Monday, October 31, 2011

Panduan tanam cili

CILI ialah sejenis sayuran berbuah yang popular di kalangan penduduk negara ini.

Cili muda dibuat jeruk dan ulaman, ia juga mengurangkan sakit sendi tulang, demam, ulser mulut, demam. Cili mempunyai khasiat makanan yang tinggi, terutamanya vitamin A dan vitamin C.

Pembiakan dan penanaman

Biji benih cili perlu disemai terlebih dahulu sebelum melakukan penanaman, kerana ia memerlukan penjagaan yang rapi di peringkat awal pertumbuhan.

Semai biji benih didalam dulang penyemaian, gunakan peat grow sebagai media percambahan atau campuran kompos dan peat grow, Letak biji benih setiap sel dan diletak dirumah semaian yang mempunyai sekurangnya 50 peratus lindungan antara empat dan lima minggu, disiram setiap hari.

Anak semaian boleh disembur dengan baja foliar setiap minggu bagi menambah kesuburan dan pembesaran pokok.

Tahap pH yang sesuai ialah di antara 5.5 dan 6.5.

Nilai pH yang rendah akan menyebabkan pertumbuhan cili terencat.

Kawasan penanaman disediakan dengan membajak dan menggembur dua minggu sebelum penanaman dilakukan.

Batas dibuat dengan ukuran satu meter lebar dan panjang batas mengikut kesesuaian kawasan.

Batas ditambak dengan bahan tahi ayam atau kompos dengan kadar satu hingga tiga kg/meter persegi dan ditutup dengan agrosheet atau jerami kering sebagai sungkupan.

Sungkupan perlu bagi memudahkan penyelenggaraan tanaman, mengekalkan kelembapan dan mengurangkan hakisan.

Jarak tanaman yang disyorkan ialah antara 50 dan 60 sm antara pokok dan 60 dan 100 sm antara barisan, tanaman boleh ditanam satu atau dua baris setiap batas.

Anak benih dipindahkan ke ladang bila berumur antara tiga dan empat minggu dan telah ada empat dan lima helai daun sebenar.

Sebelum pemindahan lakukan proses pengerasan di buat dengan mendedahkan kepada cahaya matahari secara beransur ansur.

Penyulaman/penyediaan sokongan

Setelah seminggu penanaman, anak benih yang mati atau kurang sihat perlu disulam dengan yang baru.

Kayu sokongan dipancang pada pokok bagi mengelakkan ia tumbang bila cili telah mengeluarkan hasil.

Pengairan

Pengairan amat perlu pada peringkat awal penanaman sehingga penuaian hasil dilakukan, tanaman perlu disiram sekurangnya sehari sekali, kaedah pengairan secara manual atau menggunakan pengairan renjis atau titis.

Bagi kawasan yang menghadapi masalah saliran, perparitan perlu dilakukan bagi menyalirkan air yang berlebihan ke parit utama.

Pemangkasan

Pemangkasan tidak perlu dilakukan kecuali jika terdapat cabang sisi yang berlebihan, atau terdapat serangan penyakit atau perosak.

Pengawalan rumpai

Bagi memastikan tanaman hidup subur, kawalan rumpai perlu dilakukan. Rumpai di atas batas dibuang secara manual dan antara lorong tanaman rumpai boleh dikawal dengan menggunakan racun rumpai yang disyorkan.

Pastikan semasa penyemburan racun ia tidak mengenai tanaman.

Pembajaan

Baja yang disyorkan ialah 70 kg N: 140 kg P2O5: 200 kg K2O setiap hektar, tetapi ia bergantung pada keadaan tanah di satu satu kawasan.

Penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 untuk pembajaan pertama boleh di gunakan dengan kadar 30gm/pokok dan ditabur keliling dengan jarak 15-20 sm dari rumpun pokok serta dikambus.

Pembajaan ulangan kedua dan ketiga boleh menggunakan NPK biru 12:12:7 dengan kadar 40-50 gm/pokok diselangkan setiap dua minggu.

Kawalan perosak

Pendekatan yang paling sesuai dalam pengurusan perosak ialah secara kawalan bersepadu iaitu secara manual, amalan kultura, mekanikal atau kawalan secara kimia, dan ia adalah sebagai pilihan terakhir.

Serangga yang biasa menyerang pokok cili ialah kutu daun,kutu trip,ulat pengorek buah, lalat buah,hamama, ulat ratus dan lalat putih.

Penyakit yang biasa menyerang cili ialah antraknos buah,bintik daun,hawar pucuk,reput pangkal, lecuh anak benih,layu ystem dan mozek daun.

Pastikan daun dan buah yang rosak diserang penyakit di cantas dan di musnahkan. Pembajaan dibuat mengikut jadual supaya pokok boleh membina daya tahan dari serangan penyakit dan perosak. Kebersihan kawasan perlu dipastikan supaya tiada perosak yang bersembunyi.

Penuaian hasil

Cili mula berbunga antara 60 dan 75 hari selepas ditanam di ladang, buah akan masak di antara 30 dan 35 hari selepas berbunga. Buah yang masak berwarna merah dan dituai tiga atau empat hari sekali.

Tempoh pengeluaran hasil antara dua atau tiga bulan selepas penuaian hasil pertama, jumlah hasil bergantung kepada varieti cili.

Pengendalian lepas tuai

Selepas memetik hasil operasi diteruskan dengan pemilihan, pembersihan, penggredan dan pembungkusan.

Penggredan dibuat berdasarkan warna, kesegaran, tahap kecederaan dan serangan penyakit dan perosak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: