Sunday, October 30, 2011

Terbayang maut

WAN Mohd. Shuhaimi melihat kecederaan anaknya selepas dia jatuh ke dalam perigi di Kampung Kota, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - "Pada mulanya saya masih boleh bertahan tetapi selepas beberapa minit, mula timbul rasa takut sampai teringat mati". Demikian cerita Wan Mohamad Syaqir Iqwan Wan Mohd. Shuhaimi, 19, yang terperangkap di dalam sebuah perigi sedalam kira-kira 12 meter selepas terjatuh ketika cuba mengait buah rambutan gading di belakang rumahnya di Kampung Kota, di sini pukul 1.50 petang semalam.

Sebelum kejadian. pelajar Kejuruteraan Marin di Akademi Laut Malaysia (Alam) di Terengganu itu memanjat perigi tersebut dan berdiri di atas penutup konkrit untuk memetik buah rambutan.

"Ayah yang minta petik buah rambutan, saya pun panjat perigi yang ditutup dengan konkrit, tetapi tiba-tiba penutupnya pecah lalu saya terjatuh ke dalam.

"Sebaik sahaja jatuh, saya tenggelam dan cuba apungkan diri dengan menahan kaki serta badan pada dinding perigi bagi mengelak lemas," katanya ketika ditemui semalam.

Bapanya, Wan Mohd. Shuhaimi Wan Mustapa, 49, yang turut berada di tempat kejadian menghulurkan getah paip untuk diikat pada badan selain menurunkan tangga sebagai satu lagi cara untuk mengelakkan anak kedua daripada tiga beradik itu tenggelam.

Isterinya, Suhaila Abdullah, 44, pula bergegas mendapatkan bantuan jiran-jiran sambil menelefon Jabatan Bomba dan Penyelamat yang tiba lima minit kemudian.

"Saya takut dia tidak dapat bertahan lama, tangga yang dihulurkan juga tenggelam kerana perigi itu terlalu dalam," ujarnya dengan menambah, peristiwa itu sudah menjadi alasan yang cukup kuat untuk mereka menimbus perigi itu selepas ini.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba Darulnaim, Pegawai Bomba Kanan II, Ahmad Radi Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 1.52 petang sebelum tiba dengan empat anggota.

"Anggota kami, Mohd. Hazam Abdul Rahman yang lengkap dengan peralatan termasuk tali penyelamat turun ke dalam perigi tersebut dan berjaya memangku mangsa untuk membawanya naik dalam tempoh lima minit.

"Operasi menyelamat tidak mengalami kesukaran berikutan mangsa mampu mengawal perasaan takut dan menjadikan kerja-kerja lebih mudah," ujarnya.

Katanya, mangsa cukup bernasib baik kerana kejadian tersebut disedari oleh ahli keluarga yang lain selain dia juga mempunyai kemahiran ketika berada di air.

"Mungkin ramai yang menganggap terjatuh dan terperangkap di dalam perigi adalah suatu yang tidak serius tetapi hakikatnya ia bahaya kerana gas yang dikeluarkan daripada tanah di dalam perigi itu mungkin beracun," jelasnya.

Bagi Mohd. Hazam, 48, ini bukan kali pertama beliau melakukan kerja-kerja menyelamat seumpama itu sepanjang tempoh khidmatnya bersama pasukan bomba sejak 25 tahun lalu.

"Sebelum ini telah melakukan kerja-kerja sebegitu cuma, kali ini ia tidak begitu sukar berikutan mangsa kelihatan tenang dan masih ada tenaga untuk bertahan" katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: