Sunday, October 30, 2011

Minggu pertama MLM gamat

Persembahan minggu pertama sahaja, semua 'otai' raja lawak begitu menghiburkan. Pentas Maharaja Lawak Mega (MLM) yang dihangatkan dengan persembahan komedi daripada 15 pelawak berkumpulan dan solo berjaya menambat hati penonton. Gabungan pelawak dari tiga negara serumpun iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia ini membuka satu lembaran baru dalam pentas komedi serantau.

Minggu pertama memperlihatkan kehebatan kumpulan dari Malaysia yang berjaya mendominasi penonton. Tuah malam pertama menyebelahi kumpulan Boboi yang dianggotai Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik dengan berjaya memperoleh jumlah undian tertinggi daripada penonton sebanyak 61 peratus.

Manakala kumpulan Bawal Power gandingan Bob Kuman dan Sobri pula mendapat jumlah undian kedua tertinggi sebanyak 59 peratus. Percubaan kumpulan Lanun (Jegan, Elyas dan Saiman Al Farisi) dan Caer (Adeteo, Mister Ibo dan Lugiana) kumpulan dari Indonesia mendapat jumlah undian terendah sebanyak 30 peratus.

Pembuka tirai malam itu, kumpulan Anje iaitu Achong dan Joey berjaya menggamatkan pentas. Namun, persembahan mereka gagal menambat hati juri tetap, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih popular dengan panggilan Chef Wan, Datuk Siti Nurhaliza, Zainal Abidin Hassan serta juri jemputan, Imran Ajmain.

Rancangan pertama seumpama ini, dilihat sebagai medan untuk para penghibur bersaing merebut hati peminat dengan lawak mereka.

Disiarkan secara langsung pada setiap Jumaat, jam 10 malam, peserta paling menyerlah dan berjaya memikat hati juri dan penonton bakal dinobatkan sebagai juara dan akan membawa pulang tunai RM350,000 pada minggu akhirnya, 30 Disember depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: