Sebut sahaja nama-nama Angeline Tan, Louisa Chong dan Tan Ting, penonton akan mengenali mereka menerusi lakonan dan lawak mereka walaupun di pentas yang berbeza. Bukan sahaja pelawak berbangsa Melayu, malah pelawak Cina turut mewarnai pentas hiburan tanah air.
Bagi Tan Ting, 63, perbezaan bangsa tidak pernah menjadi penghalang untuknya melangkah bersama pelawak lain. Mengakui lebih selesa bekerjasama dengan pelakon dan produksi Melayu, Tan Ting berpendapat budaya dan sikap orang Melayu jauh berbeza dengan masyarakat Cina.
“Saya suka bekerjasama dengan orang Melayu. Mereka baik dan selalu memberi teguran serta tunjuk ajar jika ada kesalahan. Sejak mula hingga hari ini, banyak pengalaman yang saya kutip.
“Bagi saya, tidak kira apa bangsa, asalkan ada kemahuan dan sentiasa mahu majukan diri, pasti ada pihak yang sudi memberi tunjuk ajar,” katanya.
Jika ada pelawak lain yang menceburkan diri dalam dunia seni hanya kerana mengikut kawan atau secara tidak sengaja, tetapi baginya, minat pada bidang ini sudah dipupuk sejak kecil lagi.
Namun, minat hanya minat. Tiada siapa tahu minat mendalam Tan Ting untuk menjadi penghibur. Tidak ada sekelumit ayat terkeluar dari mulutnya. Pun begitu, langkahnya bermula sebagai pemain kugiran adalah detik awal dirinya mengumpul keyakinan diri.
Bermula dengan kugiran
Mengimbau sejarah penglibatan awal, Tan Ting mula menceburi bidang nyanyian bersama kumpulan kugiran Cina, May Flower sekitar 1977. Ketika itu, kumpulannya sering membuat persembahan di kelab malam sekitar ibu kota.
“Kami pernah buat persembahan bersama artis terkenal ketika itu seperti Uji Rashid, Datuk DJ Dave dan Hamid Gurkha di Kulim, Kedah. Ketika itu, saya masih belum dikenali di kaca televisyen. Saya seronok melihat penyanyi berdiri di depan kamera, sedangkan saya hanya bermain gitar di belakang sahaja. Tapi, seorang penerbit Radio Televisyen Malaysia (RTM) menawarkan saya untuk berlakon.
“Bagi saya, inilah peluang yang tidak harus dilepaskan. Saya diberikan satu watak untuk drama Si Luncai pada 1981. Saya memang minat berlakon dan menunggu untuk mendapatkan peluang seumpama itu. Tawaran itu terus saya terima walaupun hanya watak picisan sahaja.
“Saya sentiasa memperbaiki mutu lakonan saya. Tidak sangka percubaan saya untuk bergelar anak seni berlanjutan selama dua tahun. Ketika itu, saya ditawarkan berlakon dalam filem Hong Kong berjudul Pendatang Ribut Pagi. Saya terus menerimanya,” katanya.
Selepas itu, Tan Ting terus diberi peluang muncul dalam drama tempatan. Drama Hikayat Hang Setia pada 1992 merupakan drama yang meletakkan namanya terus gah di persada seni. Berlakon di samping Ruminah Sidek, Norlia Ghani, Hamdi Gurkha dan Mendiang Param, drama 200 episod terus melonjakkan namanya.
“Dulu, saya tidak fasih berbahasa Melayu. Memang sukar nak berkomunikasi. Tapi berkat pertolongan pengarah dan juga rakan pelakon, akhirnya saya berjaya ke peringkat lebih baik.
“Ada juga produksi yang tidak mempercayai bakat saya untuk membawa watak serius kerana saya lebih sinonim dengan watak komedi. Tapi, saya buktikan kepada mereka yang saya mampu lakukannya,” katanya yang pernah menjayakan rancangan Hiburan Minggu Ini dan drama Pening lalat, Impian Abadi, Impian L dan Pak Kaduk.
Pelbagai cabaran
Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, pelbagai liku ranjau ditempuhi anak kelahiran Kuala Kangsar ini. Pengalaman tidak mendapat bayaran acap kali terjadi. Beranggapan itulah asam garam dunia seni, itu juga mematangkan dirinya untuk terus aktif dalam bidang seni.
Biar nama jadi sanjungan, namun Tan Ting pernah ditipu beberapa syarikat produksi termasuk dari antarabangsa.
“Apabila sudah terjun dalam bidang ini, semua perkara seperti ditipu, difitnah atau digunakan sudah menjadi sebahagian diri artis. Mungkin dulu, saya sedih dan pernah rasa putus asa, tapi memikirkan ini jalan yang saya pilih, saya perlu telan sahaja.
“Saya juga pernah dijanjikan dengan bayaran tinggi oleh sebuah syarikat produksi dari Hong Kong, malangnya apabila selesai, janji itu hanyalah mainan dan saya ditipu.
“Ketika itu, saya rasa diri saya tidak dihargai. Kerja dari pagi hingga malam,tetapi keringat kita tidak dikira. Saya anggap ia bukan rezeki saya. Saya terus berkarya dan mempelbagaikan bakat. Orang kata, jangan hanya berpandukan satu aliran sahaja, jadi saya boleh juga berlakon watak serius apabila dikehendaki,” katanya.
Lebih gemar membawakan watak komedi berbanding watak serius, Tan Ting berasakan watak seperti itu dekat dengan dirinya.
“Saya versatil. Tapi, kelebihan saya adalah membawakan watak komedi. Saya suka melihat penonton ketawa melihat aksi saya. Lagi pula, ia mudah dibawa dan memerlukan komitmen tinggi,” katanya.
RTM hargai jasa
Mengakui tidak pernah menerima anugerah di sepanjang penglibatan, Tan Ting tetap berbangga dengan kebolehannya dengan penghargaan yang diberikan oleh RTM.
Menurut Tan Ting, Persatuan Veteran RTM telah memberi Sijil Penghargaan kepadanya sebagai tanda terima kasih di atas segala jasa ketika menjayakan program di bawah anjuran RTM.
“Walaupun tak dapat anugerah, saya gembira dapat penghargaan sebegini. RTM adalah produksi pertama yang memberi peluang untuk saya berlakon.
“Penghargaan ini seumpama pembakar semangat saya untuk terus bergiat dalam industri seni tempatan. Saya berjanji pada diri saya, saya akan berlakon selagi masih ada yang mahukan khidmat lakonan saya,” katanya yang bakal menjalani penggambaran drama India pada bulan depan.
Walaupun bergelar anak seni, Tan Ting turut terlibat dalam bidang perniagaan dan jualan lansung, E Cosway. Selain aktif berlakon, Tan Ting juga sentiasa menghadiri persembahan pentas bersama pelawak yang lain seperti Rama, Pak Lah, Angeline Tan dan Sathia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: