Sunday, October 30, 2011

Teruja temui Schumacher

KENANGAN....kumpulan media bergambar  bersama Nico Rosberg.
KENANGAN....kumpulan media bergambar bersama Nico Rosberg.

PEMBABITAN Petronas dalam saingan Formula 1 (F1) sungguh membanggakan rakyat negara ini. Melihat jenama Malaysia terpapar megah di litar antarabangsa serta kemampuan syarikat multinasional berkenaan menaja jentera berprestasi tinggi dalam sukan permotoran paling berprestij itu menerbitkan rasa cemburu pesaingnya.

Perasaan sama turut dikongsi penulis ketika menyertai lawatan anjuran Petronas Dagangan Berhad (PDB) ke Itali, baru-baru ini.

  • Foto

    GAH...kilang Petronas Lubricants Itali mantapkan kedudukan Petronas dalam industri minyak pelincir.

  • Foto

    PENYERI...gadis litar jadi tumpuan penonton.

  • Foto

    MANTAP...jentera Mercedes GP Petronas ketika bersaing di litar.

Lawatan ke negara yang terkenal dengan pengeluaran kereta berprestasi seperti Ferrari, Lamborghini, Maserati, Fiat, Lancia dan Alfa Romeo itu memberi pengalaman manis buat penulis, terutama dalam meninjau keupayaan Petronas meneroka pasaran luar negara.

Selain memberi peluang kepada kumpulan media meninjau kemudahan kilang Petronas Lubricants Itali di Turin, kami dibawa ke litar Monza untuk menonton kehebatan jentera Mercedes GP Petronas dalam saingan Formula 1 Gran Premio Santander D’Italia 2011.


Penerbangan 12 jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) ke Amsterdam, Belanda sebelum meneruskan perjalanan ke Lapangan Terbang Torino Caselle meletihkan, namun selepas seminggu di Itali banyak pengalaman manis dikutip penulis.


Sebaik memulakan lawatan dalam suhu penghujung musim panas mencecah 30 darjah Celsius, terbit rasa bangga di hati melihat logo Petronas terpampang megah pada kilang berkenaan.

Siapa tidak bangga melihat jenama negara sendiri begitu gah di rantau orang dengan operasi pengeluarannya hampir 90 peratus dikendalikan tenaga kerja membabitkan rakyat Itali.

Pengalaman berkenaan membuka mata penulis akan komitmen pengurusan Petronas melakar nama serta sejarah di persada antarabangsa, selain strateginya memasuki pasaran lebih luas.

Aset berkenaan hasil pengambilalihan Petronas ke atas syarikat FL Selenia SpA (Selenia) daripada syarikat pelaburan Amerika Syarikat (AS) Kohlberg Kravis Roberts & Co LP dengan harga 1 bilion euro (RM4.8 bilion) pada 2008.

Syarikat itu berpengalaman 100 tahun dalam industri minyak pelincir dan produknya digunakan secara meluas di Eropah, Amerika Selatan dan Amerika Syarikat.

Sejarah panjang Selenia yang dilantik sebagai pengeluar peralatan tulen serta membekalkan minyak pelincir untuk pelbagai model kenderaan dihasilkan Fiat sejak beberapa dekad menjadikan dua jenama ini saling memerlukan.

Pengambilalihan berkenaan membolehkan Petronas melangkah lebih jauh dalam industri minyak pelincir dan membuka ruang buat anak Malaysia menimba pengalaman serta kepakaran tenaga mahir di kilang berkenaan.

Kilang itu turut menjadi pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk minyak pelincir Petronas, termasuk bagi kegunaan enjin jentera Mercedes GP Petronas dalam F1.

Komitmennya tidak terhenti di situ saja, dalam sesi taklimat diberikan, PDB menerusi anak syarikatnya Petronas Lubricants International (PLI) akan melabur RM225 juta bagi membina pusat R&D berhampiran kilang berkenaan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PLI, Aldino Bellazini, pusat R&D terbesar di Eropah itu bakal merangsang dan memberi inovasi baru terhadap produk dihasilkan jurutera Petronas pada masa depan.

Walaupun berdepan cabaran besar memasuki pasaran Eropah yang kompetitif, langkah berani syarikat minyak negara melabur di Itali dilihat sebagai permulaan untuk pencapaian lebih besar pada masa akan datang.

Selain melawat kilang berkenaan, rombongan turut diberi penghormatan oleh pengurusan Fiat di Turin bagi meninjau kemudahan mereka.

Industri kereta Fiat yang berkembang pesat membantu membangunkan Turin secara berperingkat-peringkat sebagai bandar industri automotif sejak penubuhannya pada 1899.

Lebih menarik, beberapa kemudahan Fiat yang bersejarah kini dibangunkan bagi tujuan pelancongan, termasuk bangunan kilang diubahsuai menjadi hotel bertaraf lima bintang dengan dilengkapi pusat beli-belah untuk dilawati pengunjung dari dalam dan luar negara.

Selepas dua hari menginap di Turin, kami bertolak ke Milan untuk menyaksikan saingan F1 di litar Monza yang terkenal sebagai litar terpantas dan berbahaya di kalangan pelumba pada awal kemunculannya sebagai gelanggang perlumbaan F1.

Lebih menarik, saingan di litar yang dibina pada 1922 itu adalah perlumbaan ke-13 dan terakhir di benua Eropah bagi kalendar musim 2011.

Kunjungan kami di litar berkenaan bukan saja menerima layanan istimewa daripada pihak pengurusan Mercedes GP Petronas, malah berpeluang melihat secara dekat persiapan rapi dilakukan pasukan teknikal menyiapkan jentera mereka sebelum perlumbaan bermula.

Walaupun tenggelam dalam lautan warna merah peminat fanatik pasukan Ferrari yang menjadi kebanggaan warga Itali, kehadiran penyokong Mercedes GP Petronas menghangatkan lagi suasana, terutama ketika sesi lawatan ke paddock diatur pihak penganjur.

Kesempatan berkenaan dimanfaatkan penulis bersama beberapa rakan media lain melihat secara dekat kehebatan jentera Mercedes GP Petronas yang nilainya mencecah jutaan ringgit.

Lebih manis, penulis turut berpeluang bertemu serta bergambar dengan pelumba Mercedes GP Petronas, Michael Schumacher dan Nico Rosberg yang menjadi nadi jentera pasukan berkenaan.

Pertemuan berkenaan mengujakan penulis dan rakan media lain walaupun tempoh diberikan pihak penganjur sangat singkat.

Saingan F1 di litar Monza dalam cuaca panas itu menyaksikan Sebastian Vettel dari Red Bull memenangi perlumbaan, sekali gus meranapkan harapan peminat Ferrari melihat jenama kebanggaan mereka menang di tempat sendiri.

Walaupun jentera Mercedes GP Petronas dipandu Schumacher menduduki tangga kelima di belakang dua jentera McLaren, Ferrari dan Redbull, saingan sengit diberikan cukup membuktikan kehebatan jentera Petronas di litar antarabangsa.

Pengalaman dua hari di litar itu buah tangan menarik buat penulis untuk dibawa pulang, terutama apabila berpeluang menikmati suasana mendebarkan saingan F1 selain berada di litar bersejarah Monza yang terkenal di kalangan pelumba.

Malah, hati bangga melihat keupayaan Petronas di rantau orang, terutama dalam mengukuhkan produknya di peringkat global dan kemampuannya memberi saingan dalam F1.Grazie Petronas!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: