Sunday, October 30, 2011

Konsert Gemilang 50 Okestra RTM

Keunggulan Orkestra RTM menyambut ulang tahun Jubli Emas tahun ini diterjemahkan dengan penganjuran Konsert Gemilang 50 Orkestra RTM yang menyaksikan 35 pemuzik orkestra berpengalaman memberikan persembahan bertenaga di Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur pada 1 November ini.

Kebanyakannya pemuzik yang berkelulusan sarjana muzik dari universiti dalam dan luar negara itu mempamerkan persembahan hebat di bawah pimpinan beberapa tokoh berpengalaman dalam bidang orkestra seperti Datuk Johari Salleh, Datuk Mokhzani Ismail, Mohd Asnawi Mutaal, Leon Yap, Azman Mustafa dan Lokman Abdul Aziz.

Ia dibahagikan kepada sepuluh segmen iaitu Overture Merentasi Zaman, Titik Permulaan, Varsiti Pelbagai Irama, Dari Malam Irama Malaysia ke Malam Putrajaya, Ilham Rasa, Dari Rakyat Untuk Rakyat, Patah Tumbuh Hilang Berganti, medley Tanah Air, Orkestra dan Bintang dan Gemilang 50.

Antara artis yang membuat persembahan adalah Jamal Abdillah, Shafinaz Selamat, Datin Paduka Julie Sudiro, Norynn Aziz dan Andre Goh.

Mengimbas kembali sejarah penubuhannya pada 1961, orkestra ini berjaya merentasi zaman dan melakar kisah suka dukanya tersendiri. Di pentas sama juga dapat disaksikan pemuzik dahulu memerah keringat dan tenaga untuk menghasilkan muzik-muzik terbaik.

Orkes Radio Malaya berkonsepkan 'big band' di mana keanggotaannya seramai 13 orang tertumpu kepada kelompok keluarga brass, saxes dan rhythm. Keanggotaannya dikembangkan kepada 25 orang mulai 1965 dengan penambahan ahli muzik yang bermain peralatan bertali. Dari 1967 hingga 1969 pula, keanggotaannya berkembang kepada 38 orang dengan berkonsepkan studio orkestra.

Ternyata muzik adalah bahasa antarabangsa yang mampu merentas sempadan kaum dan bangsa. Dalam semangat 1Malaysia yang tidak mengira warna kulit dan rupa, sejarah membuktikan semangat kerjasama inilah yang mengekalkan Orkestra RTM selama 50 tahun dan terus relevan hingga kini.

Dalam meraikan sambutan ke-50, Orkestra RTM diperkenalkan logo baru dan juga tagline Reaching Out yang antara lain merakyatkan orkestra kepada orang ramai di samping memperkenalkannya ke peringkat antarabangsa.

Sempena sambutan itu juga, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim turut menyampaikan Anugerah Khas Tokoh Orkestra RTM kepada 11 pemuzik yang pernah terlibat dalam Orkestra tersebut iaitu Zainal Abu, Akhbar Nawab, Datuk Dr Ahmad Nawab, T Anggapan, Ahmad Kassim, Ruslan Imam, Richard Hoon, Eow Yeo Jin, James Boel, Alfonso Sulian dan Datuk Ahmad Dasillah.

Persembahan konsert bakal menemui penonton di saluran TV2, jam 9 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: