang perlu dilunaskan. Rasanya ini kali pertama saya dipanggil (untuk menghadiri sesi) fotografi," Azhan merendah diri.
Bermula dengan drama pertama, Sesuci Cinta Soffiya, sampai ke hari ini, sebenarnya sudah lima tahun Azhan bergelar pelakon, namun baru akhir-akhir ini sahaja, dia mula diperhatikan.
"Lima tahun dalam industri, rasanya orang mula nampak kehadiran saya walaupun tidak banyak publisiti, saya pula jenis yang tidak melobi.
"Saya percaya, kemunculan dalam drama Gemilang antara yang banyak memberi impak terhadap karier saya. Walaupun muncul hanya pada awal episod, responsnya dirasai. Selepas Gemilang, barulah saya diberi peluang bawa watak utama. Awal-awal dulu, orang cop saya sebagai pelakon antagonis sahaja," katanya yang banyak terlihat sisi komedi dalam beberapa drama di saluran Astro termasuklah Geng Surau yang layak masuk ke Anugerah Skrin.
Bercakap tentang peluang dan ruang, aktor yang bakal muncul dalam telemovie Rebah Di Hujung Taubat pada malam ini melahirkan pandangan. Selain masih dikekang oleh aliran popular, soal kehendak stesen serta kemampuan penerbit yang tidak seiring boleh mendatangkan penyakit asal boleh dan tidak natural dalam penghasilan karya.
"Saya telah lalui semua itu, tapi syukur sekarang saya ada kerja, tapi berlakon tidak menjanjikan kemewahan. Meriah dengan tawaran tapi tidak dari segi pendapatan," katanya memacu ke topik sedikit serius.
Dia juga sedar suasana pembikinan drama tempatan sedang aktif demi memenuhi tuntutan pelbagai saluran televisyen.
"Semua orang berpeluang jadi pelakon atau pengarah, cuma hendak menjadi terbaik dan meletakkan diri di kalangan terbaik itu perlukan pengorbanan. Pelakon harus tahu jaga dan meletakkan harga bakat mereka. Tapi kuasa memilih sekarang ada di tangan penonton," ujarnya berbalik kepada soal populariti.
Pelakon seperti Azhan boleh dikatakan sekapal dengan Beto Kusyairy, Zahiril Adzim dan Bront Palarae. Mereka ini asalnya underdog yang dikenali melalui karya. Jadi adakah malam Anugerah Skrin nanti membayangkan sesuatu kepada dirinya?
"Saya tidak pernah bermimpi dan tidak pernah ambil tahu tentang anugerah. Saya terkejut juga kalau ada drama lakonan saya yang tercalon untuk Anugerah Skrin nanti. Untuk saya, orang tengok saya di kaca televisyen itu sudah satu anugerah," kata Azhan yang kian selesa apabila ruang memilih sudah terbuka untuknya.
Izreen tergelincir
Kelibat Izreen menjadi perhatian ketika muncul dengan muka tanpa senyum, bengis dan pemberontak hasil 'tangkapan' Rosyam Nor untuk drama Isabella. Untuk kemunculan perdana sebegitu, dia diberi sebuah karakter yang kuat bergandingan dengan nama-nama besar seperti Rosyam dan Vanidah Imran.
Jelas stigma terlekat seketika untuk gadis berusia 25 tahun ini. Susulan watak antagonis yang diserahkan kepadanya, dia diberi tawaran warna yang serupa.
"Selepas Isabella, saya mendapat tawaran antagonis lagi. Jujur dan syukur selepas drama bersiri Juvana, stigma itu bertukar. Malah dua kali saya membawakan watak emak," ujarnya yang kembali beraksi hitam untuk drama terbarunya yang bertajuk Tentang Dhia, lakonan bersama Nora Danish dan Adi Putra.
Untuk Izreen, dia lepas bebas ketika membawa watak antagonis.
"Watak protagonis banyak bermain dengan emosi. Agak sukar buat saya kerana realitinya saya kasar. Susah mahu jadi perempuan Melayu terakhir ni. Tapi itulah cabaran buat diri sendiri," jelasnya.
Anak kelahiran Perlis ini meletakkan nama Eman Manan sebagai contoh pada satu aras.
Katanya dia mahu berjaya seperti aktor itu. Punya aura tersendiri dan ketika menyebut nama, sudah ada rasa meremang bulu roma memikirkan kehebatan dan pesona tersendiri. Dia mahu sebegitu. Dia nekad sebegitu.
"Durasi bukan satu masalah buat saya. Tidak perlu cepat untuk mencapai apa yang dimahukan. Untuk jangka waktu sekarang, saya bersyukur dengan tawaran yang datang. Saya juga pernah fikir bahawa saya tidak perlukan publisiti kerana saya cintakan lakonan. Saya mahu buat dan dapat buat apa yang saya mahukan. Saya fikir publisiti itu jatuh nombor dua. Sekarang saya melalui proses pembelajaran dalam hidup dan jalan sebagai aktres," ujarnya yang mahu mencuba lapangan filem untuk waktu mendatang.
Ditanya tentang sebuah penganugerahan buat Izreen sempena Anugerah Skrin dan drama Juvana kuat berada dalam tebakan umum, dia menjawab definisi itu untuk dirinya.
"Anugerah adalah penghargaan. Apa yang dapat setelah orang nampak akan hasil kerja dan usaha seseorang itu. Buat saya, anugerah itu penting kerana ia bukti orang nampak hasil kerja dan impak lakonan kita. Tapi semuanya terletak pada rezeki. Buat dengan jujur, insya-Allah, penghargaan itu akan datang," lentur bahasa pelakon drama Stanza Cinta ini meluncur.
Durasi lima tahun dalam industri lakonan, dalam jangka itu nama Izreen tampil sebagai salah seorang aktres yang ada jaminan menjadi pelapis baru yang cemerlang. Hanya pada detik tahun kelima, rekod bersihnya tergelincir.
Diheret kontroversi atas nama Juvana, juga satu judul yang membawanya naik. Cerita 'cinta' bersama Botak atau Johan bersebaran dan kemudian muncul permainan baru Johan dan regu lokasinya, Fasha Sandha yang membuatkan Izreen tampil bersuara. Dia membuka cerita berpacaran mereka yang kemudian robek angkara insan ketiga.
Kepada Izreen, penulis bertanya tentang calaran portfolionya. Dia tersenyum menjawab tulus. Jujur.
"Lima tahun saya berada dalam industri dengan portfolio yang suci. Saya sudah bersiap sedia sepanjang jangka itu. Juvana menaikkan saya dan juga memberi saya kontroversi. Saya manusia normal, ada khilaf sendiri. Mungkin saya tampil dengan emosional, dahsyat. Saya mahu memberi gambaran jelas agar tidak dipandang serong. Kalau tiada pengakuan, perkara tidak selesai. Kini saya belajar, untuk saya dan dia, perlu berhati-hati dengan percakapan," jelasnya tersenyum penuh makna.
Sharnaaz rasa berbaloi
Berbanding Azhan atau Izreen, Shahnaaz barangkali sedikit terkedepan mendahului siri jelajah ke mata peminat. Baru bermula pada awal 2009 dengan drama pertama Tari Tirana atas peluang yang diberikan pengarah Shahrulezad Mohameddin.
Tidaklah mendadak digilai ramai, bagaimanapun, dia mendaki tangga popular apabila tercalon dalam senarai Top 5, Pelakon Lelaki Baru Popular pada Anugerah Bintang Popular tahun lepas.
"Tari Tirana juga tercalon dalam kategori Drama Rantaian Terbaik dalam Anugerah Skrin tahun lepas. Tapi kalah dengan Nur Kasih. Bagi saya, perkara ini satu pendedahan yang bagus untuk seseorang pelakon," katanya tidak menepis rasa teruja untuk sekali lagi memeriahkan malam kemuncak acara itu, Jumaat nanti.
Berasa semakin banyak menimba ilmu dari lokasi, Shahnaaz akui, langkahnya masuk ke bidang seni sebagai satu pilihan yang berbaloi. Sedang sibuk dengan sesi memasukkan suara untuk filem terbarunya, Azazil, dia juga bakal muncul dengan drama bersiri terbaru, Bicara Hati di Astro Prima tidak lama lagi.
"Saya pernah melalui zaman sesak nafas, itu masa mula-mula saya berlakon, bayaran tidaklah seberapa sebab saya masih baru tapi setelah banyak pengalaman dan peluang berlakon dengan lebih ramai pengarah yang hebat macam Khabir dan Osman Ali, saya mula dapat berfikir di luar kotak pemikiran saya selama ini," ujarnya menyifatkan Kasih Alia dan Unggunya Cinta sebagai drama yang memberi impak untuk dia semakin diingati sebagai pelakon televisyen.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: