Sunday, October 30, 2011

Shafiq suka aktiviti lasak




Anak muda penghias ruangan Kacak Bergaya minggu ini Raja Shafiq Mohar Raja Chulan sangat suka menjadi pengacara lebih-lebih lagi acara yang ada sentuhan lasak.

Sebab itu apabila guru kelasnya bertanya apakah projek kelas yang mahu dijalankan, dia segera mencadangkan satu majlis berkaitan Orang Asli yang ada unsur pendidikan.

Cadangannya dipersetujui dan kelas kertas perhubungan awam yang diambilnya mengadakan satu projek pendedahan kesenian kepada anak-anak orang Asli di sebuah perkampungan Orang Asli di Puchong, Selangor baru-baru ini.

Dia yang masih menuntut di tahun pertama jurusan Komunikasi di Kolej Segi, Petaling Jaya itu yang dilantik menjadi penganjur kepada acara tersebut.

“Saya memang suka menganjurkan majlis serta menjadi pengacara. Sebab itu saya seronok sangat apabila dapat menganjurkan satu acara yang memberi manfaat kepada anak-anak Orang Asli.

“Kami mengajar mereka bidang seni seperti melukis dan sebagainya,” kata Shafiq kepada Pancaindera.

Aktiviti yang dilakukan itu akan dinilai oleh pensyarah sebagai kerja berkumpulan mereka.

Syafiq juga sukakan aktiviti lasak seperti meredah hutan dan mendaki. Minatnya pernah membawa dia ke Pulau Pinang apabila ada satu acara meredah hutan di sana.

“Sebenarnya saya juga minat dalam bidang lakonan. Terasa juga mahu mencuba. Tapi saya rasa jiwa saya lebih cenderung dalam bidang pengacaraan.

“Saya pasti akan mencuba nasib dalam bidang pengacaraan selepas ini. Saya minat dengan aktiviti sosial terutamanya yang berkaitan dengan dunia remaja,” jelas anak kedua daripada tujuh beradik itu penuh semangat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: