Nama Wardina Safiyyah, sememangnya tidak asing lagi dalam industri seni tanah air. Memulakan kerjaya sebagai pengacara dan pelakon setelah mencipta nama menerusi pertandingan Dewi Remaja 1997/98 anjuran majalah Remaja terbitan Kumpulan Karangkraf, Wardina kini punya mengikut tersendiri.
Dengan imej Muslimah, Wardina ternyata punya aura tersendiri sehingga ada yang menjadikannya sebagai idola. Apatah lagi, namanya turut dikaitkan dengan penghijrahan dua artis popular, Irma Hasmie dan Diana Amir.
Tidak pernah meletakkan dirinya sebagai 'sifu', Wardina selesa berkongsi ilmu dengan sesiapa saja yang sudi. Malah, kata Wardina, dia lebih gembira melihat penghijrahan yang dilakukan rakan-rakan artis. Bagi Wardina, sebagai senior, dia akan cuba membantu semampu yang mungkin. Malah itulah caranya berdakwah.
“Alhamdulillah, semakin ramai artis wanita hari ini mula bertudung.
"Malah saya berbangga dengan keputusan mereka. Misalnya Diana, saya dah kenal dia lama. Jadi apabila dia mahu berhijrah dan mendalami ilmu agama, saya sedia membantu.
“Saya anggap ini juga sebagai salah satu cabang dakwah ilmu agama kepada mereka yang memerlukan dan saya tidak akan berhenti melakukannya,” kata pengacara berusia 30 tahun ini.
Sungguhpun dirinya sering dijadikan bahan rujukan rakan-rakan artis, tidak pernah terdetik di hatinya untuk berbangga diri. Bagi Wardina, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk berkongsi ilmu yang ada.
Menurut Wardina, dunia seni banyak dugaannya dan iman harus kuat untuk mengatasinya.
"Masa saya buat keputusan bertudung dulu, saya nekad tinggalkan dunia modeling. Saya juga mengehadkan lakonan dan memberi tumpuan lebih kepada pengacaraan. Dalam masa sama, saya mendalami ilmu agama dengan mendapatkan pandangan dan tunjuk ajar orang berpengalaman dan tahu selok-belok agama," ujarnya.
Mengimbau kembali detik penghijrahannya, Wardina atau nama sebenarnya Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot, nekad bertudung pada 2000. Ketika itu dia sedang mengecap populariti dan penghijrahannya mengejutkan ramai pihak.
“Apa saya ingat, saya mula berhijab apabila satu pagi semasa bangun daripada tidur, saya terasa nak pakai tudung dan sejak itulah saya bertudung. Alhamdulillah, penghijrahan saya mendapat reaksi positif dan saya semakin selesa membawa imej ini.
"Penghijrahan ini juga tidak pernah menutup 'periuk nasi' saya dalam industri seni, sebaliknya rezeki itu sentiasa dimurahkan ALLAH SWT," kata ibu kepada tiga anak, Amna Nafeesa, 8, Azra Sareera,5, dan Imran Arrazi,3.
Rasulullah sebagai idola
Tidak pernah meletakkan dirinya terlalu sempurna, Wardina masih melengkapkan diri dengan ilmu agama. Selain menghadiri kelas-kelas agama, dia juga banyak membaca dan menghafal al-Quran dan hadis.
Menjadikan Nabi Muhammad SAW. sebagai idolanya, Wardina kini semakin tenang mengharungi kehidupan Muslimah.
“Saya sangat tenang apabila merujuk al-Quran dan hadis bagi mendapatkan kisah-kisah Rasulullah, kata-kata mutiara dan tafsiran yang menjelaskan perintah yang dituntut.
“Malah, banyak hadis yang saya hafal dan ada di antaranya saya turut kongsi dengan rakan-rakan,” katanya yang sentiasa membawa al-Quran dan hadis ke mana sahaja untuk dihayati.
Wardina turut meluahkan rasa kagum terhadap Rasulullah dalam memperjuangkan Islam. Malah turut mengambil iktibar kisah perjuangan baginda.
Tegasnya lagi, dia turut mendidik anak-anaknya supaya mengenali dan mencintai Rasulullah.
“Anak-anak sekarang kalau sebut kartun, semua jenis kartun mereka pandai sebut. Jadi, apa salahnya kita sebagai ibu bapa terapkan perkara sama kepada mereka mengenai Rasulullah,” kata bekas graduan Ijazah Hiasan Dalaman, Centre for Advance Design (CENFAD) Kuala Lumpur.
Jadi penceramah?
Ketika diajukan mengenai penglibatannya sebagai penceramah motivasi dan agama, Wardina berkata, dia ada terfikir untuk ke arah itu.
“Saya mengaku memang sekarang saya sedang ke arah itu (penceramah), sebab itu sekarang saya banyak belajar mengenai agama. Mana tahu, ilmu yang saya belajar boleh membantu orang lain pula.
“Dunia ini hanya sementara, hidup tidak lama. Saya mahu bila saya meninggal dunia kelak, orang akan kenang perkara baik yang saya lakukan,” katanya.
Beralih mengenai karier seninya, Wardina berkata, dia selesa dengan bidang pengacaraan.
“Selain memberi tumpuan pada MHI, saya kini sibuk dengan program online sebanyak 13 episod,” katanya yang semakin bahagia di samping suami tercinta, Ikhwan Johari.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: