Monday, October 31, 2011

Tingkatkan tahap perkhidmatan asrama


TUANKU Syed Faizuddin Putra (kiri) melihat mesin penyemperitan keropok lekor sumbangan Universiti Malaysia Perlis bagi membantu pengusaha keropok lekor tempatan di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.


INSTITUSI pengajian tinggi awam (IPTA) diminta meningkatkan tahap perkhidmatan di kolej kediaman pelajar kerana ia adalah salah satu 'sub-institusi' penting bagi melengkapkan sistem pendidikan di universiti selain bilik kuliah.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap) bertitah, perkhidmatan di kolej kediaman perlu bersifat mesra pelajar kerana ia berperanan sebagai pusat pembangunan sahsiah sama ada dari sudut akademik, intelek dan keperibadian pelajar.

Baginda bertitah, kemudahan asas yang kondusif perlu diambil perhatian untuk memberi keselesaan kepada para pelajar dan secara langsung membantu mereka dari sudut mental dan fizikal.

"Perkhidmatan yang terbaik dan berbentuk mesra pelajar perlu diberi kepada setiap penghuni kolej kediaman. Masyarakat pada masa kini mengharapkan institusi pengajian tinggi untuk menghasilkan graduan atau pemimpin yang berkaliber, rasional, sihat, bertenaga serta bersemangat tinggi.

"Justeru, saya berharap agar bengkel yang dianjurkan ini dapat memberi pendedahan di samping menambah kemahiran kepada pengetua dan felo kolej agar dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada pelajar yang mendiami kolej-kolej," titah baginda di Majlis Wacana Ilmu Transformasi Kepimpinan-Memenangi Hati dan Pemikiran di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Majlis wacana ilmu itu diadakan sempena program Bengkel Peningkatan Profesionalisme Pengetua dan Felo Kolej Kediaman 2011 Keenam anjuran Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Unimap.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah; Naib Canselor UPSI, Prof. Dr. Zakaria Kasa dan Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: