Thursday, October 27, 2011
Caexpo, Nanning dapat sambutan
Sesak! Itulah gambaran paling tepat yang diberikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, sehari selepas Ekspo China-Asean 2011 dilancarkan bersama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya Wen Jiabao pada Jumaat.
Keadaan tidak berubah sehingga pameran perdagangan yang dianggap antara yang terbesar di China ini ditutup pada Rabu.
Jalan raya menuju ke Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Nanning (NICEC) di mana ekspo ini berlangsung, sesak dengan kenderaan, manakala pusat pameran sesak dengan manusia.
Seorang wanita tempatan pertengahan umur yang ditemui berkata, orang ramai yang hendak memasuki pusat pameran perlu membeli tiket berharga 50 yuan (RM24.58) untuk masuk sebelum tiga petang dan 30 yuan (RM14.75) untuk masuk selepas tiga petang tetapi ia hendaklah dibeli sebelum datang kerana tiada tiket dijual di NICEC.
Bagi beratus peserta dari Malaysia yang sebahagian besarnya datang dengan penerbangan sewa khas terus dari Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa minggu lalu, mereka langsung tidak kesah dengan kesesakan itu.
Sepanjang pameran enam hari itu, mereka tidak jemu melayan karenah pengunjung ke gerai mereka di Pavilion Malaysia yang dianjurkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan tidak penat memberikan senyuman paling manis walaupun menghadapi kesukaran berinteraksi dengan penduduk tempatan yang hampir semuanya hanya boleh berbahasa Mandarin.
“Sebenarnya saya datang nak makan angin sambil menemani isteri yang mahu mempromosikan minuman sarang burung walit,” kata seorang lelaki yang ditemui di gerai Sari Walit Sdn Bhd yang kemudiannya menghulurkan kad perniagaan dengan nama Zahro Nawawi.
“Ini semua isteri saya punya. Saya cuma tolong sekali-sekala. Tak sangka pula sambutan macam ini. Kalau saya tahu, saya akan bawa lebih banyak,” katanya yang datang berdua membawa minuman kesihatan sarang burung walit dalam botol buatan sendiri hanya menggunakan bagasi.
Di gerai itu, hanya tiga botol dipamerkan pada satu-satu masa.
“Takut kena serbu,” kata pasangan dari Perak itu sambil menuding kelompok gerai yang mempromosi pelbagai makanan dan serbuk minuman segera dalam bungkusan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: