Monday, October 31, 2011

Sharbinee akui lakukan kesilapan

SHARBINEE (kiri) cuba menghalang rembatan Hairuddin Omar pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam kelmarin. Terengganu tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan.


SEPERTI mahu bertanggungjawab di atas kegagalan Terengganu menjuarai Piala Malaysia, penjaga gol, Sharbinee Alawee Ramli secara terbuka mengakui kesilapan pada perlawanan akhir kelmarin.

Sambil menjelaskan kesilapan tersebut tidak disengajakan, penjaga gol kebangsaan itu turut meminta maaf kepada semua rakan serta penyokong di atas apa yang telah berlaku.

Pada aksi di Stadium Shah Alam itu, Sharbinee yang memiliki pengalaman luas beraksi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa telah melakukan kesilapan apabila gagal menangkap kemas hantaran silang pemain Negeri Sembilan, S. Kunanlan pada minit ke-81.

Gol penyamaan itu telah mencetuskan kebangkitan para pemain Negeri Sembilan yang akhirnya berjaya mendapatkan gol kemenangan menerusi Hairuddin Omar pada minit ke-86 untuk muncul juara Piala Malaysia edisi 2011.

“Perlawanan akhir memang sengit dan apa sahaja boleh berlaku. Lagipun, sukar untuk saya kata- kan apa sebenarnya yang berlaku. Saya hanya boleh katakan yang saya tidak bernasib baik dan ia mungkin bukan hari saya.

“Saya juga tahu ramai orang di luar sana yang membenci saya kerana kesilapan itu. Justeru, saya ingin meminta maaf kepada semua rakyat Terengganu yang mengharapkan kami membawa pulang trofi ini.

“Kami telah melakukan yang terbaik dan tahun ini mungkin bukan rezeki kami,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengga- nu semalam.

Mengulas lanjut mengenai kesi- lapan itu, Sharbinee yang dianggap penjaga gol No. 2 negara sele- pas Khairul Fahmi Che Mat menjelaskan, faktor padang bukanlah punca utama.

Sebaliknya dia mendedahkan, tempoh perlawanan yang cukup genting memberi sedikit tekanan kepadanya sehingga gagal beraksi dengan baik.

“Saya mungkin telah membuat keputusan yang silap sehingga menyebabkan jaringan itu dan ia sesuatu yang sukar untuk saya terima.

“Namun, saya akan jadikan kesilapan ini sebagai satu lagi pengalaman untuk menjadi lebih matang dan lebih berhati-hati pa- da perlawanan akan datang.

“Saya cuma berharap agar para penyokong Terengganu terus berada di belakang pasukan ini dalam misi memburu kejuaraan pada musim depan,” katanya lagi.

Untuk rekod, kekalahan 1-2 Terengganu kepada Negeri Sembilan kelmarin meneruskan kemarau kejuaraan buat skuad Penyu itu selepas kali terakhir muncul juara Piala Malaysia sepuluh tahun lalu.

Satu-satunya kejuaraan yang dimenangi skuad kendalian Irfan Bakti itu adalah dengan muncul juara Piala FA selain menduduki tangga kedua dalam persaingan Liga Super.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: