Sunday, October 30, 2011

Nazeera jaga makan untuk cantik




Sambil memberikan gaya semula jadi dan yakin, wanita yang memiliki Sarjana Muda Bioteknologi Industri ini berkongsi cabaran kerjaya. Katanya, seorang pengacara dan pelakon baru perlu pandai menyesuaikan diri dalam semua keadaan. Namun, wanita berbakat ini nyata tidak gementar apatah lagi takut menghadapi persaingan walaupun tiada latar belakang dalam bidang seni.

Bergaya ringkas dengan solekan elegan, Siti Nazeera Saidi, 25 memberitahu, penglibatannya dalam bidang seni adalah secara tidak langsung apabila dia ditawarkan menjadi pembantu pengacara sebuah program kuiz televisyen awal tahun ini.

Walaupun bidangnya semasa di universiti berbeza dengan dunia seni, Nazeera berpendapat, ilmu yang diperolehinya itu merupakan jaminan masa depannya.

“Pada awalnya, saya tidak pernah terfikir untuk terlibat dalam bidang seni tetapi rezeki saya ke arah bidang ini. Kebetulan saya memang minat mencuba sesuatu yang baru dan mencabar. Tidak salah mencuba bidang yang berbeza asalkan kita tahu menyesuaikan diri. Jika ada rezeki lain, mungkin saya akan fokus dalam bidang bioteknologi,” ujarnya yang bercita-cita membuka perniagaan.

Sempena Aidiladha yang akan disambut seminggu lagi, Nazeera berpendapat seseorang tidak akan kenal erti “korban” selagi mereka tidak berkorban.

“Apabila kita membuat sesuatu perkara dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan walaupun pengorbanan kecil, itulah korban. Korban bukan sahaja pada perkara yang besar tetapi juga perkara kecil,” ujar anak kelahiran Negeri Sembilan ini.

Selain melayari internet dan menyanyi, Nazeera lebih selesa habiskan masa di rumah kerana waktu lapang adalah “emas”.

Berkongsi petua kecantikan, Nazeera gemarkan sayur-sayuran dan mengamalkan pemakanan berdasarkan piramid makanan yang betul.

“Biasanya saya akan melakukan penjagaan rutin seperti mencuci muka, memakai penyegar, pelembap dan dua bulan sekali melakukan rawatan wajah. Tetapi paling penting, kena sentiasa yakin. Apabila seorang wanita yakin, kita akan rasa cantik dan sihat,” katanya yang banyak minum air suam untuk kecantikan semula jadi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: