Thursday, October 27, 2011
Badan besar tak halang karier
Pasti ramai yang tidak boleh melupakan watak Mat Saja yang berlagak hero, suka mengganggu rakan-rakan dan sering dibuli dalam filem, Bini-Biniku Gangster, terbitan Metrowealth Pictures Sdn Bhd.
Zalif Sidek,26 yang popular dengan gelaran Mat Saja mengakui penglibatannya sebagai watak pembantu utama dalam filem itu memberikan impak besar kewujudannya dalam industri seni tempatan.
Walaupun sebelum ini pernah muncul dalam beberapa iklan seperti Digi (YellowMan) dan Astro First, namun ramai tidak perasan kemunculannya biarpun sering muncul di kaca TV mahupun di layar lebar.
Pun begitu, sejak menjadi Mat Saja, dia mula mendapat perhatian umum khasnya di kalangan peminat seni tanah air. Kepercayaan yang diberikan Tauke Metrowealth, David Teoh, menyertai MIG sejak awal tahun lalu digunakan sebaik mungkin.
Menurut Zalif, dia tidak sangka watak Mat Saja membantunya lebih dikenali dalam bidang lakonan. Baginya, walaupun watak tersebut tidak sekuat watak utama namun kehadiran Mat Saja menyerikan lagi jalan ceritanya.
“Alhamdulillah, mungkin rezeki saya di sini. Sebelum ni pergi mana-mana tak pernah ada yang perasan siapa saya. Sebaliknya hari ini bila keluar sahaja pasti ada yang berkata ‘Itulah Mat Saja’,” katanya yang pernah bekerja dengan KRU Production sebagai Promotion Print Eksekutif.
Menerusi filem Bini-Biniku Ganster, Zaliff turut teruja dapat bergandingan di samping pelakon popular tanah air seperti, Shahiezy Sam, Yana Shamsudin dan Intan Ladyana.
Mengakui masih 'hijau' dalam industri seni, anak kelahiran Kuala Terengganu, memberitahu banyak berkongsi pengalaman dan ilmu lakonan dengan mereka.
“Mereka sudah mempunyai nama yang gah dalam industri ini, tetapi mereka tidak pernah meninggi diri sebaliknya memberikan kerjasama yang sangat baik ketika di lokasi. Malah Sam tidak pernah kedekut ilmu dan sering membantu saya menghayati watak yang di terima,” katanya yang bertutur loghat Terengganu dengan baik dalam filem itu.
Ingin contohi Afdlin
Menurut Zalif, dia tidak pernah menolak keinginan untuk mencipta nama seperti, Afdlin Shauki, yang punya aura tersendiri walaupun mempunyai bentuk badan yang gempal.
Perasaan untuk mengurangkan berat badan tidak wujud kerana dia sudah lahir dalam bidang seni dengan trademark sebegitu.
“David Teoh pernah kata pada saya supaya tidak menguruskan badan, sebab baginya itulah kelebihan yang ada pada saya. Bahkan saya begitu teruja kerana walaupun berbadan gempal saya masih diberikan peluang memegang watak utama dalam filem beliau.
“Apa yang penting saya perlu menjaga kesihatan, ini bukan bermakna saya perlu menambah berat badan atau lebih gempal daripada yang sedia ada,” katanya.
Jelasnya, sebagai pendatang baru dia juga bercita-cita untuk pergi jauh dalam bidang yang diceburi.
“Buat masa sekarang saya memang memberikan sepenuh perhatian dalam kerjaya ini. Saya harap dapat lakukan yang terbaik dan berjaya mewarnai persada seni tanah air. Bagaimanapun saya senang kerana kehadiran saya diterima peminat. Mungkin sudah sampai masanya untuk saya tonjolkan bakat lakonan yang terpendam selama ini,” kata Zalif yang turut gembira apabila mendapat pujian peminat menerusi laman Facebook miliknya.
Dua filem menyusul
Terbaru, Zalif bakal muncul dalam drama Klik musim dua, yang akan disiarkan di Astro Ceria. Selain itu, tiga filem lakonannya, Aji Noh Motor, Papa I Love U dan 7 Petala Cinta, bakal di tayangkan tidak lama lagi.
Menurut Zalif, filem Papa I Love U, bakal di tayangkan terlebih dahulu, iaitu 29 Disember depan. Walaupun filem bertemakan romantik komedi arahan Hashim Rejab itu, tetap memberikan cabaran hebat buatnya.
“Dalam filem ini saya memegang watak utama iaitu Baha yang bergandingan bersama Lisa Surihani(Elly) dan Mia Sara Nasuha(Mia). Watak ini agak sukar sebab saya perlu menjadi seorang bapa. Sebagai orang bujang memang susah nak jadi seorang bapa. Jadi saya melakukan banyak kerja dengan membuat kajian.
“Saya juga berjumpa dengan Sein Ruffedge untuk bertanya bagaimana dia melakonkan watak bapa dalam drama Adamaya yang pernah disiarkan di TV3.
“Selain itu, saya juga cuba memenangi hati Mia Sara supaya lebih serasi dengannya yang menjadi anak saya dalam filem itu. Sehingga hari ini dia masih menggelari saya ‘Papa Pooh’,” katanya yang berterima kasih kepada Lisa kerana banyak membantu dan mengajarnya menjayakan watak tersebut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: