GIGIH...semangat penyelidik tempatan yang sentiasa berusaha keras perlu dihargai dan jangan diperlekehkan kerana akan merencatkan usaha yang rancak dilaksanakan pelbagai pihak.
SESUAI dengan kepentingan penyelidikan yang kini menjadi pemacu baru sektor pendidikan negara, pelbagai usaha kian rancak dilaksanakan bagi menjadikannya antara bidang berkapasiti tinggi pada masa depan.
Bukan saja melahirkan produk mampu dikomersialkan atau memperkasakan lagi keupayaan penyelidik tempatan, ia juga bertujuan menyuntik kesedaran masyarakat bahawa bidang itu mampu memberi nilai kredit mengukir nama di peringkat global.
Malangnya, di tengah-tengah kerancakan warga cendekiawan dan penyelidik terutama di institusi pengajian tinggi awam mempergiatkan usaha meneroka bidang penyelidikan profesional dan antarabangsa, wujud pula suara sumbang masyarakat yang menganggapnya satu pembaziran.
Alasannya, produk dan nilai penyelidikan tempatan sukar menembusi pasaran luar menjadikannya seolah-olah hanya seperti melepaskan batok di tangga selain sikap masyarakat yang sering mengagungkan produk antarabangsa.
Anggapan ini menjadikan usaha institusi berkenaan tidak nampak meskipun impaknya cukup besar dalam menjana pembangunan jangka panjang negara.
Persoalannya, tidak bolehkah masyarakat kita membuka minda dan berubah dengan memberikan sokongan kepada pihak terbabit melaksanakan perjuangannya? Bagaimana pula institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan menerima cabaran ini?
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Mara, Profesor Dr Zaini Abdullah berkata, sebagai sebuah institusi yang mendukung aspirasi perkembangan dan penjanaan ilmu, mereka tetap tidak tergugat dengan segala cabaran.
Menurutnya, penyelidikan bukan saja bertujuan menghasilkan produk baru, malah memperkukuhkan nilai budaya ilmu dan kemanusiaan bagi manfaat semua, sekali gus melahirkan masyarakat berwawasan serta berdaya saing.
“Penyelidikan antara kepentingan utama dalam memastikan kesinambungan masyarakat terhadap pembudayaan ilmu berterusan.
“Anggapan bahawa ia hanya penyelidikan semata-mata tidak benar.
“Sentimen masyarakat yang menganggapnya sebagai satu pembaziran wajar diubah kerana bidang ini bukanlah menghasilkan keputusan segera, sebaliknya memerlukan jangka panjang serta pelbagai penambahbaikan untuk berjaya.
“Justeru, janganlah terlalu mengagung-agungkan penyelidikan luar, sebaliknya berikan sokongan terhadap usaha dilakukan IPT tempatan yang juga mempunyai keupayaan setara,” katanya.
Isu pembaziran penyelidikan dan sikap masyarakat yang hanya memilih dan memberi pengiktirafan kepada hasil penyelidikan institusi luar sudah lama tertanam dalam minda.
Biarpun sudah banyak usaha dilakukan bagi mengubah persepsi itu, hasilnya masih belum mampu mengubah tanggapan berkenaan dan masyarakat terus ‘mendaulatkan’ kejayaan cendekiawan asing.
Bagaimanapun, sukar meletakkan kesalahan sepenuhnya di bahu masyarakat kerana berhak membuat pilihan bagi memastikan yang terbaik, sekali gus meneruskan polemik sedia ada.
Mentaliti masyarakat tempatan juga masih dibelenggu skeptikal lama menjadikan mereka ‘menolak’ pembaharuan yang ingin diperkenalkan.
“Budaya masyarakat kita hanya mahukan hasil yang cepat selain suka memperlekehkan usaha anak tempatan. Bagi mereka, jika hasil itu dari institusi luar, memang bagus, berkualiti dan layak.
“Padahal ia belum tentu mampu memberi jaminan seperti diharapkan. Keupayaan penyelidik tempatan tidak ada kurangnya dan jika mahu hasil setimpal, berikanlah sokongan hingga menjadikannya berjaya seperti produk antarabangsa,” katanya mengakui masyarakat adalah kelompok paling utama dalam memastikan hasil penyelidikan mampu bertahan.
“Bayangkan kalau masyarakat menolak sepenuhnya bidang ini, ke manakah hala tuju golongan penyelidik? Sudah tentu lesu dan berakhir dengan pembaziran tidak dimanfaatkan,” katanya.
Malah sokongan industri terutama pelabur juga bergantung kepada kejayaan penyelidik menghasilkan sesuatu yang boleh mendatangkan keuntungan.
“Sebagai pelabur, sudah tentu mereka inginkan produk yang boleh memberikan keuntungan.
“Masalahnya, kebanyakan penyelidik tidak melakukan penyelidikan untuk mendapatkan sokongan pelabur namun lebih kepada kehendak peribadi dan ‘syok sendiri’.
“Ini menyebabkan pelabur kurang memberi sokongan sementara penyelidik pula ‘terkapai - kapai’ mencari dana.
“Penyelidik perlu bijak, kreatif serta berpandangan jauh sebelum, ketika dan selepas menjalankan kajian.
“Barulah hasil penyelidikan tempatan mampu membuka mata pelabur, sekali gus mewujudkan hubungan dua hala yang lebih produktif, sekali gus merancakkan lagi penyelidikan negara,” katanya.
Pelbagai kekangan sedia ada antara faktor bidang itu masih tidak mendapat kepercayaan masyarakat dan pada masa sama mengukuhkan mentaliti penyelidikan di negara ini masih belum lagi mencapai standard diingini.
“Semua sedia maklum, penyelidikan bukan murah dan mengambil masa lama hingga menyebabkan masyarakat rasa jemu untuk menunggu, berbanding hasil luar yang sentiasa diuar-uarkan serta mendapat sokongan industri.
“Disebabkan kekangan inilah, masyarakat mudah beralih arah, mereka tidak boleh menunggu terlalu lama selain persaingan sedia ada sengit dan pilihan perlu segera dilakukan.
“Inilah dilema penyelidik tempatan kerana tidak boleh menyaingi penyelidik luar biar pun kita sebenarnya mampu melakukan lebih daripada itu asalkan mendapat bantuan terutama daripada pihak industri,” katanya.
Beliau mengakui situasi itu adalah cabaran terbesar IPT hingga menjadikan usaha memperkasakan bidang penyelidikan di kalangan masyarakat terbatas.
Menurutnya, penyelidikan perlu dijadikan platform kecemerlangan ilmu di kalangan masyarakat sebagai satu kesinambungan usaha melahirkan cendekiawan negara.
“Asas pendidikan bukan tertumpu pada akademik semata - mata, sebaliknya mencakupi pelbagai aspek. Justeru, pengukuhan penting bagi memastikan kelangsungan terhadapnya tidak terhenti.
“Biarpun ada pihak menganggap penyelidikan tidak penting atau lebih menyanjung kajian luar, usah mudah melatah, sebaliknya menggandakan usaha untuk mempersembahkan hasil terbaik.
“Saya percaya, usaha ini pasti membuahkan hasil suatu hari nanti, sekali gus mendidik masyarakat bukan saja pandai menghargai hasil kepayahan penyelidik kita, malah meletakkan nama negara dan IPT setara yang lain.
“Semuanya tidak mustahil asalkan ada kemahuan tinggi dan kerjasama padu.
“Jika tidak memulakan langkah pertama, pasti tidak tahu apakah hasilnya, justeru lakukanlah,” katanya.
INFO:
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: