Sunday, October 30, 2011

Memori lagu cinta Foster


Aksi Phillip, Russell dan Ashanti ketika menyampaikan lagu penutup konsert, Earth Song.


DIA merupakan lelaki yang menjadi tulang belakang kepada kekuatan lagu The Power of Love, Unbreak My Heart, I Have Nothing dan I Will Always Love You.

Itu baru secebis rangkaian lagu yang mendapat sentuhannya sebagai penulis lirik dan komposer yang dipetik.

Dalam industri muzik Hollywood, nama David Foster bukan calang-calang orangnya.

Malah, sepanjang 30 tahun menghambakan diri dalam dunia muzik, Foster boleh diandaikan sebagai antara individu penting yang bertanggungjawab menaikkan nama penyanyi terkenal seperti Celine Dion, Whitney Houstan, Madonna, kumpulan Chicago, Mariah Carey dan ramai lagi.

Hebat bukan?

Membawa janjinya yang disimpan sejak 17 tahun lalu, Foster kembali semula menjejakkan kakinya ke Malaysia dan Sabtu lalu, dia mengotakannya menerusi konsert sulungnya yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Menerusi David Foster & Friends Live in Concert, komposer terkenal itu turut ditemani lima artis antarabangsa berprofil tinggi.

Kelima-lima mereka ialah, Michael Bolton, Ashanti, Charice Pempengco, Phillip Bailey dan Russell Watson.

Gabungan mereka sebagai satu kumpulan nampaknya memberi senyuman buat penganjur, JAG Concerts and Events dan Enrich Malaysia Airlines.

Mana tidaknya, sukar sekali untuk mengesan tempat duduk yang kosong kerana hampir keseluruhan stadium terisi dengan kehadiran 10,000 peminat yang cukup teruja untuk menyaksikan persembahan mereka.

Tirai persembahan dibuka oleh Foster dengan dendangan lagu St Elmos Fire yang ditulis olehnya sekitar tahun 1985 yang juga merupakan lagu tema kepada sebuah filem dengan tajuk yang sama.

Usai bermain piano, seisi stadium menyorak hangat apabila Foster kemudiannya membuat pembuka kata dengan berkongsi sedikit cerita bersama peminat.

Satu sisi menarik yang dapat dilihat biarpun konsert baru 15 minit bermula, Foster rupa-rupanya turut berbakat dalam bidang pengacaraan!

Tidak terikat dengan sebarang skrip, dia santai bertindak sebagai pengacara dan mengendalikan konsert dengan baik diselang-seli dengan elemen humor yang cukup bersahaja sehingga ke sudah.

Memanggil si genit Charice naik ke pentas, Foster yang setia bermain piano mengiringi nyanyian bertenaga gadis yang berasal daripada Filipina ini menerusi lontaran lagu Louder, Stand Up For Love, Unbreak My Heart dan The Power of Love.

Tepukan gemuruh kedengaran di segenap pelosok stadium apabila Charice selesai mendendangkan lagu.

Ia sekali gus menunjukkan bahawa penonton begitu mengkagumi kemampuan suaranya yang begitu memukau.

Maka tak hairanlah mengapa artis berusia 19 tahun itu boleh mengecap kejayaan selepas dinobatkan sebagai artis Asia pertama yang menduduki carta 10 lagu terbaik di Amerika Syarikat (AS).

Foster juga turut membuat kejutan apabila menjemput penyanyi tempatan, Dayang Nurfaizah dan Ann untuk berkongsi pentas dengannya.

Menyanyikan lagu Love Look What You've Done, Dayang memukau penonton menerusi lantunan vokalnya yang mantap setanding artis antarabangsa.

Sementara itu, Ann pula menyanyikan lagu berjudul Through The Fire nyanyian asal Chaka Khan yang popular sekitar tahun 1984.

Konsert diteruskan dengan persembahan daripada penyanyi kelahiran United Kingdom (UK), Russell Watson, 44, yang terkenal dengan keupayaannya membawakan lagu-lagu genre klasikal dan Operatic Pop.

Menerusi lagu Because We Believe, Volare, You Raise Me Up dan Nessun Dorma, Watson berjaya memikat penonton untuk bersama-sama menyanyi dengannya.

Medley berjudul What's Love dan Always On Time kemudiannya dihidangkan kepada penonton apabila penyanyi Ashanti pula mengambil alih pentas.

Berbanding penyanyi Rihanna misalnya, Ashanti mungkin dikatakan sudah hilang taring dari segi populariti.

Namun malam itu, penyanyi R&B ini membuktikan bahawa auranya masih kuat dan ternyata dia juga boleh membawakan lagu Whitney Houstan, I Have Nothing dan I Will Always Love You dengan baik.

Selepas Ashanti, penyanyi Phillip Bailey pula menyusul menghiburkan penonton dengan koleksi lagu menggamit memori seperti In the Stone, Fantasy, After The Love dan September.

Kehangatan malam juga kian terasa apabila penyanyi bersuara emas, Michael Bolton muncul mengalunkan lagu When A Man Loves A Woman nyanyian asal Percy Sledge.

Bergetar rasa di jiwa setiap kali Bolton melantunkan vokalnya apalagi menerusi lagu How Am I Supposed To Live Without You dan Georgia On My Mind.

Suara 'mahalnya' itu diperdengarkan lagi kepada penonton dan kali ini melalui duetnya dengan Charice menerusi lagu The Prayer.

Tirai persembahan berakhir dengan alunan lagu Earth Song yang menyaksikan paduan suara kelima-lima artis tadi di atas satu pentas sebagai tribute kepada mendiang Michael Jackson.

Ternyata Foster dan rakan-rakannya berjaya menyajikan persembahan yang begitu melekat di hati walau cuma pada satu malam sahaja.

Biarpun cuma seketika, impak lagu-lagu cinta ciptaan Foster dianggap mampu kekal sebagai koleksi karya sepanjang zaman yang akan terus hidup.

Tenyata, karya Foster begitu menggamit memori dan boleh diterima ramai.

Tahniah Foster dan rakan-rakan!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: