Sumpahan Puaka, 'kurang' puaka!
Jika dilihat pada judul filem dan juga poster, pasti fikiran akan mengandaikan ia adalah sebuah filem seram yang dahsyat. Namun hakikatnya, Sumpahan Puaka hanya memaparkan lebih kurang 20 peratus babak seram dan selebihnya hanya drama biasa.
Sangkaan penulis terhadap filem arahan, M Suurya Abdullah, juga nyata meleset setelah menonton filem ini. Bukan mahu merendahkan kemampuan pengarah baru ini, sebaliknya tiada apa yang baru dan istimewa dihidangkan.
Mungkin penulis sudah 'kenyang' dihidangkan dengan filem genre ini, maka tidak hairanlah penulis akan membandingkannya dengan filem seram sedia ada. Secara jujurnya, plot filem ini agak perlahan dan sedikit mengelirukan.
Garapan Suurya untuk menceritakan babak demi babak memerlukan konsentrasi yang tinggi kerana tiada 'punch line' untuk setiap akhir babak dan membuatkan penonton tertanya-tanya apakah yang akan terjadi seterusnya.
Genre seram itu sendiri, sebenarnya terletak pada bayangan Mislina yang kerap melihat perkara pelik, namun ia bukan dalam kategori seram, sebaliknya misteri.
Bagaimanapun, filem yang dibarisi pelakon hebat seperti Imuda, Mislina Mustaffa dan Maimon Mutalib ini mempunyai jalan cerita yang menarik. Ia berkisarkan kisah benar yang terjadi dalam masyarakat India, namun dibancuh mengikut selera Melayu.
Kehadiran tiga pelakon utama tersebut dilihat banyak menyelamatkan filem tersebut. Ironinya kualiti lakonan teraju utama filem ini memang tidak dapat dipertikaikan.
Cuma babak Mislina yang kerap berkemban dalam filem ini, dilihat kadangkala terlalu berlebihan dan sebagai promosi filem ini.
Dari sudut sinematografinya pula, ada beberapa babak seolah-olah berulang, namun tidak terlalu ketara. Malah ada antara beberapa syot dilihat kurang jelas, sekali gus 'merosakkan' jalan cerita.
Namun secara keseluruhan, karya pertama Suurya ini masih boleh menghiburkan. Bagi anda yang tidak suka melihat rupa hantu yang terlalu buruk, filem ini sesuai dengan selera anda. Dengan erti kata lain, ia tidak akan membuatkan anda berasa seram!
Sumpahan Puaka mengisahkan tentang mengisahkan tentang seorang pelukis bernama Shamsudin yang bercadang untuk memasuki sebuah kampung untuk mencari ilham bagi menghasilkan karya lukisan terbarunya.
Ketika berada di kampung itu selama beberapa hari, Shamsudin mengalami pelbagai insiden pelik. Mak Jah berjaya memaksa Shamsudin bersumpah supaya akan sentiasa menjaga Mak Jah. Apakah yang akan terjadi seterusnya? Saksikan Sumpahan Puaka di pawagam.
FILEM : Sumpahan Puaka
PENGARAH : M Suurya
PELAKON : Imuda, Mislina Mustaffa, Maimon Mutalib
GENRE : Seram
DURASI : 1 jam 20 minit
KLASIFIKASI : PG13
TAYANGAN : 20 Oktober 2011
KESELURUHAN : 2.5 bintang
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: