SEBAGAI sebuah pusat kegiatan seni bertaraf dunia, Dewan Filharmonik Petronas (DFP) meneruskan kelangsungan pesta keraian ini dengan mempersembahkan muzik ekstravaganza perayaan seni dan budaya selama satu minggu menerusi KLCC Seni Festival 2011 bulan ini.
Malam ini akan berlangsung konsert yang ditunggu-tunggu bertemakan Johor Head North oleh Yayasan Warisan Johor bermula pukul 8.30 malam. Konsert yang dinamakan Pesona Jauhar itu bakal menyaksikan irama zapin dan ghazal bersatu, dalam satu pentas yang sama.
Terdapat empat segmen yang akan dipersembahkan termasuklah Tika Dinihari, Terbitnya Suria, Cahaya Mega dan Berlabuhnya Malam Permata Tetap Bersinar.
Bagi koreografer konsert malam ini, Onn Jaafar ini merupakan kali pertama mereka menggabungkan irama zapin dan ghazal di atas satu pentas memandangkan sebelum ini ia akan dibuat secara berasingan.
“Kedua-dua ini merupakan elemen yang sangat berbeza memandangkan ghazal banyak dipengaruhi oleh unsur Parsi dan India manakala zapin pula terarah kepada elemen Arab.
“Warisan yang kita pelihara ini masih lagi mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai pihak. Kita cukup bersyukur kerana masih berpeluang mempersembahkan Pesona Jauhar di pentas yang cukup istimewa malam ini.
“Lagu-lagu yang akan dipersembahkan juga merupakan seleksi lagu-lagu terbaik yang digubah semula oleh Omar Taib,” kata Onn Jaafar lagi.
Pada malam ini, Pesona Jauhar akan diiringi 20 pemuzik dan 30 orang penari Yayasan Warisan Johor yang sudah ditubuhkan sejak 15 tahun yang lalu.
Antara lagu-lagu yang bakal dipersembahkan termasuklah Penawar Rindu, Kuala Sedeli, Seri Mersing dan banyak lagi yang akan diselang-selikan antara persembahan zapin dan ghazal.
Apa yang menarik, kebanyakan penari yang mengiringi Konsert Pesona Jauhar merupakan penari profesional yang pernah mengiringi konsert Siti Nurhaliza di Royal Albert Hall, London.
Bagi mereka yang berminat untuk turut serta boleh terus datang ke DFP dan mendapatkan tiket ada di sana.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: