Monday, October 31, 2011

Ragut satu nyawa setiap enam saat

CERGAS...senaman ringan seperti berjalan sederhana bermanfaat untuk kekalkan kesihatan.
CERGAS...senaman ringan seperti berjalan sederhana bermanfaat untuk kekalkan kesihatan.

PESANAN khas untuk wanita: Tekun dan tegas dalam menjaga kesihatan kerana semakin meningkat usia, semakin tinggilah peluang penyakit jantung dan strok mendekati kita. Bagi wanita yang memiliki faktor risiko untuk penyakit jantung, mereka juga berisiko tinggi mendapat strok.

Ketika bertemu dengan Pakar Neurologi Hospital Assunta, Datuk Dr Raihanah Abdul Khalid, beliau berkongsi fakta menggerunkan iaitu strok bukan saja menjadi punca kematian keempat utama di hospital kerajaan, malah lebih ramai wanita diserang penyakit ini berbanding lelaki. Bahkan kematian akibat strok adalah dua kali lebih tinggi berbanding kanser payudara.

  • Foto

    ELAK...jauhi bentuk badan begini.

  • Foto

    FISIOTERAPI...penting untuk pulihkan kemampuan fizikal pesakit.

Nisbah mudahnya, satu daripada lima wanita selepas menopaus diserang strok berbanding satu dalam enam bagi lelaki. Sehari selepas bertemu Dr Raihanah, sahabat di kampung memberitahu ibunya kini berada di hospital kerana strok dan beberapa bulan lalu penulis kehilangan ibu saudara akibat penyakit yang sama.

Kenapa strok atau serangan otak lebih tinggi pada wanita sedangkan faktor risikonya sama saja dengan lelaki? Dr Raihanah berkata ia ada kaitan dengan kehilangan perlindungan hormon estrogen (yang sangat rendah parasnya selepas putus haid) menyebabkan risiko wanita mendapat sakit jantung dan strok meningkat mendadak setanding lelaki.


Kajian dijalankan penyelidik dari Universiti Toronto, Kanada pada 2004 mencadangkan beberapa kemungkinan antaranya faktor jangka hayat kerana wanita hidup lebih lama berbanding lelaki. Ini kerana risiko strok melonjak dengan peningkatan umur.


Masalah migrain yang kerap dihadapi wanita dikatakan meningkatkan risiko dua kali ganda untuk mendapat strok. Selain itu mengalami tekanan darah tinggi ketika hamil didapati meningkatkan risiko strok sebanyak 60 peratus dan bagi sesetengah wanita, pengambilan pil pencegah kehamilan juga boleh meningkatkan peluang mendapat penyakit ini khususnya bagi wanita yang merokok dan kerap alami migrain.

Malah, terapi penggantian hormon juga boleh meningkatkan risiko strok bagi sesetengah wanita. Namun, janganlah ada yang tidak mahu mengambil pil perancang atau mendapatkan terapi penggantian hormon atas alasan ini, berbincanglah dengan doktor supaya anda boleh mengambil keputusan bijak dan bermanfaat kepada diri sendiri.

Pun begitu, menurut Dr Moira Karpal yang mengetuai kajian berkenaan, ada satu aspek yang memerlukan kajian lanjut mengapa lebih ramai wanita meninggal dunia akibat strok iaitu kebanyakan wanita berumur tinggal sendirian dan tidak mendapat sokongan sosial. Bahkan wanita juga lebih cenderung menyembunyikan penyakit dan tidak mendapatkan bantuan sewajarnya apabila diserang penyakit ini sedangkan strok perlu dirawat secepat mungkin untuk mengurangkan kesan kerosakan akibat berlaku ‘kecederaan’ dalam otak.

“Semua orang tahu apa itu penyakit strok. Ia penyakit yang semakin biasa di negara membangun seperti Malaysia, malah insidennya lebih tinggi berbanding negara maju. Antara sebabnya ialah negara maju mempunyai kemudahan rawatan dan penjagaan pesakit yang lebih baik dan berjaya mengawal risiko penyakit.

“Strok adalah penyakit golongan tua berumur 60 tahun ke atas. Pada pesakit muda, biasanya pesakit memang ada penyakit berkaitan darah, pembentukan otak tidak normal kongenital (dilahirkan dengan keadaan begitu) atau penyalahgunaan dadah khususnya dadah pesta,” katanya sempena Hari Strok Sedunia yang disambut pada 29 Oktober setiap tahun.

Organisasi Strok Sedunia (WSO) menganggarkan penyakit ini meragut satu nyawa dalam setiap enam saat. Sememangnya serangan strok sangat menakutkan kerana jika tidak membawa maut, ia akan menyebabkan pesakit menjadi orang kurang upaya - sama ada lumpuh separuh badan atau sepenuhnya. Bukan itu saja, pesakit juga akan hilang pelbagai kemahiran termasuk bertutur, kemahiran bahasa dan kebolehan menggerakkan anggota - bergantung kepada bahagian otak yang mengalami serangan.

Strok boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu iskemia (apabila aliran darah tersekat akibat kehadiran darah beku - yang mewakili 87 peratus kes strok), berdarah (berlaku apabila salur darah yang lemah pecah) dan serangan iskemia transien (TIA) yang juga dipanggil strok kecil. Untuk TIA, walaupun namanya ‘kecil’ tetapi jangan diabaikan kerana ia disebabkan kehadiran darah beku sementara. Segeralah dapatkan nasihat doktor supaya serangan strok yang besar dapat dicegah.


Faktor risiko

Faktor risiko strok sama seperti serangan jantung. Bezanya hanyalah lokasi.
Jika serangan jantung berlaku di mana-mana bahagian jantung, strok pula berlaku di otak sama ada disebabkan salur darah pecah atau tersumbat sehingga mengakibatkan terputusnya bekalan oksigen.

“Mereka yang berisiko tinggi mendapat serangan jantung, juga berisiko tinggi untuk diserang strok. Oleh kerana faktor risikonya sama, maka tiada alasan untuk berkata tidak tahu kerana kerana kedua-dua penyakit ini mempunyai kaitan rapat dengan gaya hidup. Justeru, faktor risiko seperti obesiti, tekanan darah tinggi, masalah kolesterol tinggi, merokok dan kurang bersenam perlu diberikan perhatian.

“Kebanyakan faktor risiko untuk strok (dan penyakit jantung) boleh dikawal kecuali peningkatan umur. Justeru, jika anda menjaga kesihatan jantung, anda juga secara tidak langsung menjauhkan diri daripada serangan strok,” katanya.

Malah, individu yang ada sejarah keluarga mengalami penyakit jantung juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati kerana kebarangkalian mendapat strok adalah tinggi apatah lagi jika dia sendiri mempunyai masalah tekanan darah tinggi.

“Jika anda merokok, berhentilah sekarang kerana rokok meningkatkan risiko strok sebanyak dua kali ganda. Begitu juga dengan tekanan darah tinggi. Jadi berusahalah mengurangkan semua faktor risiko kerana serangan strok berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda. Malah, satu pertiga kes serangan strok berlaku ketika tidur,” katanya.


Tanda amaran

Tiadakah tanda amaran yang boleh diperhatikan? Ada tetapi biasanya ia jarang dipedulikan. Ini kerana tanda amaran strok datang sekejap-sekejap dalam masa beberapa minit atau jam. Ia datang, hilang dan datang kembali menyebabkan ramai pesakit menganggap ia sebagai masalah biasa. Penting untuk diketahui, ia tidak menyebabkan rasa sakit.


Antara tanda amaran itu ialah:

  • Rasa kebas secara tiba-tiba terutama pada sebelah badan
  • Badan terasa lemah
  • Ada masalah penglihatan (pandangan berganda) pada sebelah atau kedua-dua mata

  • Pening kepala, sakit kepala secara tiba-tiba
  • Hilang keseimbangan atau keupayaan untuk berjalan dengan tiba-tiba
  • Rasa keliru, susah bercakap atau memahami percakapan orang lain
  • Susah hendak menelan
  • Rasa pening dan sekeliling nampak berpusing


    Jika anda mengalami tanda-tanda di atas, segera minta ahli keluarga atau rakan sekerja membawa anda ke hospital kerana serangan strok boleh berlaku pada bila-bila masa.

    Ada ujian mudah yang boleh dilakukan iaitu senyum, lambai dan cakap atau F.A.S.T.

  • F - Face (muka). Suruh senyum. Adakah sebelah mukanya kelihatan ‘jatuh’?

  • A - Arm (lengan). Minta dia mengangkat kedua-dua belah lengannya. Adakah sebelah lengan melorot ke bawah?

  • S - Speech (cakap). Suruh bercakap dan perhatikan sama ada pertuturannya menjadi tidak jelas.

  • T - Telefon. Segera hubungi ambulans. Jika tiada, segeralah bawa individu ini ke hospital.


    Apa yang perlu dilakukan apabila ahli keluarga diserang strok?

    Bagi individu yang diserang strok, setiap saat sangat berharga kerana kerosakan otak berlaku berterusan sehinggalah dia diberikan rawatan. Apabila otak tidak mendapat oksigen dalam masa beberapa minit, sel-sel otak akan mula mati. Sebaik tisu otak mati, anggota badan yang dikawal oleh bahagian otak berkenaan tidak boleh berfungsi dengan baik dan inilah yang menyebabkan pesakit hilang keupayaan.

    “Segera bawa pesakit ke hospital. Baringkan pesakit supaya lebih banyak bekalan darah (dan oksigen) sampai ke kepalanya. Jika dalam kereta, baringkan pesakit di tempat duduk belakang dengan membengkokkan kakinya.

    “Jangan berlengah dengan menelefon saudara-mara untuk bantuan kerana bagi pesakit strok, masa amat kritikal. Lebih cepat pesakit dihantar ke hospital dan diberikan rawatan sepatutnya, peluang untuk sembuh lebih tinggi kerana kini kita ada terapi akut untuk pesakit.

    “Rawatan seharusnya diberikan dalam tempoh tiga hingga empat jam selepas pesakit mengalami serangan strok. Rawatan ini adalah untuk mencairkan darah beku supaya halangan dalam salur darah dapat diatasi.

    “Ingat, dalam perjalanan ke hospital jangan beri apa-apa kepada pesakit termasuklah air, makanan atau aspirin kepada pesakit kerana kita tidak tahu keadaan kesihatan pesakit. Jika pesakit mengambil ubat untuk sakit jantung, pemberian aspirin akan memburukkan keadaan. Sekiranya pesakit muntah, baringkan pesakit dalam keadaan mengiring untuk mengelakkan muntah daripada termasuk ke dalam saluran pernafasannya.

    “Bawa sekali ubat yang diambil pesakit dan rekod kesihatannya. Ini akan membantu memudahkan doktor memberi rawatan yang bersesuaian dengan pesakit,” sambungnya lagi.

    Dr Raihanah juga mengingatkan supaya tidak percaya dengan e-mel yang mendakwa boleh mencegah strok dengan mencucuk jari menggunakan jarum kerana ia tidak berasas.


    Bolehkah serangan strok dicegah?

    Ya. Seperti penyakit jantung, strok juga boleh dicegah. Inilah sasaran Kementerian Kesihatan yang sejajar dengan kempen Organisasi Strok Sedunia yang bertema ‘Satu Dalam Enam’ untuk meningkatkan kesedaran mengenai strok. Tema ini dipilih berdasarkan hakikat bahawa satu daripada enam orang akan diserang strok. Ini bermakna semua orang berisiko mendapat strok dan peluang penyakit ini menyerang sangat tinggi jika tiada langkah pencegahan diambil.

    Kempen ini bukan saja untuk mencegah strok, tetapi memberitahu bahawa pesakit strok boleh pulih dan kembali menjalani kehidupan sebaik mungkin jika diberikan rawatan dan sokongan yang diperlukan. Kempen dua tahun ini juga bertujuan mengurangkan beban strok dengan bertindak ke atas enam halangan mudah iaitu:

    1. Ketahui faktor risiko anda sendiri: sama ada tekanan darah tinggi, kencing manis atau masalah kolesterol tinggi.

    2. Menjadi individu yang lebih aktif dan kerap bersenam

    3. Elakkan masalah obesiti dengan mengamalkan pemakanan sihat

    4. Hadkan pengambilan minuman beralkohol

    5. Elakkan asap rokok. Jika anda merokok, dapatkan bantuan untuk berhenti sekarang.

    6. Belajar mengenali tanda amaran strok dan tindakan yang boleh dilakukan.


    Saranan Dr Raihanah: Jaga pemakanan (kurangkan makanan berlemak) dan pengambilan garam (had maksimum ialah enam gram sehari atau satu sudu teh), hadkan pengambilan daging merah (hanya satu hidangan sebesar kotak mancis sehari), lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan (sekurang-kurangnya enam hidangan sehari).

    Paling penting, bersenam 30 minit sehari atau dua setengah jam seminggu kerana senaman boleh mengurangkan risiko strok sebanyak 64 peratus. Senaman sederhana cergas (selepas 30 minit anda masih boleh bercakap tetapi tidak mampu menyanyi). Senaman ringan seperti berjalan pada kelajuan sederhana juga sangat bermanfaat untuk mengekalkan kesihatan dan mengawal penyakit yang dihidapi.


    Kehidupan selepas serangan strok

    “Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menjalani fisioterapi. Kapasiti latihan berbeza antara pesakit mengikut kemampuan masing-masing. Fisioterapi ini bertujuan memberi latihan kepada anggota badan yang hilang fungsi. Dalam tempoh ini, sokongan keluarga sangat penting.

    “Fahami keadaan pesakit dan kenali tanda-tanda amaran untuk mengelakkan berlakunya serangan kedua. Dalam tahun pertama, pesakit ada risiko 12 peratus untuk mengalami serangan strok lagi. Satu pertiga pesakit akan dapat serangan kedua dalam tempoh lima tahun dan jika ini berlaku kerosakan otaknya bertambah teruk,” katanya.

    Apa yang ahli keluarga boleh lakukan? Banyak. Pastikan pesakit mengambil ubat seperti diarahkan, bawa pesakit ke hospital atau pusat terapi untuk fisioterapi, sebaiknya pelajari senaman yang diajar supaya anda boleh bersama-sama melakukannya di rumah sebagai pencetus semangat kepada pesakit dan beri sokongan moral.

    Kajian mendapati 40 peratus pesakit strok mengalami kemurungan. Apabila kehilangan banyak keupayaan, memang mudah untuk pesakit berasa putus asa, sedih, kecewa hingga membawa kepada kemurungan. Ingat, tekanan juga boleh menyebabkan seseorang mengalami serangan strok.

    Jika pesakit suka, bawa dia menyertai aktiviti sosial. Ia sedikit sebanyak boleh menghilangkan kekecewaannya. Bagaimanapun, kaedah ini tertakluk kepada personaliti pesakit kerana ada yang tidak mahu keadaan mereka diketahui ramai.

    “Strok adalah penyakit yang memberi beban besar kepada pesakit dan ahli keluarga. Kira-kira 10 hingga 15 peratus pesakit boleh sembuh sepenuhnya, tetapi hampir 60 peratus pesakit terlantar.

    “Memang ramai pesakit strok yang lewat diberikan rawatan. Ramai yang ‘terbiar’ selepas dibenarkan keluar dari hospital dan terus menjadi orang kurang upaya.
    Namun, jangan biarkan keadaan ini berterusan kerana rawatan seperti fisioterapi masih boleh diberikan walaupun selepas setahun diserang strok. Jangan biarkan pesakit terus menjadi orang tidak upaya,” katanya.
  • 1 comment:

    Tinggalkan Komen Anda Sini: