SISI antagonis Wan Sharmila, 30, semakin menyerlah menerusi lakonannya di kaca televisyen.
Antara drama yang menyerlahkan lakonan antagonis Sharmila adalah Kashaf Imani, Nora Elena dan Jangan Hantar Aku Ke Neraka.
Mengikut maklum balas penonton yang diterima, kebanyakannya menggemari lakonan antagonis Sharmila sehingga berjaya membuahkan perasaan benci terhadapnya.
Ini menunjukkan satu kejayaan yang mampu mengukirkan senyuman lebar buat Sharmila lebih-lebih lagi sekiranya para peminat mengingati watak yang dilakonkan.
“Kebetulan saya sesuai untuk membawakan watak jahat. Bukan saya tidak pernah membawakan watak baik, tetapi penonton akan mengatakan saya hipokrit atau ‘plastik’.
“Saya lebih berpuas hati dengan lakonan apabila karakter yang dilakonkan itu mendapat maklum balas yang bagus daripada penonton.
“Saya selalu cuba melakukan yang terbaik untuk melakonkan setiap watak yang diberikan. Sedangkan penonton tidak tahu yang saya juga pernah kena marah dengan pengarah,” katanya.
Bukan sahaja tidak pernah berputus asa untuk membaiki lakonannya, wanita berkulit hitam manis ini juga tidak pernah jemu mencantikkan diri agar sedap mata memandang.
“Saya tahu diri ini tidak cantik, jadi sebab itu saya kena lebih mencantikkan diri kerana saya selalu berhadapan dengan orang ramai.
“Apabila saya berdandan, saya gemar memakai warna-warna terang dan ceria seperti gincu merah dan baju merah jambu.
“Untuk keluar rumah atau menghadiri acara bertemu peminat, saya selesa mengenakan solekan sendiri tanpa bantuan jurumekap artis.
“Ini kerana saya pernah menjadi penari dan mengetahui selok-belok solekan. Jadi, saya perlu bersolek sendiri. Walaupun bersolek sendiri, tidak bermakna saya perlu menghabiskan banyak wang untuk membeli alat solek,” katanya kepada OopStarz!
Daripada sudut fesyen, Sharmila berani mengenakan fesyen yang seksi dan jarang dicuba oleh sesetengah wanita.
Walaupun pernah ditegur gara-gara berpakaian menjolok mata, Sharmila tidak pernah serik untuk memakai pakaian mengikut keselesaannya.
“Saya masih lagi memakai skirt pendek dan gaun pendek tetapi saya akan berhati-hati untuk memakai pakaian seperti itu mengikut kesesuaian tempat.
“Ini kerana saya mahu menjadi diri-sendiri dan tidak boleh menjadi orang lain. Selain itu, pakaian yang dipakai perlu bersesuaian dengan usia saya.
“Lagipun pereka fesyen sendiri mengatakan saya tidak berseri jika tidak seksi,” ujarnya.Beralih kepada teman hidup, Sharmila yang berstatus janda ini akui belum menemui pasangan yang sesuai.
“Sekarang ini, saya lebih selesa berkawan dan selalu berjumpa di kalangan kawan-kawan rapat. Ini kerana saya jarang berjumpa dengan orang,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: