MESRA...gambar keluarga yang dirakam pada Aidilfitri lalu.
CANTIK...produk coklat dibungkus cantik.
MENJADI rutin hidupnya seawal usia lima tahun mendengar cerita dan duduk di sisi lelaki tua itu. Lelaki tua bergelar bapa yang sentiasa meluahkan kekecewaan terhadap nasib Melayu di bumi sendiri membuatkan anak kecil itu menanam hasrat bergelar usahawan, dewasa kelak.
“Kebanyakan orang Melayu terlalu takut dan tidak berani menceburi bidang perniagaan, kamu tengok hampir keseluruhan sektor ekonomi dikuasai bangsa lain. Kita perlu berubah.”
Itulah cabaran diluah bapa kepada pengasas AOM Food Industries, Aimilia Omar, 29, membuatkan wanita muda ini membulatkan hati untuk berkecimpung dalam bidang dimonopoli kaum Cina.
Biarpun dibesarkan dalam keluarga mementingkan disiplin, Aimilia mengakui mempunyai hubungan akrab dengan bapa berbanding ibu, apatah lagi kerap menghabiskan masa mendengar cerita mengenai perkembangan ekonomi masyarakat Melayu.
Apabila menyedari minat Aimilia ke arah perniagaan tatkala usia meningkat, bapanya yang juga pegawai kerajaan membekalkan buku berbentuk motivasi perniagaan dan pembangunan diri.
Siswazah Universiti Malaya itu mengakui, mulanya dia meragui kemampuan diri untuk membina empayar perniagaan, namun sedikit demi sedikit keyakinan timbul sejurus menyaksikan kejayaan orang lain.
Pernah bergelar ejen insurans selama setahun selepas tamat pengajian, Aimilia kemudian mula mencari langkah sesuai untuk menjalankan perniagaan sendiri biarpun secara kecil-kecilan.
Mencuri masa mengikuti kelas bakeri di Taman Melawati, Kuala Lumpur pada setiap hujung minggu, ia menjadi detik perubahan kepada Aimilia apabila mula mendapat tempahan ramai sejurus memuat turun gambar kek buatannya ke Internet, Fotopages.
Sejak itu, dia tidak lagi menoleh ke belakang dan menggunakan segala kemahiran diperoleh untuk menghasilkan pelbagai jenis roti, kek, kek cawan dengan jenama MarvelCakes manakala Grandeur bagi coklat.
Perjalanan perniagaan bermula pada 2006 dilakukan secara sambilan, malah dia turut menggunakan peralatan di rumah bagi mengelakkan peningkatan kos pembuatan. Manakala bantuan penghantaran dilakukan oleh suami ketika bergelar tunang.
Hampir setahun beroperasi secara kecil-kecilan dan menggunakan blog (coklat.my) sebagai medium promosi, Aimilia mulai yakin dengan kemampuan diri lalu menubuhkan AOM Food Industries pada 2007 berpusat di Jalan SU 10, Selayang Utama, Selayang.
Enggan membebankan perniagaan yang baru bertapak, pasangan suami isteri ini nekad mengetepikan sebarang bentuk pinjaman kewangan daripada bank, sebaliknya menggunakan modal sedia ada.
Menyedari industri coklat dan bakeri kian berkembang di kalangan pengusaha industri kecil sederhana (IKS), pasangan muda ini maju setapak apabila mengambil langkah bijak mendapatkan pengiktirafan pensijilan halal daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Gigih memanjat tangga syarikat dan hotel bagi memasarkan produk syarikat, Aimilia kini mampu berbangga apabila Grandeur mula mendapat tempat di sebahagian hotel ternama sekitar Lembah Klang, Halal Mart Az Zain, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan beberapa koperasi.
“Dalam perniagaan ada pasang surutnya. Saya akui kadangkala terpaksa berdepan kerenah pemborong yang susah membuat bayaran, oleh itu pendekatan tolak ansur dianggap penyelesaian paling mudah.
“Saya juga peniaga, jadi saya mengerti kesukaran yang mereka turut alami.
Syukur selepas itu, kami boleh berurusan dengan lebih profesional,” katanya.
Suaminya, Tengku Muazam Kamal berperanan sebagai pengurus operasi dan pentadbiran akan memantau sebarang aktiviti atau pameran produk makanan yang dianjurkan agensi berkaitan seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) mahupun pameran halal.
Menyertai pameran atau karnival dianggap jalan terbaik bagi mempromosikan produk. Biarpun terpaksa membelanjakan sedikit peruntukan, namun pulangannya berlipat ganda.
Pernah menyertai pameran pengantin yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah terkenal negara, AOM Food Industries menerima pulangan mencecah RM10,000 dengan menggunakan modal RM1,000.
Biarpun banyak peluang pameran diadakan, Tengku Muazam Kamal bersikap memilih bagi mengelakkan kerugian, termasuk mengkaji sejarah dan kejayaan pihak penganjur.
Memegang lesen tunggal untuk menghasilkan coklat siri animasi terkenal negara, Upin & Ipin, membuatkan syarikat berusia hampir empat tahun ini makin dikenali di kalangan peserta luar negara seperti Indonesia apabila menyertai mana-mana pameran.
Berhasrat mengembangkan pasaran coklat ke luar negara, Aimilia mengakui ia mengambil sedikit masa menuju ke arah itu, apatah lagi ada pihak berminat menjalin kerjasama.
Lebih membanggakan, dia pernah menerima Anugerah Usahawan Jejak Jaya 2009 anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).
Malah, atas kejayaan sama, syarikat milik pasangan muda ini turut menerima geran bernilai RM60,000 daripada Lembaga Koko Malaysia pada 2009 dan Jabatan Pertanian pula memberi geran RM20,000 bagi tujuan pembelian peralatan serta mesin pengeluaran.
Empat tahun beroperasi, AOM Food Industries mengeluarkan hampir 200 jenis produk kek, kek cawan, coklat dan pastri berasaskan buahan tempatan, selain masih aktif mengambil tempahan bagi majlis perkahwinan.
PROFIL:
NAMA: Aimilia Omar
JAWATAN: Pengarah AOM Food Industries
LAHIR: 5 Februari 1982
ASAL: Gombak, Selangor
SUAMI: Tengku Muazam Kamal Tengku Mahmood
ADIK-BERADIK: Empat daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Rekabentuk dan Pembuatan Terbantu Komputer, Universiti Malaya (2005)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: