MENGIKUTI rombongan Travelog AirAsia ke Paris bersama hosnya, Edd Radze - Pembantu Khas kepada Pengerusi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia dan Maya Karin meninggalkan kenangan manis
Rombongan disertai dua jurukamera, dua penerbit dari TV3, lima wartawan serta Pengurus Penajaan dan Acara AirAsia X, Mohd. Fairuz Abd. Majid, Pengurus Komunikasi Korporat Tune Talk, Fara Hassan dan jurusolek tetap Travelog, Zulfazli Suhadi mengadakan rakaman Travelog selama lima hari di sana.
Sepanjang penggambaran empat hari di Paris, antara tempat yang dilawati Menara Eiffel, bandar tepi pantai di utara Paris yang jauhnya dua jam perjalanan menaiki kereta, Deauville, pusat beli-belah barangan berjenama bersebelahan Disneyland, La Vallee Village dan istana lama yang menerima kunjungan 15,000 pengunjung setiap hari Chateau de Versailles. Begitu juga pusat beli-belah popular di tengah bandar seperti Champ Ellysees serta bandar lama di tengah kota Paris, Le Marais.
Pesawat Airbus A340-300 berlepas dari Kuala Lumpur 1.30 pagi (24 September) dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Orly, Paris pada 9.00 pagi (25 September). Setiba di lapangan terbang kami disambut wakil promosi AirAsia X, dari syarikat Asia Regional Marketing & Development Agency, Adlina Borhan untuk terus ke Hotel Holiday Villa di Lafayette.
Setiba di hotel dan diberi masa selama sejam untuk membersihkan diri, sebelum dibawa ke Murano Urban Resort untuk menikmati sarapan lewat tengahari (brunch).
Memandangkan penerbangan ke Paris mengambil masa 13 jam, kesemua 16 ahli rombongan kami agak kelaparan.
Maya Karin juga tidak melepaskan peluang menikmati hidangan enak bufet di hotel tersebut. Antara hidangan Peranchis yang dinikmatinya ialah cream brulee dan juga roti croissant.
Setelah menikmati juadah sarapan lewat tengahari, kami dibawa bersiar-siar dengan berjalan kaki di sekitar kota lama di Paris. Le Marais adalah sebahagian bandar lama yang terletak di tengah-tengah kota Paris. Berjalan dua jam sekitar bandar agak memenatkan juga, tapi hati terhibur kerana dapat menikmati keindahan Paris dengan lebih dekat.
Dengan cuaca bersuhu 24 darjah selsius, ia tidak membuatkan kami berpeluh. Sambil bersiar-siar di situ, krew penerbitan sempat juga menjalankan penggambaran Maya Karin dan Edd Razhe untuk rancangan Travelog.
Luar bandar
Hari kedua kami dibawa ke kawasan luar bandar, Deauville yang mengambil masa dua jam perjalanan menaiki van.
Bandar kecil di utara Paris itu pernah menjadi tempat percutian tepi bukit pinggir laut bagi kaum bangsawan Peranchis. Bandar unik dengan reka bentuk rumah dan kedai-kedai masih mengekalkan senibina lama itu tidak begitu sibuk.
Di situ kami menikmati makan siang di sebuah restoran yang menyajikan hidangan enak tiram segar disusuli, salmon panggang dan diakhiri dengan cream brulee.
Setalah menghabiskan masa selama tiga jam di bandar itu kami dibawa pula ke La Vallee Village bersebelahan Disneyland. La Villa Village adalah kedai barangan berjenama yang popular.
Kawasannya begitu luas sehingga boleh menempatkan hampir 200 kedai barangan berjenama.
Pada sebelah malamnya kami diraikan di restoran Thai, Blue Elephant, di Leon Bruxelles, Montparnasse oleh Pengarah Pelancongan Malaysia, Abdul Rahim Haron.
Keesokan harinya pada sebelah pagi kami berkunjung pula ke pejabat Kedutaan Besar Malaysia untuk bertemu Duta Besar Malaysia ke Peranchis, Portugal & Monaco, Jeneral (B) Tan Sri Aziz Zainal di Rue Benouville.
Pada pukul 11.00 pagi kami dibawa menyaksikan pertunjukan fesyen yang dibawa oleh Guy Laroche di Paris. Kebetulan sewaktu kunjungan kami Paris sibuk dengan Paris Fashion Week.
Kemudian kami dibawa pula makan tengah hari di salah sebuah restoran ternama yang berusia 100 tahun. Makan tengah hari di Bofinger pada hari itu diraikan oleh Patricia Barthelemy dan Veronique Potelet dari Paris Tourism.
Kota Paris yang terkenal dengan barangan jenama dan fesyen sudah pasti menjanjikan sesuatu. Untuk itu ada di antara ahli rombongan tidak mahu melepaskan peluang membeli-belah di sekitar kawasan Champ Ellysees. Di situ terletaknya butik Louis Vuitton dan banyak lagi jenama terkenal.
Oleh kerana terlalu ramai pengunjung, untuk memasuki butik tersebut anda perlu beratur.
Kebetulan butik Louis Vuitton ditutup pada pukul 7.00 malam, jadi kami tidak mempunyai masa yang banyak untuk membuat pilihan.
Hari keempat kami dibawa melawat istana lama yang begitu popular di kalangan pelancong. Istana lama, Chateu de Versailles menerima seramai 15,000 pengunjung setiap hari. Istana peninggalan Raja Louis pada abad ke-17 itu begitu besar dan menghabiskan masa selama dua jam di situ amat memenatkan.
Istana itu mempunyai ratusan bilik yang dihiasi indah dengan ukiran dan gambar lukisan di bumbung dan dinding.
Selepas itu rombongan dibawa pula ke mercu tanda Paris, Eiffel Tower. Memang tidak lengkap jika kunjungan ke Paris tidak bergambar di situ.
Kami diberi dua jam di situ dan peluang yang ada dihabiskan dengan merakamkan gambar. Travelog juga berkesempatan mengadakan penggambarannya di situ. Kami didatangi penjual cenderahati berbangsa Bangladesh yang boleh berbahasa Melayu. Di situ banyak cenderhati yang dijual dan anda hendaklah menawar serendah mungkin. Tigabelas gantungan kunci Eiffel Tower dijual dengan harga 5 Euro jika anda bijak menawar.
Kami sempat membeli kentang, cili dan telur di kedai runcit di sekitar hotel dan masak di dapur hotel. Chef Razif yang bekerja dengan hotel tersebut memberikan dua tin sardin untuk kami masak selain menikmati bekalan yang dibawa..
Travelog akan mula ditayang di TV3 pada pertengahan bulan depan setiap Ahad pukul 7.30 petang di TV3, menampilkan hos barunya,
Bagi episod pertama, Travelog AirAsia menampilkan Maya Karin sebagai hos undangan berganding dengan Edd dalam menyampaikan pelbagai info menarik mengenai kota Paris.
Travelog AirAsia selepas ini akan berkunjung ke Bangkok dan Thailand melibatkan barisan artis tanah air seperti Fara Fauzana, Ella, Fauziah Latiff, Intan Ladyana, Nora Danish, Juliana Evans dan ramai lagi. Tempat-tempat yang bakal dikunjungi Travelog Air Asia adalah Korea Selatan, London, Australia, New Zealand, Indonesia, China, Filipina, Vietnam, Kemboja dan juga Jepun.
Selain AirAsia X dan AirAsia, Tune Talk, Tune Hotel dan AirAsia Go juga antara produk yang ditengahkan dalam rancangan ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: